Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana Cara terbaik untuk kita menghindari godaan syaitan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

أَلَمْ أَعْهَدْ إِلَيْكُمْ يَا بَنِي آدَمَ أَن لَّا تَعْبُدُوا الشَّيْطَانَ ۖ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ

Maksudnya: “Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu”

(Surah Yasin: 60)

Ibn Jarir al-Tabari berkata: Allah SWT menyatakan: “Bukankah Aku memberikan perintah kepada kamu dan menyuruh kamu di dunia untuk tidak menyembah syaitan, supaya kamu tidak mentaatinya dalam maksiat kepada Allah (sesungguhnya dia adalah musuh yang nyata bagi kamu)? Aku katakan kepada kamu: Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang jelas bagi kamu. Dia telah menampakkan kebencian terhadap kamu dengan menolak untuk sujud kepada kamu, iaitu kepada nenek moyang kamu, sebab iri hati terhadap nikmat yang diberikan Allah kepada mereka, seperti kemuliaan dan kesombongan yang diberikan Allah kepada mereka, sehingga dia berhasil mengeluarkan mereka (Adam dan Hawa) dari syurga. (Lihat Jami’ al-Bayan, 19/470

Hindari Gangguan Syaitan

Allah SWT telah memberi ingatan kepada Rasul-Nya dan hamba-Nya yang beriman dari godaan syaitan. Mengikuti syaitan membawa manusia kepada kehancuran, kemurkaan Allah dan azab yang pedih disediakan. Matlamat syaitan ialah menggoda manusia untuk melakukan maksiat kepada Allah SWT. Melakukan perkara mungkar seperti mencuri, membunuh atau perkara yang Allah SWT larang. Syaitan juga menghiasi perkara maksiat sehingga manusia melihat perkara tersebut menjadi molek di mata dan akhirnya manusia tidak taat kepada Allah SWT.

Syaitan telah ingkar dan tidak patuh kepada arahan Allah untuk sujud kepada Adam A.S. Keengganan mengikut arahan Allah itu adalah kerana rasa sombong dan angkuh. Syaitan berkata kepada Allah SWT dengan maksud: “Aku lebih baik daripada dia kerana Engkau wahai Tuhan menciptakan aku daripada api sedangkan Engkau menciptakan dia daripada tanah.” (Surah al-A’raf: 12) Dengan sebab itu Allah SWT menghukum syaitan. Firman Allah yang bermaksud: “Turunlah engkau dari syurga, kerana engkau tidak sepatutnya menyombongkan diri di dalamnya. Keluarlah engkau wahai Iblis! Sesungguhnya engkau termasuk dalam golongan yang hina.” (Surah al-A’raf: 13). Ketika itu syaitan membuat janji akan menggoda anak Adam kerana dendam dia dikeluarkan dari syurga.

Persoalannya bagaimanakah cara untuk menjauhi dan selamat dari godaan syaitan? Terdapat beberapa cara untuk mengelak godaan syaitan yang telah diberi petunjuk oleh Nabi SAW. Daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

يَأْتِي الشَّيْطَانُ أَحَدَكُمْ فَيَقُولَ: مَنْ خَلَقَ كَذَا وَكَذَا؟ حَتَّى يَقُولَ لَهُ: مَنْ خَلَقَ رَبَّكَ؟ فَإِذَا بَلَغَ ذَلِكَ، فَلْيَسْتَعِذْ بِاللهِ وَلْيَنْتَهِ

Maksudnya: “Syaitan akan datang kepada salah seorang daripada kamu lalu berkata: Siapakah yang menciptakan itu dan ini? Sehinggalah pertanyaan itu membawa kepada soalan “Siapakah yang menciptakan Tuhanmu?” Jika pertanyaan itu berlanjutan kepada soalan seperti itu, hendaklah seseorang itu berlindung kepada Allah dan segera menjauhinya.”

Riwayat Muslim (214)

Oleh itu, setiap muslim mestilah menjauhi perasaan was-was syaitan dalam semua perkara. Halang dari bertapak dalam fikiran dan mengikutinya. Sentiasa kembali kepada Allah SWT dan berlindung dengan-Nya daripada syaitan dan sekutunya dengan berkata: أعوذ بالله من الشيطان الرجيم. Perkara penting juga ialah sentiasa berfikir tentang kebesaran Allah dalam mencipta langit, bumi, bukit bukau, laut, pertukaran malam dan siang, bulan bintang, matahari, kehebatan-Nya mencipta manusia dan perkara lain yang membuktikan kekuasaan Allah SWT, serta mengingati Allah dengan berzikir kepada-Nya dalam semua waktu dan keadaan. (Lihat Tafsir al-Bayan, 2/649-650)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

نَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ

Maksudnya: “Kami berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna daripada segala keburukan yang Dia ciptakan.”

Leave a Reply