Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah al-Quran boleh membina minda saintifik?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Al-I‘jaz dari segi bahasa ialah lemah dan tidak berdaya untuk melakukan sesuatu, dan ia lawan kepada “القدرة” (yakni keupayaan dan kemampuan). Manakala dari segi istilah ia bermaksud lemahnya keupayaan manusia untuk mendapatkan mukjizat dan melakukannya (mendatangkannya), dalam keadaan manusia itu bersungguh-sungguh serta memberi perhatian pada perkara tersebut, Kemudian, kelemahan (atau ketidakupayaan) ini berterusan dari zaman berzaman sehinggalah kini. I‘jaz al-Quran pula bermaksud menzahirkan kebenaran Nabi SAW pada dakwaannya sebagai seorang rasul, dengan menampakkan kelemahan (atau ketidakupayaan) orang-orang Arab untuk melawannya (atau mengingkarinya) pada mukjizatnya yang abadi — yakni al-Quran — dan juga kelemahan (atau ketidakupayaan) generasi-generasi selepasnya pada perkara tersebut. (Lihat al-Wadhih fi ‘Ulum al-Quran, hlm. 150-151).

Imam al-Suyuti dalam mendefinisikan mukjizat berdasarkan pemahaman syara’ ialah kejadian yang melampaui batas kebiasaan, didahului tantangan tanpa adanya tandingan, baik secara hissi atau maknawi. (Lihat al-Itqan fi ‘Ulum al-Quran, 4/3)

Syeikh Muhammad Ali al-Sabuni menyebutkan, mukjizat didefinisikan sebagai: “Perkara yang luar biasa yang tidak mengikut hukum sebab musabab yang difahami. Ia dijadikan Allah untuk berlaku di tangan para Rasul sebagai bukti tentang kebenaran mereka.”  (Lihat al-Tibyan fi ‘Ulum al-Quran, hlm. 99)

I‘jaz ilmi ialah ilmu yang membicarakan fakta-fakta saintifik yang baru ditemui, sedangkan ia telah disebut dalam Al-Quran sejak awal lagi. Ia juga didefinisikan sebagai terjadinya persamaan antara realiti ilmiah dengan nas-nas kauniyah yang termaktub di dalam al-Quran.

Mukjizat ilmiah ini bertujuan untuk menegaskan akan kebenaran al-Quran, sehingga ia akan menjadi jawapan terhadap orang yang mempertanyakan kebenarannya, membantah terhadap orang yang menentangnya serta semakin meneguhkan hati orang yang telah berpegang dengannya. Mukjizat ilmiah secara tidak langsung merupakan janji Allah berdasarkan firman-Nya:

سَنُرِيهِمْ آيَاتِنَا فِي الْآفَاقِ وَفِي أَنفُسِهِمْ حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُ الْحَقُّ ۗ أَوَلَمْ يَكْفِ بِرَبِّكَ أَنَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ شَهِيدٌ

Maksudnya: “Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu?”

(Surah Fussilat: 53)

Ibn Kathir dalam tafsirnya menyatakan, Allah SWT akan menunjukkan bukti-bukti serta dalil-dalil di alam ini yang menunjukkan bahawa al-Quran ini adalah benar yang diturunkan daripada Allah ke atas Rasul-Nya SAW dengan dalil-dalil daripada luar (mukjizat). (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 7/187)

 Al-Quran Membina Minda Saintifik

Firman Allah SWT:

إِنَّ هَـٰذَا ٱلْقُرْءَانَ يَهْدِى لِلَّتِى هِىَ أَقْوَمُ وَيُبَشِّرُ ٱلْمُؤْمِنِينَ ٱلَّذِينَ يَعْمَلُونَ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ أَنَّ لَهُمْ أَجْرًۭا كَبِيرًۭا

Maksudnya: “Sesungguhnya al-Quran ini memberi hidayah ke jalan yang amat lurus dan menyampaikan berita gembira kepada para mukmin yang mengerjakan amalan soleh bahawa mereka akan memperoleh pahala yang amat besar.”

(Surah al-Isra’: 9)

Al-Quran kalamullah yang agung merupakan mukjizat terbesar bagi Nabi Muhammad SAW. Isi kandungannya merupakan sumber intelektual dan spiritual Islam. Ia merupakan asas bukan hanya bagi agama dan pengetahuan spiritual tetapi bagi semua ilmu pengetahuan. Ia merupakan sumber utama inspirasi pandangan muslim tentang kesepaduan sains dan pengetahuan intelektual. Kepentingan al-Quran dari sudut sains ialah dalam memberi panduan asas, khususnya dalam konteks kaedah. Pasti tidak ada percanggahan antara penemuan sains dan apa yang disebut di dalam al-Quran al-Karim, kecuali jika pengkaji tersilap dalam membuat pencarian dan sememangnya sains dan al-Quran tidak dapat dipisahkan.

