Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah dakwah ditaklifkan kepada semua umat Islam?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
ٱدْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِٱلْحِكْمَةِ وَٱلْمَوْعِظَةِ ٱلْحَسَنَةِ ۖ وَجَـٰدِلْهُم بِٱلَّتِى هِىَ أَحْسَنُ ۚ
Maksudnya: “Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan peringatan yang baik serta berdebatlah dengan mereka dengan cara yang paling baik.”
(Surah al-Nahl: 125)
Ayat ini menerangkan bahawa dalam menyampaikan dakwah kepada masyarakat itu perlulah dilakukan secara berhikmah. Walaupun berlaku perdebatan dalam mencari kebenaran maka berhujahlah dengan isi-isi yang baik serta disulami dengan adab sopan kerana akhlak yang baik itu menjadi cerminan kepada wajah Islam yang sebenar.
Al-Baghawi ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan: Serulah ke jalan Allah dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan iaitu dengan al-quran dan nasihat pengajaran yang baik dari al-Quran. Dikatakan juga nasihat pengajaran yang baik itu adalah menyeru kepada Allah dengan memberi galakan dan ancaman. Pandangan lain juga menytakan: Perkataan yang lembut dan tidak kasar dalam menyampaikan dakwah. (Lihat Tafsir al-Baghawi, 5/52)
Kewajipan menyeru manusia adalah bersifat sejagat dan menyeluruh kerana Islam adalah sumber cahaya kepada semua orang tanpa mengira warna kulit, bahasa atau bangsa. Oleh itu Islam tidak terbatas kepada satu umat atau satu kabilah sahaja, lebih-lebih lagi Rasulullah SAW tidak diutuskan untuk bangsa Arab semata-mata, malah Baginda diutus untuk orang Arab dan juga ‘ajam (bukan berbangsa Arab). Baginda merupakan Nabi dan Rasul kepada manusia dan jin, jadi perutusan Nabi Muhammad SAW yang menjadi penutup kepada ajaran sekalian rasul-rasul menyebabkan ajarannya meliputi semua masyarakat atau bangsa yang menghuni alam semesta ini. Firman Allah yang bermaksud: “Dan tidak Kami utuskan engkau wahai Muhammad melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (Surah al-Anbiya’: 107)
Perlu ditegaskan bahawa tugas berdakwah kepada Islam ini adalah antara kewajipan yang dituntut kepada umat Islam dalam usaha untuk menegakkan kalimah Allah di muka bumi Allah ini. Perintah kewajipan berdakwah ini sememangnya banyak terdapat di dalam rentetan ayat-ayat suci al-Quran dan juga himpunan hadith-hadis Rasulullah. Di antaranya, firman Allah maksudnya: “Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan peringatan yang baik serta berdebatlah dengan mereka dengan cara yang paling baik.” (Surah al-Nahl: 125)
Muhammad Amin al-Kurdi dalam bukunya Tanwir al-Qulub telah menjelaskan bahawa ayat-ayat tersebut menjadi dalil yang jelas kepada kewajipan menyeru dan menegah. Kewajipan berdakwah telah dijelaskan oleh al-Quran dan al-Sunnah dan ia merupakan satu kewajipan yang amat besar lagi getir serta menjadi tonggak utama kepada agama, menjadi tiang atau paksi yang menegakkan binaan Islam, menyempurnakan segala peraturannya serta mengangkat martabat Islam hingga ke puncaknya.
Apa yang lebih menarik, berdakwah kepada Allah termasuk dalam amalan kebaikan dan kebajikan yang diperintahkan oleh Allah agar para hamba-Nya sentiasa berdoa untuk mendapatkannya. Dalam hal ini, terdapat hadith daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:
«مَنْ دَعَا إِلَى هُدًى، كَانَ لَهُ مِنَ الْأَجْرِ مِثْلُ أُجُورِ مَنْ تَبِعَهُ، لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا، وَمَنْ دَعَا إِلَى ضَلَالَةٍ، كَانَ عَلَيْهِ مِنَ الْإِثْمِ مِثْلُ آثَامِ مَنْ تَبِعَهُ، لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ آثَامِهِمْ شَيْئًا»
Maksudnya: “Barangsiapa yang menyeru kepada petunjuk maka dia akan mendapat pahala seperti orang yang mengerjakannya, Allah tidak mengurangkan sedikit pun pahala daripadanya. Dan barang siapa yang menyeru kepada kesesatan maka dia akan berdosa sebagaimana dosa orang yang melakukannya, Allah tidak akan mengurangkan sedikit pun dosa itu daripadanya.”
Riwayat Muslim (2674)
Menyedari akan kepentingan tugas berdakwah kepada Allah di bahu setiap umat Islam, Sayyid Qutb dalam kitab tafsirnya Fi Zilal al-Quran ada menegaskan bahawa tugas dakwah adalah satu amanah yang cukup getir dan besar tanggung jawabnya kerana seluruh ruang lingkup kehidupan manusia bergantung sepenuhnya kepada hasil gerak kerja dakwah yang akan menentukan hala tuju hidup manusia, maju dan mundurnya bangsa, jatuh dan bangunnya masyarakat tersebut dan juga bakal menentukan nasib kesudahan umat. Apabila umat tersebut betul-betul melaksanakan perintah Allah SWT dengan berdakwah ke arah kebenaran dan keadilan Islam, maka umat tersebut telah menempa era gemilang dalam sejarah tamadun manusia. Sebaliknya jika umat tersebut melalaikan tugas dakwah tersebut, nescaya umat tersebut telah menempah tiket kesengsaraan dan penyesalan yang tiada titik penghujungnya di dunia dan akhirat. Sudah tentu dosa dan kelalaian tersebut ditanggung oleh orang yang telah dipertanggungjawabkan dengan tugas dakwah tapi dia tidak melaksanakan amanah tersebut.
