Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, boleh terangkan keunikan lafaz dlm al-quran yang terkait dengan orang yang berakal, yang yakin serta beriman? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
إِنَّ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ لَآيَاتٍ لِّلْمُؤْمِنِينَ ﴿٣﴾ وَفِي خَلْقِكُمْ وَمَا يَبُثُّ مِن دَابَّةٍ آيَاتٌ لِّقَوْمٍ يُوقِنُونَ ﴿٤﴾ وَاخْتِلَافِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ وَمَا أَنزَلَ اللَّهُ مِنَ السَّمَاءِ مِن رِّزْقٍ فَأَحْيَا بِهِ الْأَرْضَ بَعْدَ مَوْتِهَا وَتَصْرِيفِ الرِّيَاحِ آيَاتٌ لِّقَوْمٍ يَعْقِلُونَ
Maksudya: Sesungguhnya pada langit dan bumi terdapat tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman. (3) Dan pada kejadian diri kamu sendiri, serta (pada kejadian) segala binatang yang dibiakkanNya, terdapat juga tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang meyakininya. (4) Dan (pada) pertukaran malam dan siang silih berganti, dan juga (pada) rezeki yang diturunkan oleh Allah dari langit, lalu Ia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta (pada) peredaran angin, (semuanya itu mengandungi) tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah, kekuasaanNya, kebijaksanaanNya, serta keluasan rahmatNya) bagi kaum yang mahu menggunakan akal fikiran.
(Surah al-Jathiah: 3-5)
Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan di sini bahawa Allah SWT menggunakan ungkapan yang berbeza ketika menjelaskan mengenai kebesaran-Nya iaitu (لِّقَوْمٍ يُوقِنُونَ)
(لِّلْمُؤْمِنِينَ) dan ( لِّقَوْمٍ يَعْقِلُونَ ). Menurut al-Sawi, perbezaan makna antara ketiga-tiga ungkapan tersebut ialah, manusia itu jika memerhatikan penciptaan langit dan bumi, nescaya akan mendatangkan keyakinan kepadanya bahawa keduaduanya itu pasti ada pencipta, lalu dia beriman kepada Allah SWT. Apabila dia melihat kepada penciptaan dirinya dan makhluk lain yang berada di sekelilingnya, nescaya akan semakin bertambah keyakinannya. Akhirnya, apabila dia melihat segala fenomena alam yang berlaku seperti pertukaran siang dan malam, hujan yang turun, maka sempurnalah akal dan ilmunya tentang kekuasaan Allah SWT. (Lihat Safwah al-Tafasir, 3/169)
Fakhr al-Din al-Razi menghuraikan ketiga-tiga ungkapan ini sebagaimana katanya:“Sekiranya kamu daripada golongan orang-orang beriman, maka hendaklah memahami tanda-tanda ini. Seandainya kamu bukan daripada kalangan orang-orang beriman, tetapi kamu adalah daripada kalangan mereka yang mencari kebenaran dan keyakinan, maka fahamilah tanda-tanda ini. Sekiranya kamu bukan daripada kalangan orang-orang beriman, dan bukan juga daripada kalangan mereka yang mencari kebenaran, sekurang-kurangnya kamu adalah daripada kalangan orang-orang yang berakal, maka hendaklah bersungguhsungguh untuk mengetahui dalil-dalil ini.” (Lihat Mafatih al-Ghaib, 27/260-261 )
Ini menunjukan kepada sifat al-Quran yang syumul dan universal meliputi pelbagai lapisan sasaran, mengikut kadar kefahaman masing-masing bertepatan dengan kata-kata Ali R.A:
حَدِّثُوا النَّاسَ بِِمَا يَعْرِفُونَ، أَتُُحِبُّونَ أَنْ يُكَذَّبَ اللَّهَُّ وَرَسُولُهُ.
Maksudnya: “Berbicaralah dengan orang ramai mengikut apa yang mereka fahami. Adakah kamu suka perintah Allah dan rasul-Nya ditolak?”
Riwayat al-Bukhari (127)
Justeru Janganlah kita menjadi seperti golongan ateis yang menghadapi krisis akal yang kronik sehingga menjadi terlalu hipokrit untuk menzahirkan bahawa alam yang serba indah inidiciptakan oleh Tuhan.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ فضْلِكَ وَرَحْمَتِكَ ، فَإِنَّهُ لا يَمْلِكُهَا إِلا أَنْتَ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepada-Mu agar diberi kurniaan dan rahmat-Mu. Sesungguhnya tiada yang memilikinya kecuali-Mu.”
Wallahua’lam