Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan berkenaan sumber ketenangan jiwa

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Allah SWT berfirman:

‏ الَّذِينَ آمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ اللَّهِ ۗ أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ ‎

Maksudnya: “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah”. Ketahuilah dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia.”

(Surah al-Ra’d: 28)

Al-Tabari berkata: Yakni, ingatlah, hanya dengan zikir kepada Allah hati orang-orang beriman menjadi tenang dan jinak. Menurut Ibnu Kathir pula, ayat diatas bermaksud itulah hal yang sepatutnya diperolehi dengan mengingati Allah SWT. (Lihat Jami’ al-Bayan, 15/287; Tafsir Ibn Kathir, 3/262)

Al-Syaukani berkata: Firman-Nya ‘أَلَا بِذِكْرِ اللَّـهِ’, Maksudnya adalah, dengan mengingati Allah sahaja, tanpa yang lain, maka hati akan menjadi tenang. Walaupun dengan memerhatikan ciptaan-ciptaan Allah SWT dan keindahan ciptaan-Nya boleh mendatangkan ketenteraman, namun ia tidak seperti ketenteraman dengan mengingati Allah. (Lihat Fath al-Qadir, 3/98)

Imam al-Qusyairi berkata: Ada kaum yang tenang hati mereka dengan sebab mereka mengingati Allah. Ini kerana, pada zikir mereka merasai kemanisannya. Dengan zikir juga mereka sampai kepada hakikat kebersihan hati. (Lihat Lataif al-Isyarat, 2/229)

Seringkali manusia mengaitkan ketenangan jiwa dengan harta yang melimpah ruah. Justeru, seluruh kehidupannya dihabiskan dengan usaha mencari harta siang dan malam sehingga perintah solat dilalaikan, hukum halal dan haram diketepikan. Tapi sayang, betapa ramai manusia kaya dilimpahi kemewahan, namun jiwa sentiasa resah gelisah. Rumah besar tersergam indah, kebun yang luas saujana mata memandang, deretan kereta bergemerlapan, belum berupaya menjamin hatinya damai dan tenang. Betapa ketenangan itu sesuatu yang sukar diperolehi sehingga mendorong ahli perubatan mencipta pelbagai jenis ubat-ubatan bagi memenuhi keinginan manusia mencapai ketenangan walaupun hanya bersifat sementara.

Namun, bagi orang beriman, puncak ketenangan adalah apabila jiwanya kembali mengingati Allah SWT. Sayyid Qutb menyatakan bahawa, tidak ada yang lebih malang nasib seseorang di muka bumi berbanding mereka yang terhalang jiwanya merasai ketenangan apabila mengingati Allah SWT. Adalah satu kerugian besar bagi seseorang manusia yang mensia-siakan seluruh hidupnya mencari kebahagiaan di luar lingkungan agama yang diredai oleh Allah SWT.

Dalam kehidupan seharian, terdapat waktu dan ketikanya manusia terputus harapan dengan semua makhluk. Umpamanya, seseorang yang ditimpa penyakit kronik yang tidak ada sebarang ubat yang mampu menyembuhkannya dan tidak ada seorang doktor yang mampu merawatnya. Ke manakah lagi jiwanya akan dihadapkan untuk mencari ketenangan?

Justeru, pergantungan kepada Allah SWT, bertawakal kepada-Nya, serta sentiasa mengingati-Nya adalah ramuan terbaik ketenangan manusia dalam menghadapi ujian hidupnya. (Lihat Tafsir al-Bayan, 2/608)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا

Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ke-takwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.”

Wallahua`lam.

Leave a Reply