Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah kepentingan Amar makruf dan nahi munkar dalam masyarakat?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
إِنَّ اللّٰهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْاِحْسَانِ وَاِيْتَاۤئِ ذِى الْقُرْبٰى وَيَنْهٰى عَنِ الْفَحْشَاۤءِ وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ
Maksudnya: Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, berbuat ihsan dan memberi bantuan kepada kaum keluarga terdekat. Allah juga melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji, mungkar dan zalim. Dia mengajar kamu dengan suruhan dan larangan ini supaya kamu mengambil peringatan.
(Surah al-Nahl: 90)
Syeikh Ahmad al-Tawil menyatakan bahawa ayat ini menjelaskan bahawa al-Quran menerangkan semua perkara, merangkumi dasar perundangan Islam yang dapat dilihat melalui perintah dan larangan-Nya. Selain itu, ayat ini juga mengandungi perkara dasar berkaitan kebaikan yang menyentuh tiga perkara, iaitu keadilan, ihsan dan berbuat baik kepada kaum keluarga. Justeru, ia merupakan himpunan hak berkaitan ketuhanan dan kemasyarakatan. Tambahan lagi, ayat ini juga menghimpunkan ibu segala kejahatan yang terangkum pada tida perkara, iaitu pertamanya; (الفَحْشَاءُ) yakni melakukan perkara keji, keduanya; (الْمُنْكَرُ) iaitu melakukan perkara mungkar dan ketiga; (البَغْيُ) yakni melakukan perkara zalim yang membawa kepada permusuhan. Kesemuanya itu adalah usul yang membawa kerosakan kepada agama dan kehidupan dunia. (Lihat Wahat al-Tafsir, 7/545)
Peri Penting Amar Makruf dan Nahi Munkar dalam Masyarakat
Dalam al-Quran ungkapan amar makruf dan nahi mungkar sentiasa diulang-ulang. Perkataan makruf telah disebut sebanyak 39 kali, manakala perkataan mungkar pula disebut sebanyak 37 kali. Malah dua ungkapan tersebut sering digandingkan bersama pada lima belas tempat di dalam al-Quran. Keadaan ini menggambarkan betapa pentingnya perlaksanaan amar makruf dan nahi mungkar untuk kesejahteraan umat manusia.
Ajaran Islam telah menetapkan bahawa menjadi tanggungjawab masyarakat Islam untuk melaksanakan amar makruf (menyuruh melakukan kebaikan) dan nahi mungkar (mencegah kemungkaran). Tanggungjawab ini hendaklah dilakukan dengan kerjasama semua pihak. Kita memerlukan sebuah masyarakat yang bertanggungjawab dan prihatin terhadap masyarakat sekitar. Jika tidak, maka segala bentuk kemungkaran dan kemaksiatan akan berleluasa serta paksi kebenaran tidak akan dapat ditegakkan. Firman Allah SWT:
كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِٱلْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ ۗ وَلَوْ ءَامَنَ أَهْلُ ٱلْكِتَـٰبِ لَكَانَ خَيْرًۭا لَّهُم ۚ مِّنْهُمُ ٱلْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ ٱلْفَـٰسِقُونَ
Maksudnya: “Kamu adalah sebaik-baik ummah yang dikeluarkan untuk manusia. Kamu menyuruh berbuat kebaikan, melarang berbuat kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka; di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.”
(Surah Ali ‘Imran: 110)
Mencegah jenayah atau nahi mungkar merupakan langkah untuk mempertahankan kesucian agama dan memelihara akhlak yang luhur daripada dipengaruhi unsur yang negatif. Apabila pengaruh agama menjadi luntur daripada hati manusia, mereka pasti akan menganggap remeh syariat Islam dan berani bersikap kurang ajar dengan memperlihatkan perbuatan dosanya, lantas menyemarakkan lagi perlakuan mungkar ini, seterusnya menyumbang kepada banyak kerosakan dalam kalangan masyarakat.
Manusia ialah makhluk sosial yang tidak boleh hidup tanpa bermasyarakat. Buruknya manusia itu kerana pengaruh sekeliling dan masyarakat, begitu juga sebaliknya. Lantaran itu, Islam menitikberatkan tanggungjawab setiap individu dalam membangun dan memperbaiki masyarakat. Umat Islam tidak diajar berlepas tangan dan sekadar memerhatikan berlakunya kemungkaran di sekeliling dan sekitar mereka. Bahkan, golongan yang tidak mencegah kemungkaran ini turut diancam dengan balasan yang buruk daripada Allah sebagaimana firman-Nya:
وَٱتَّقُوا۟ فِتْنَةًۭ لَّا تُصِيبَنَّ ٱلَّذِينَ ظَلَمُوا۟ مِنكُمْ خَآصَّةًۭ ۖ وَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ
Maksudnya: “Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksaNya.”
(Surah al-Anfal: 25)
Cita-cita kita adalah mengimpikan negara, masyarakat, keluarga dan diri kita bebas daripada sebarang kemungkaran terhadap Allah. Kita tidak boleh membiarkan perkara mungkar dilakukan tanpa sebarang usaha mencegahnya. Segala tanggungjawab ini tidak hanya terbeban kepada pihak berkuasa agama, pihak keselamatan atau pihak berwajib sahaja, sebaliknya ia menjadi fardhu dan tanggungjawab ke atas setiap individu yang mengaku beriman kepada Allah dan rasul-Nya. (Lihat Tafsir al-Bayan, 3/61-63)
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudri R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَـلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ
Maksudnya: “Sesiapa di kalangan kamu yang melihat kemungkaran hendaklah dia mengubah dengan tangannya, sekiranya tidak mampu dia hendaklah mengubah dengan lidahnya, sekiranya tidak mampu dia hendaklah mengubah dengan hati, dan itu adalah selemah-lemah iman.”
Riwayat Muslim (78)
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa amar makruf dan nahi munkar sangat penting dalam kehidupan manusia, dan ia tidak boleh ditinggalkan salah satu daripadanya. Sekiranya salah satunya ditinggalkan, pasti akan tempang kehidupan dalam sesebuah masyarakat itu.
Umat Islam perlu berpegang teguh dengan janji, lebih-lebih lagi janji kita kepada Allah untuk taat dan patuh kepada ajaran-Nya. Umat Islam diingatkan supaya tidak tergugat dengan habuan dunia kerana apa sahaja yang diperolehi daripada dunia ini tidak kekal. Justeru, bepegang teguhlah dengan ajaran Islam dan jangan sekali-kali menggadaikan prinsipnya kerana ganjaran di sisi Allah itu lebih istimewa.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا
Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”