Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah kelebihan dan manfaat mempelajari al-Quran, terutama dalam kalangan masyarakat kita hari ini?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

إِنَّ الَّذِينَ يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّـهِ وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَأَنفَقُوا مِمَّا رَزَقْنَاهُمْ سِرًّا وَعَلَانِيَةً يَرْجُونَ تِجَارَةً لَّن تَبُورَ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah dan mendirikan solat serta menginfaqkan sebahagian daripada apa yang Kami kurniakan kepada mereka secara sembunyi atau terbuka dengan mengharapkan (daripada amalan yang demikian) sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian”.

(Surah Fatir:29)

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللهِ، يَتْلُونَ كِتَابَ اللهِ، وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ، إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمِ السَّكِينَةُ، وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمُ الْمَلَائِكَةُ، وَذَكَرَهُمُ اللهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ، وَمَنْ بَطَّأَ بِهِ عَمَلُهُ، لَمْ يُسْرِعْ بِهِ نَسَبُهُ

Maksudnya: “Dan tidaklah satu kaum itu berkumpul di rumah-rumah Allah (masjid) sambil membaca al-Quran dan mempelajarinya sesama mereka melainkan turunnya ketenangan kepada mereka, diliputi oleh rahmat Allah serta malaikat mengerumuninya dan Allah menjadikan makhluk-makhluk yang berada di sisi-Nya menyebut-nyebut mereka. Dan barangsiapa yang amalnya perlahan, maka nasabnya tidak dapat mengangkat darjatnya itu”.

Riwayat Muslim (2699)

Daripada Abi Musa RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَثَلُ المُؤْمِنِ الَّذِي يَقْرَأُ القُرْآنَ كَالأُتْرُجَّةِ، طَعْمُهَا طَيِّبٌ وَرِيحُهَا طَيِّبٌ، وَمَثَلُ الَّذِي لاَ يَقْرَأُ كَالتَّمْرَةِ طَعْمُهَا طَيِّبٌ وَلاَ رِيحَ لَهَا

Maksudnya: “Perumpamaan orang mukmin yang membaca al-Quran seperti buah Utrujah (limau sitrus), rasanya enak dan baunya wangi. Dan perumpamaan orang mukmin yang tidak membaca al-Quran seperti buah Kurma, rasanya enak tetapi tidak berbau”.

Riwayat al-Bukhari (7560) dan Muslim (797)

Al-Quran perlu dipelajari dengan cara berguru ataupun bertalqqi. Ini berdasarkan peristiwa di mana Nabi SAW diajar oleh Jibril AS secara bertalaqqi. Di samping itu, Nabi SAW akan belajar al-Quran dengan Jibril AS setiap tahun sekali melainkan pada tahun kewafatan Baginda SAW iaitu sebanyak dua kali sebagaimana di dalam hadith yang diriwayatkan daripada Fatimah R.A berkata, bahawa Nabi SAW telah berbisik kepadaku:

أَنَّ جِبْرِيلَ كَانَ يُعَارِضُنِي بِالقُرْآنِ كُلَّ سَنَةٍ، وَإِنَّهُ عَارَضَنِي العَامَ مَرَّتَيْنِ، وَلاَ أُرَاهُ إِلَّا حَضَرَ أَجَلِي

Maksudnya: “Jibril membacakan al-Quran kepadaku setiap tahun sekali dan sesungguhnya Jibril membacakan al-Quran kepadaku pada tahun ini sebanyak dua kali. Aku tidak melihatnya melainkan isyarat bahawa ajalku telah datang”.

Riwayat al-Bukhari (3353)

Daripada hadith ini, jelaslah bahawa al-Quran perlu dipelajari melalui cara bertalaqqi atau berguru. Ini juga merupakan sunnah para salaf yang diamalkan oleh para sahabat apabila mereka mengambil atau mempelajari terus daripada Nabi SAW. Setelah itu, Nabi SAW mengutuskan para sahabat ke beberapa buah tempat untuk mengajarkan al-Quran kepada orang lain. Ini juga yang diamalkan oleh generasi selepas daripada sahabat seperti tabi’in, tabi’ tabi’in dan selepas daripada mereka.

