Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah berkerja juga dinggap sebagai ibadah?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
قُلْ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
Maksudnya: “Katakanlah: “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.”
(Surah al-An’am: 162)
Firman Allah SWT lagi:
وَقُلِ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ ۖ وَسَتُرَدُّونَ إِلَىٰ عَالِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ
Maksudnya: “Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramalah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan”.”
(Surah al-Taubah: 105)
Kita sebagai khalifah Allah di muka bumi yang bersifat sebagai pelaksana dan penegak kepada agama serta bersiyasah dengannya. Kita memegang sejumlah amanah dan tanggungjawab yang diperintah dan ditaklifkan kepada kita. Justeru, dalam melayari bahtera kehidupan, soal makan minum, tempat tinggal dan kenderaan untuk menyampaikan kita ke satu-satu tempat adalah memerlukan harta dan kewangan yang kukuh. Antara cara untuk mendapatkan harta adalah melalui pekerjaan. Dengan sebab itu, dalam al-Quran al-Karim terlalu banyak perintah untuk kita bekerja seterusnya mencapai kehendak manusiawi yang kita miliki. Terlalu banyak bentuk pekerjaan yang boleh kita lakukan. Yang penting adalah halal dan tidak bertentangan dengan Syariat sama ada kita sebagai peniaga, tokoh korporat yang besar, petani, pekebun, penternak, nelayan, pertukangan, mengambil sebarang upah, penjawat awam, bekerja di sektor swasta, maka semuanya adalah digalakkan. Begitu juga pembetulan niat setiap kali kita bekerja biarlah diniatkan kerana mengikut apa yang diperintah oleh Allah. Sebagai contoh, Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ طَلَبَ الدُّنْيَا حَلَالَا اسْتِعْفَافًا عَنِ الْمَسْأَلَةِ ، وَسَعْيَا عَلَى أَهْلِهِ ، وَتَعَطُّفًا عَلَى جَارِهِ ، جَاءَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَوَجْهُهُ كَالْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ
Maksudnya: “Barangsiapa mencari rezeki halal untuk menjaga diri daripada meminta-minta, dan dengan tujuan memenuhi nafkah keluarga, serta supaya dapat membantu tetangganya, nescaya dia akan datang pada hari Kiamat dengan wajahnya yang berseri-seri seperti bulan di malam purnama.”
Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (9890) dan al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (3465)
Setiap perkara harus yang dilakukan oleh seorang Mukmin dengan unsur niat, ia bertukar menjadi ibadat. Namun, perkara haram tetap haram hukumnya walau bagaimana suci sekalipun niat si pelaku. Islam tidak merestui sesuatu yang haram itu dijadikan wasilah kepada tujuan yang mulia. Ini kerana, Islam menekankan kemurnian matlamat dan cara pada masa yang sama. Syariat Islam tidak menerima sama sekali prinsip, matlamat menghalalkan cara ataupun mencapai kebenaran melalui kerja-kerja batil. Sebaliknya, Islam mewajibkan umat mencapai kebenaran melalui jalan yang benar.
Sesiapa yang mengumpul duit melalui amalan riba, rasuah, hiburan yang haram, perjudian, ataupun apa-apa amalan yang terlarang, dia melakukannya dengan tujuan membina sebuah masjid ataupun melancarkan program kebajikan, niatnya yang murni itu tidak mampu memberi kebaikan kepada dirinya. Ia tidak membuat dia terlepas daripada dosa melakukan perkara haram. Ini kerana, perkara haram itu tidak terkesan ataupun luak dengan niat dan tujuan si pelaku. (Lihat Halal dan Haram dalam Islam oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, hlm. 30)
Bekerja Sebagai Ibadah
Manusia adalah makhluk Allah SWT yang paling istimewa dan sempurna, jika dibandingkan dengan makhluk-makhluk ciptaan-Nya yang lain. Keistimewaan tersebut dapat dilihat pada aspek amanah yang digalas oleh manusia yang dijadikan oleh Allah SWT sebagai khalifah di muka bumi ini. Allah SWT menjelaskan perkara ini melalui firman-Nya:
إِنَّا عَرَضْنَا ٱلْأَمَانَةَ عَلَى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَٱلْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَن يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا ٱلْإِنسَـٰنُ ۖ إِنَّهُۥ كَانَ ظَلُومًۭا جَهُولًۭا
Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah menawarkan amanah tanggungjawab melaksanakan syariat Kami kepada langit, bumi dan gunung-ganang, tetapi mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat melaksanakannya, lalu ia dipikul oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat jahil.”
