Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya benarkah dakwaan menyatakan bahawa manusia lebih baik daripada jin  ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

 وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ وَحَمَلْنَاهُمْ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَرَزَقْنَاهُم مِّنَ الطَّيِّبَاتِ وَفَضَّلْنَاهُمْ عَلَىٰ كَثِيرٍ مِّمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلًا

Maksudnya: Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan keturunan Adam dan Kami mengangkut mereka dengan pelbagai jenis kenderaan di darat juga di laut. Dan Kami kurniakan kepada mereka rezeki yang baik serta Kami berikan mereka dengan kelebihan yang istimewa melebihi kebanyakan makhluk lain yang telah Kami ciptakan.

 (Surah al-Isra’: 70)

Menjawab bagi persoalan di atas kami kataan al-Sabuni menjelaskan bahawa Allah SWT telah memuliakan keturunan bani Adam daripada seluruh makhluk-Nya dengan kurniaan akal, ilmu pengetahuan dan pertuturan serta disediakan dengan memberi segala kemudahan yang ada dalam penciptaan alam semula jadi. Allah SWT juga mempermudahkan mereka dengan kenderaan darat dan laut serta menganugerahkan dengan kelazatan makanan dan minuman. Malah Allah SWT telah meninggikan mereka berbanding seluruh makhlukmakhluk lain seperti jin, binatang-binatang dan sebagainya. (Lihat Safwah al-Tafasir, 2/170.)

Ayat ini jelas menunjukkan kemulian manusia berbanding jin tetapi manusia tidak boleh bersikap enteng dengan mengambil kesempatan di atas anugerah yang sangat istimewa di sisi Allah SWT. Ini kerana, ia bukanlah jaminan untuk memasuki syurga Allah SWT kerana nilai ketakwaan serta himpunan amalan yang memainkan peranan penting pada hari akhirat kelak.

Menurut Wahbah al-Zuhaili dalam pentafsirannya terhadap ayat 31 Surah al-Ahqaf, beliau menyatakan bahawa Allah SWT telah mengutuskan Rasulullah SAW untuk berdakwah kepada manusia dan jin dengan mengajak mereka untuk beriman dengan Allah SWT dan dibacakan kepada mereka Surah al-Rahman yang dituju khusus kepada dua golongan ini dan dipertanggungjawabkan dengan janji-janji balasan syurga dan neraka. Pastinya tiada beza di antara dosa dengan pahala, perintah suruhan dan larangan, ganjaran syurga dan balasan neraka di antara manusia dengan jin kerana kewajipan atau taklif itu satu. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 13/387)

Lantaran itu, ungkapan “seburuk-buruk manusia ialah sebaik-baik jin” adalah bercanggah kerana tingkatan ibadah hamba-Nya adalah sama di sisi Allah SWT. Allah SWT akan memberi ganjaran serta balasan yang setimpal berdasarkan perbuatan dan amalan yang dilakukan oleh para hamba-Nya yang terdiri daripada golongan manusia dan juga jin. Walaupun kelebihan yang Allah SWT telah berikan kepada manusia itu menjadikan manusia lebih mulia berbanding golongan jin.[1]

Jika dihayati pada potongan ayat 29 hingga 35 Surah al-Ahqaf, terdapat perbandingan yang jelas di antara golongan jin yang beriman kepada Allah SWT tatkala mendengar Rasulullah SAW membaca al-Quran dengan golongan kafir yang enggan beriman dengan Allah SWT walaupun acapkali Rasulullah SAW berdakwah dengan mereka. Kesimpulannya, walaupun Allah SWT telah mengangkat martabat manusia ke tingkatan yang paling mulia berbanding semua makhluk ciptaan-Nya, namun golongan jin yang beriman serta beramal soleh pasti lebih baik daripada manusia yang ingkar dan menolak ajaran Allah SWT serta hanyut dengan bisikan syaitan dan hawa nafsu syahwat. (Lihat Tafsir al-Bayan, 5/302-303)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahua’lam

Nota kaki:

[1] ttps://muftiwp.gov.my/artikel/al-afkar/4174-al-afkar-98-benarkah-kenyataan-seburuk-buruk-manusia-adalah-sebaik-sebaik-jin – Diakses pada 21 November 2023

Leave a Reply