Keutamaan Mempelajari Al-Quran dan Realiti Masyarakat Pada Hari Ini

Agama Islam menuntut umatnya membaca al-Quran dan mempelajari isi kandungannya. Membaca al-Quran dituntut kerana di antara hikmah al-Quran diturunkan adalah untuk dibaca, ditadabbur, dihayati dan diamalkan. Ditambah lagi, al-Quran merupakan satu mukjizat agung dan setinggi-tinggi anugerah yang Allah kurniakan kepada para hamba-Nya. Dalam masa yang sama, ia juga berperanan sebagai sebuah perlembagaan abadi yang sesuai sepanjang zaman dalam mengatur hal-hal kehidupan manusia lantaran isi kandungannya yang mencakupi seluruh aspek kehidupan. Maka, umat Islam sangat digalakkan untuk membaca al-Quran sehinggakan setiap huruf yang dibaca akan diberi pahala dengan sepuluh kebaikan.

Daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ قَـرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَـلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ ، وَالحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا، لَا أَقُولُ الم حَرْفٌ، وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ وَلَامٌ حَرْفٌ وَمِيمٌ حَرْفٌ.

Maksudnya: “Sesiapa membaca satu huruf daripada al-Quran maka dia mendapat satu pahala kerana bacaannya itu. Dan satu pahala itu digandakan sebanyak sepuluh kali. Aku tidak mengatakan Alif Lam Mim itu satu huruf, tetapi Alif itu satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.”

Riwayat al-Tirmizi (2910). Hadith ini dinilai Hasan Sahih

Pahala bacaan al-Quran tidak terhad hanya kepada pembacanya sahaja, bahkan mereka yang mendengarnya juga turut mendapat pahala. Selain itu, mereka yang banyak membaca al-Quran dan hatinya sangat terikat kuat dengan al-Quran dengan menjadikannya sebagai petunjuk dan pedoman dalam hidupnya, maka dia berhak mendapat syafaat sebagaimana dinyatakan dalam hadis daripada Abu Umamah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لِأَصْحَابِهِ

Maksudnya:Bacalah al-Quran kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat sebagai syafaat kepada para pembacanya”.

Riwayat Muslim (804)

Walau apapun tawarannya, jika tiada keupayaan untuk membacanya, maka manfaat besar al-Quran itu langsung tidak berguna. Satu kajian telah menunjukkan bahawa masih kedapatan umat Islam di Malaysia yang sudah di peringkat umur dewasa masih tidak boleh membaca al-Quran atau boleh membacanya tetapi tidak lancar, malah yang lebih menyedihkan ada yang langsung tidak mengenali huruf atau diistilahkan sebagai “buta al-Quran.”  Sungguh malang, kerana kegagalan membaca al-Quran dengan baik dan sempurna membawa kesan yang buruk terhadap individu Muslim. Antara kesannya ialah:

  • Tidak sah solat dan tidak sempurna ibadah-ibadah lain yang melibatkan bacaan al-Quran.
  • Menjadi malas dan tidak berminat untuk mengerjakan ibadah kepada Allah.
  • Tidak memahami hukum-hukum yang diterangkan dalam al-Quran.
  • Hidup tanpa mempunyai matlamat yang jelas.

Berdasarkan fenomena-fenomena yang telah berlaku ke atas umat Islam kini, maka amat wajar sekali umat Islam kembali kepada al-Quran dengan mempelajari, membaca dan memahami pengertian ayat-ayat di dalamnya serta mengamalkan suruhannya dengan sebaik mungkin dan penuh keikhlasan. Sikap proaktif  Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP)  amat dipuji apabila bersedia bekerjasama dengan majlis agama Islam di seluruh negara, bagi memperluaskan program ‘Jom Celik al-Quran’ dalam usaha meningkatkan kemahiran membaca al-Quran dalam kalangan masyarakat Islam. (Lihat Tafsir al-Bayan, 3/68-69)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami menutup perbincangan ini dengan nasihat Imam al-Nawawi di dalam al-Tibyan bahawa kita perlu berwaspada apabila menjadikan al-Quran sebagai satu-satunya punca pendapatan dalam mencari rezeki. Kesimpulannya, kita dituntut untuk sentiasa mempelajari dan mengajarkannya bagi sesiapa yang mampu. Ini kerana, Nabi SAW menyifatkan golongan ini sebagi sebaik-baik manusia. Sebagaimana di dalam hadith yang diriwayatkan daripada Uthman bin Affan RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ القُرْآنَ وَعَلَّمَهُ

Maksudnya: “Sebaik-baik kamu adalah orang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya”.

Riwayat al-Bukhari (5027)

Akhirnya, semoga Allah SWT menjadikan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang mencintai dan melazimi dalam membaca al-Quran serta beramal dengan apa yang terdapat di dalam kitab-Nya. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

Leave a Reply