Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya boleh terangkan kepada kami ganjaran syafaat kepada umat islam dan siapa pemilik syafaat ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَاتَّقُوا يَوْمًا لَّا تَجْزِي نَفْسٌ عَن نَّفْسٍ شَيْئًا وَلَا يُقْبَلُ مِنْهَا عَدْلٌ وَلَا تَنفَعُهَا شَفَاعَةٌ وَلَا هُمْ يُنصَرُونَ

Maksudnya: Dan peliharalah diri kamu dari (huru-hara) hari kiamat (yang padanya) seseorang tidak dapat mengganti atau melepaskan orang lain sedikitpun, dan tidak akan diterima daripadanya sebarang tebusan, dan tidak akan memberi manfaat kepadanya sebarang syafaat; dan orang-orang yang salah itu tidak akan ditolong (dari azab sengsara).

(Surah al-Baqarah: 123)

Menjawab bagi persoalan di atas, Syafaat bererti memohon atau mengharapkan bantuan di saat memasuki syurga Allah SWT.[1] Kelebihan ini dikurniakan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW dan para nabi yang lain untuk memberi pertolongan kepada umatnya pada hari perhimpunan di Padang Mahsyar.[2]

Siapakah Pemilik Syafaat?

Allah SWT menegaskan hak milik mutlak syafaat hanya milik-Nya kerana semua urusan ialah milik Allah SWT. Tiada sesuatu jua pun yang mampu memberi syafaat melainkan dengan izin Allah SWT. Sekiranya Allah SWT menginginkan rahmat kepada hamba-Nya, maka Allah SWT akan mengizinkan pemberian syafaat kepadanya. (Lihat al-Taisir al-Karim al-Rahman,hlm.853)

Pastinya syafaat ialah milik Allah SWT sebagaimana dalam ayat 44, surah al-Zumar firman-Nya iaitu:

قُل لِّلَّهِ الشَّفَاعَةُ جَمِيعًا ۖ لَّهُ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۖ ثُمَّ إِلَيْهِ تُرْجَعُونَ

Maksudnya: Katakanlah, “Allah sahajalah yang memiliki seluruh hak syafaat. Dialah yang memiliki kerajaan di langit dan bumi, kemudian kepada-Nya kamu dikembalikan”.

(Surah al-Zumar: 44)

Antara bentuk-bentuk syafaat yang terdapat di akhirat:

Pertama : Syafaat Rasulullah SAW

Apakah jenis-jenis syafaat Rasulullah SAW kepada umatnya?

  • Syafaat al-Uzma iaitu yang paling agung. Ia secara khusus diberikan kepada Nabi Muhammad SAW di antara seluruh nabi dan rasul yang lain.
  • Syafaat kedua ialah syafaat Rasulullah kepada kaum yang memiliki sifat kebaikan dan keburukan yang sama rata.
  • Syafaat ketiga ialah bantuan yang diberikan kepada golongan yang telah diperintahkan untuk masuk ke dalam neraka agar mereka dimasukkan ke dalam syurga.
  • Syafaat keempat ialah bagi kalangan mereka yang ditinggikan darjat oleh Rasulullah SAW setelah mereka masuk ke dalam syurga.
  • Syafaat kelima dikurniakan kepada kaum yang masuk ke dalam syurga tanpa dihisab dan diazab oleh Allah SWT.
  • Syafaat keenam oleh Rasulullah SAW kepada umatnya ialah meringankan seksaan bagi mereka yang selayaknya menerima azab tersebut.[3]

Kedua: Al-Quran

Pahala dan ganjaran hasil daripada pembacaan dan beramal dengan al-Quran  Pahala-pahala itu nanti akan datang pada hari kiamat kelak dengan pelbagai bentuk untuk memberikan syafaat dan perlindungan kepada mereka yang berhak.[4]

Ketiga : Malaikat

Menurut Wahbah al-Zuhaili, para malaikat tidak berani memberi syafaat melainkan terhadap orang yang diredhai Allah SWT dan layak mendapatkannya. Ini bermakna setelah mendapat keizinan Allah SWT, para malaikat akan memberi syafaat dan pastinya Allah tidak memerlukan persetujuan dan keizinan daripada sesiapa jua pun. Sesungguhnya Allah memiliki syafaat seluruhnya, memiliki bumi dan langit serta segala makhluk- Nya akan kembali kepada-Nya serta dihisab pada hari kebangkitan dan hari akhirat (Lihat Tafsir al-Munir 12/332-341 )

Hal yang demikian  sebagaimana  firman Allah SWT:

يَعْلَمُ مَا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ وَلَا يَشْفَعُونَ إِلَّا لِمَنِ ارْتَضَىٰ وَهُم مِّنْ خَشْيَتِهِ مُشْفِقُونَ

Maksudnya: Allah mengetahui segala amalan masa hadapan dan masa silam mereka. Para malaikat itu tidak dapat memberi bantuan syafaat melainkan kepada golongan yang diredhai Allah. Mereka juga sentiasa berjaga-jaga daripada melakukan kesalahan kerana takutkan-Nya.

(Surah al-Anbiya: 28)

Kesimpulannya, Allah SWT amat mengasihi hamba-Nya dengan mengurniakan syafaat dan pertolongan di hari akhirat kepada orang-orang yang mendapat keredhaan-Nya.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.

Wallahua’lam

 

Nota kaki:

[1] Lihat : https://ikimfm.my/mengharapkan-syafaat/ Diakses pada 21 November 2023

[2] Lihat: https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=syafaat Diakses pada 21 November 2023

[3] Lihat : https://ikimfm.my/mengharapkan-syafaat/ Diakses pada 21 November 2023

[4] Lihat : https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-al-hadis/4442-irsyad-al-hadis-siri-ke-497-al-quran-datang-dalam-bentuk-lelaki-pada-hari-kiamat-adakah-al-quranitu- makhluk -Diakses pada 21 November 2023

Leave a Reply