Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah mengambil fatwa daripada yang kurang afdhal ketika adanya yang paling afdhal

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Perintah Allah kepada Nabi Muhammad SAW supaya mengikuti jejak langkah Nabi Ibrahim A.S menjadi dalil kepada keharusan orang yang lebih alim dan mulia mengikuti orang yang kurang darjat berbanding dirinya. Hal ini kerana Nabi Muhammad SAW merupakan semulia-mulia makhluk, tetapi Baginda diperintahkan juga supaya mengikuti Nabi Ibrahim AS. Kedua-duanya adalah nabi pilihan, tetapi yang paling mulia dan tinggi kedudukannya sudah tentulah Nabi Muhammad SAW.

Dalam konteks pada hari ini, kita dapat melihatnya dalam soal keharusan untuk bertaqlid dan bertanya kepada orang alim yang mafdhul iaitu orang yang kurang afdhal dalam kalangan para alim, ketika mana terdapatnya orang alim yang al-Fadhil iaitu lebih utama dalam kalangan mereka. Mereka berhujah berdasarkan firman Allah:

فَسْـَٔلُوٓا۟ أَهْلَ ٱلذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Maka, tanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui.”

(Surah al-Nahl: 43)

Lafaz Ahl al-Zikr yakni ‘orang yang mempunyai pengetahuan’ dalam ayat di atas  adalah bersifat umum, merangkumi al-Mafdhul dan al-Afdhal. Selain itu, di antara hujah mereka  yang lain ialah keputusan (kata putus) pada zaman sahabat iaitu dengan fatwa daripada setiap sahabat termasuklah daripada kalangan mereka yang mafdhul, dan perkara ini dianggap sebagai ijma‘ daripada mereka (para sahabat) akan keharusannya. (Lihat Tafsir al-Bayan, 3/87-88)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Leave a Reply