(Surah al-Ahzab: 72)
Antara tanggungjawab dan amanah yang dipikul oleh manusia dalam kehidupan mereka adalah tanggungjawab dalam pekerjaan untuk mendapatkan rezeki bagi menampung kehidupan. Secara asasnya, setiap perkara harus yang dilakukan oleh seorang mukmin dengan unsur niat, ia bertukar menjadi ibadat. Begitu jua dengan pekerjaan yang dilakukan oleh seorang mukmin. Apa jua pekerjaan yang harus dan tidak bertentangan dengan hukum syarak, jika ia dilakukan dengan niat yang baik kerana Allah SWT, maka ia boleh bertukar kepada ibadah. Namun, perkara haram tetap haram hukumnya walau bagaimana suci sekalipun niat si pelaku. Islam tidak merestui sesuatu yang haram itu dijadikan wasilah kepada tujuan yang mulia. Ini kerana, Islam menekankan kemurnian matlamat dan cara pada masa yang sama.
Syariat Islam tidak menerima sama sekali prinsip dan matlamat menghalalkan cara ataupun mencapai kebenaran melalui kerja-kerja batil. Sebaliknya, Islam mewajibkan umat mencapai kebenaran melalui jalan yang benar. Oleh itu, sesiapa yang bekerja atau mengumpul duit melalui amalan riba, rasuah, hiburan yang haram, perjudian, ataupun apa-apa amalan yang terlarang, dia melakukannya dengan tujuan membina sebuah masjid ataupun melancarkan program kebajikan, niatnya yang murni itu tidak mampu memberi kebaikan kepada dirinya.
Dalam masa yang sama cabaran dalam melaksanakan amanah dalam pekerjaan, khususnya ketika menjawat jawatan dalam perkhidmatan sama ada kerajaan, berkanun atau swasta amatlah banyak. Justeru, bagi menanganinya sudah pasti perlu mengenali sifat-sifat mazmumah yang menghalang integriti. Banyak halangan untuk mencapai dan merealisasikan sifat integriti yang unggul itu iaitu rasuah, khianat, birokrasi, berbohong, suka menangguh, melepak, membuang masa dan lain-lain. Maka dalam penyelesaian isu ini amat penting kepada tauhid kepada Allah SWT serta kepercayaan kepada agama. Itulah yang akan meningkatkan integriti seseorang dalam melaksanakan tugasan yang dipertanggungjawabkan kepadanya. (Lihat Tafsir al-Bayan, 2/657-658)
Kesimpulan
Justeru, pekerja yang benar-benar cemerlang serta unggul, perlu kepada tiga perkara utama, iaitu yang pertama mengutamakan ‘quality time’ dalam pengurusan masa serta memaksimakan kerja dalam penggunaan masa. Kedua, konsisten dan istiqamah dalam melaksanakan tanggungjawab dan menzahirkan ketepatan dalam segenap aspek pekerjaan. Manakala yang ketiga adalah tidak bertangguh dalam melaksanakan tugas sebaliknya merancang dengan sebaik mungkin untuk menyelesaikan amanah tugasan yang diberikan.
Setiap manusia mempunyai tanggungjawab tertentu yang mesti ditunaikan untuk memperoleh kedamaian hidup, dunia dan akhirat. Walau di mana mereka berada dan di zaman manapun mereka hidup, mereka tidak boleh lari dari tanggungjawab tersebut sebagai hamba kepada Allah SWT di muka bumi ini.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ أَعْمَارِنَا أَوَاخِرَهَا، وَخَيْرَ أَعْمَالِنَا خَوَاتِمَهَا، وَاجْعَلْ خَيْرَ أَيَّامِنَا يَوْمَ نَلْقَاكَ
Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah sebaik-baik umur kami adalah pada penghujungnya, dan sebaik-baik amalan kami sebagai penutupnya. Dan jadikanlah sebaik-baik hari kami, adalah hari dimana kami berjumpa dengan-Mu kelak.”