Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya  bagaimana pengaplikasian hukum bagi umat terdahulu pada masa kini  ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

 ثُمَّ جَعَلْنَاكَ عَلَىٰ شَرِيعَةٍ مِّنَ الْأَمْرِ فَاتَّبِعْهَا وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَ الَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ

Maksudnya : Kesudahannya Kami jadikan engkau (wahai Muhammad dan utuskan engkau) menjalankan satu Syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum ugama; maka turutlah Syariat itu, dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar).

(Surah al-Jathiyah:18)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan ayat al-Quran yang berbunyi ( ثُمَّ جَعَلْنَاكَ عَلَىٰ شَرِيعَةٍ مِّنَ الْأَمْرِ) pada zahirnya menunjukkan bahawa Allah SWT mengkhususkan kepada Nabi Muhammad SAW syariat yang tersendiri, berbeza dengan syariat umat-umat terdahulu. Hakikatnya, para ulama bersepakat bahawa terdapat beberapa perkara yang telah disyariatkan kepada umat terdahulu masih lagi disyariatkan untuk umat ini. Bagi memahami perkara ini, Abdul Karim Zaidan telah menjelaskan kategori syariat umat-umat terdahulu secara terperinci sebagaimana berikut:

Pertama: Hukum-hukum umat terdahulu yang tidak dinyatakan dalam al- Quran dan juga tidak dinyatakan oleh Nabi Muhammad SAW. Hukum bagi kategori ini disepakati oleh para ulama bahawa ia tidak menjadi syariat bagi umat ini.

Kedua: Hukum-hukum yang terlaksana bagi umat-umat terdahulu dan dinyatakan secara jelas bahawa hukum tersebut telah dimansuhkan untuk umat ini. Justeru, ini bermakna syariat tersebut hanya khusus untuk umat terdahulu dan tiada khilaf dalam kalangan para ulama bahawa hukum bagi kategori ini tidak disyariatkan untuk umat ini.

Ketiga: Hukum-hukum yang disyariatkan kepada umat terdahulu dan terdapat dalil yang jelas bahawa hukum-hukum tersebut disyariatkan juga bagi umat ini. Maka, para ulama bersepakat bahawa hukum-hukum dalam kategori ini turut disyariatkan untuk umat ini.

Keempat: Hukum-hukum yang disyariatkan untuk umat terdahulu tetapi tiada dalil yang jelas menunjukkan sama ada hukum-hukum ini telah dimansuhkan atau masih lagi disyariatkan untuk umat ini. Antara contoh bentuk hukum – hukum dalam kategori ini ditunjukkan dalam firman Allah SWT:

 وَكَتَبْنَا عَلَيْهِمْ فِيهَا أَنَّ النَّفْسَ بِالنَّفْسِ وَالْعَيْنَ بِالْعَيْنِ وَالْأَنفَ بِالْأَنفِ وَالْأُذُنَ بِالْأُذُنِ وَالسِّنَّ بِالسِّنِّ وَالْجُرُوحَ قِصَاصٌ ۚ فَمَن تَصَدَّقَ بِهِ فَهُوَ كَفَّارَةٌ لَّهُ ۚ وَمَن لَّمْ يَحْكُم بِمَا أَنزَلَ اللَّهُ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ ‎﴿٤٥﴾‏

Maksudnya: “Dan Kami telah menetapkan hukum qisas ke atas mereka di dalam Taurat iaitu nyawa dibalas dengan nyawa, mata dibalas dengan mata, hidung dibalas dengan hidung, telinga dibalas dengan telinga, gigi dibalas dengan gigi dan luka-luka dibalas mengikut ketetapan hukum qisas.”

 (Surah al-Maidah: 45)

Berkaitan pensyariatan hukum kategori ini (kategori keempat) terhadap umat Nabi Muhammad SAW, para ulama berbeza pandangan berkaitannya. Sebahagian ulama daripada mazhab Hanafi menyatakan bahawa hukum-hukum dalam kategori ini disyariatkan juga untuk umat ini. Manakala majoriti para ulama menyatakan sebaliknya, iaitu hukumhukum ini hanya khusus untuk umat terdahulu sahaja. (Lihat al-Madkhal Li Dirasah al-Shari’ah al-Islamiyyah, hlm,176)

Justeru Allah SWT telah menyediakan buat kita asas petunjuk utama iaitu al-Quran yang mana kandungannya merangkumi syariat Allah SWT yang kekal abadi sehingga hari kiamat. Oleh itu, berpeganglah dengannya sebaik mungkin dan turutilah ajaran yang terkandung di dalamnya, bersama-sama penjelasan mengenainya daripada hadith-hadith Nabi SAW dan pencerahan daripada para ulama.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ فضْلِكَ وَرَحْمَتِكَ ، فَإِنَّهُ لا يَمْلِكُهَا إِلا أَنْتَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepada-Mu agar diberi kurniaan dan rahmat-Mu. Sesungguhnya tiada yang memilikinya kecuali-Mu.”

Wallahua’lam

Leave a Reply