Ini bertepatan dengan perumpamaan yang telah digambarkan oleh Rasulullah SAW dalam satu hadith daripada al-Nu’man bin Basyir R.A, daripada Rasulullah SAW bersabda:
مَثَلُ القَائِمِ عَلَى حُدُودِ اللَّهِ وَالوَاقِعِ فِيهَا، كَمَثَلِ قَوْمٍ اسْتَهَمُوا عَلَى سَفِينَةٍ، فَأَصَابَ بَعْضُهُمْ أَعْلاَهَا وَبَعْضُهُمْ أَسْفَلَهَا، فَكَانَ الَّذِينَ فِي أَسْفَلِهَا إِذَا اسْتَقَوْا مِنَ المَاءِ مَرُّوا عَلَى مَنْ فَوْقَهُمْ، فَقَالُوا: لَوْ أَنَّا خَرَقْنَا فِي نَصِيبِنَا خَرْقًا وَلَمْ نُؤْذِ مَنْ فَوْقَنَا، فَإِنْ يَتْرُكُوهُمْ وَمَا أَرَادُوا هَلَكُوا جَمِيعًا، وَإِنْ أَخَذُوا عَلَى أَيْدِيهِمْ نَجَوْا، وَنَجَوْا جَمِيعًا»
Maksudnya: “Perumpamaan bagi seorang yang menegakkan hukum Allah dan melibatkan diri dalam tugas tersebut adalah seumpama satu kaum yang berkongsi menumpang sebuah kapal. Ada sebahagian mereka yang menumpang di sebelah atas kapal dan sebahagian yang lain lagi menumpang di sebelah bawahnya. Penumpang yang berada di bawah kapal apabila berhajatkan air, mereka akan naik ke atas lalu mengambil air tersebut. Lantas mereka berkata: Alangkah baiknya kalau kita menebuk lubang di bawah kapal ini, lalu kita mendapat air dengan mudah tanpa menyusahkan penumpang di sebelah atas. Justeru, jika mereka dibiarkan sahaja dan menebuk lubang di bawah kapal tersebut, nescaya semua penumpang kapal tersebut akan tenggelam binasa. Sebaliknya jika penumpang di sebelah atas menegur dan menghalang penumpang di bawah kapal berbuat demikian, nescaya mereka dan semua penumpang kapal tersebut akan selamat.”
Riwayat al-Bukhari (2493)
Perlu diketahui bahawa tugas dakwah atau menyeru manusia kepada jalan Allah dan mentaati perintah-Nya merupakan salah satu sifat yang wajib kepada para nabi dan rasul. Seterusnya, itulah juga antara perkara yang diperintahkan oleh Allah kepada rasul-rasul-Nya dan mewasiatkannya kepada mereka. Kemudian, perintah tersebut telah diwarisi dan diikuti oleh para ulama yang ikhlas, para pemerintah dan orang-orang soleh. Sebab itulah, golongan ulama tersebut akan wujud secara berterusan menyeru manusia kepada jalan Allah dan mentaati-Nya dengan perkataan mahu pun perbuatan pada setiap zaman.
Kadang-kadang timbul juga persoalan yang berlegar di benak fikiran umat Islam dewasa ini iaitu apakah tugas berdakwah ke arah kebenaran ini hanya khusus kepada kelompok ulama yang ikhlas kerana mereka adalah pewaris nabi. Hakikatnya Islam tidak menghalang orang ramai daripada menjalankan dakwah, malah sesiapa sahaja dari kalangan umat Islam tidak kira apa kedudukan dan pangkatnya, boleh berdakwah dengan cara menunjukkan contoh teladan yang baik. Apatah lagi Rasulullah SAW telah bersabda dalam hadith daripada Abdullah bin ‘Amr R.A, daripada Rasulullah SAW bersabda:
بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً…
Maksudnya: “Sampaikanlah apa-apa sahaja yang diterima daripadaku walaupun sepotong ayat.”
Riwayat al-Bukhari (3461)
Oleh itu, setiap muslim sewajibnya insaf dan menyedari peranan dan tanggung jawab masing-masing dalam memikul amanah dakwah Islam agar ia dapat disampaikan kepada umat lain dan seterusnya dapat menyaksikan Islam dapat mentadbirkan bumi Allah ini dengan penuh keadilan. Sebaliknya kecuaian dari melaksanakan amanah dakwah Islam tersebut hanya mengundang kemurkaan Allah dan akhirnya umat Islam sendiri akan menerima akibat dan kesengsaraan yang tiada penghujungnya. (Lihat Tafsir al-Bayan, 638-640)
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا
Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.” 19
Riwayat al-Tirmizi (3173), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (1443) dan Ahmad (223)