Dalam konteks penafsiran al-Quran dan pembuktian penemuan sains dan ilmiah ke atas ayat al-Quran, ia berfungsi untuk memperluaskan pandangan dan pemahaman tentang ayat tersebut. Beberapa contoh ayat-ayat al-Quran yang berkaitan dengan sains tabii yang menyentuh berkaitan disiplin-disiplin kajihayat, astronomi, perubatan, geologi, ilmu bumi, ilmu laut, ilmu angkasa lepas dan sebagainya. Ayat-ayatnya adalah seperti dalam Surah Fussilat, ayat 53-54, Surah al-Zariyat, ayat 20-21, Surah al-Tariq, ayat 5-7, Surah al-Rahman, ayat 1-13, Surah  al-Insan, ayat 1-3, Surah al-An’am, ayat 97-98, Surah al-Nur, ayat 43-44, Surah al-Nahl, ayat 4-14, Surah al-Ghasiah, ayat 17-26, Surah al-Baqarah, ayat 164, Surah al-Rum, ayat 20-27, Surah al-Hajj, ayat 18 dan lain-lain lagi. Manakala contoh ayat-ayat al-Quran berkaitan dengan sains kemasyarakatan yang menyentuh berkaitan dengan aspek sosiologi, antropologi, psikologi, ekonomi, sains politik, geografi, sejarah dan lain-lain adalah seperti berikut; Surah Yusuf, ayat 109-111, Surah al-Hajj, ayat 45-46, Surah al-Rum, ayat 7-11 dan 50, Surah Fussilat, ayat 54, Surah al-Mulk, ayat 2, Surah al-A’raf, ayat 96, Surah Ibrahim, ayat 7, Surah al-Nur, ayat 55, Surah al-Kahfi, ayat 32-42 dan lain-lain lagi.

Namun dalam setengah keadaan, pembuktian dari sudut sains atau penemuan ilmiah tidak mampu dilakukan kerana pengetahuan ilmiah manusia amat terhad berbanding ilmu Allah SWT yang sangat luas. Justeru, pergantungan pemahaman ayat Al-Quran dengan menggunakan pengetahuan saintifik semata-mata adalah tidak tepat. Ini kerana al-Quran merupakan kitab yang memberikan petunjuk (signs) kepada umat Islam, bukan sebuah buku sains. Ia merupakan wahyu Allah SWT dan ia mengajak manusia supaya berfikir, mengkaji dan meneliti setiap ciptaan-Nya.

Selain itu, al-Quran juga menjadi petunjuk ke arah mewujudkan minda saintifik. Antara ciri-ciri minda saintifik yang diajar dalam al-Quran ialah:

  • Mementingkan dalil dan bukti. Dalam Surah al-Baqarah ayat 260, Allah SWT menceritakan tentang Nabi Ibrahim A.S yang memohon kepada Allah agar ditunjukkan kepada Baginda bukti berhubung kebangkitan semula selepas mati. Hal ini bertujuan untuk mengukuhkan lagi keyakinan yang sedia mantap. Baginda berkata, “Wahai Tuhanku, tunjukkanlah kepadaku tentang bagaimana Kamu menghidupkan mereka yang mati. Berkata Allah: Apakah kamu tidak yakin? Berkata Ibrahim: Aku telah yakin akan tetapi agar hatiku mantap (dengan iman).” Dalam konteks Nabi Ibrahim, permintaan Baginda untuk melihat bagaimana Allah menghidupkan orang yang mati bertujuan untuk meningkatkan lagi makam keyakinan Baginda daripada ilmu al-Yaqin (keyakinan berdasarkan hujah ilmu) kepada ain al-yaqin (keyakinan berdasarkan penglihatan). Hal ini disebutkan dalam al-Asas fi al-Tafsir oleh Said Hawa. Oleh sebab itu, bukti dan dalil adalah penting.
  • Menolak taqlid buta yang mengandungi khurafat dan tahayul. Dalam Surah al-Baqarah ayat 170, Allah berfirman, “Apabila dikatakan kepada mereka: ‘Ikutlah apa yang telah diturunkan Allah,’ mereka menjawab: ‘(Tidak), tetapi kami akan ikut apa yang telah kami dapati dari perbuatan nenek moyang kami’. Apakah mereka tetap hendak mengikut walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui suatu apa pun dan tidak mendapat petunjuk?” Sebahagian daripada adat resam dan budaya bangsa yang diamalkan oleh masyarakat pada hari ini mengandungi khurafat dan tahayul. Umat Islam dituntut mencari hujah dan dalil sebelum mempercayai sesuatu. Khurafat dan tahayul merupakan kepercayaan yang tidak berasaskan bukti lagi tidak masuk akal. Islam menentang kepercayaan yang seperti ini, sebagai contoh, kepercayaan terhadap konsep sial majal. Berhubung dengan ini al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan sabda Nabi yang bermaksud, “Tidak ada sial majal (dalam Islam).” Dalam riwayat yang lain oleh al-Bukhari, Nabi S.A.W bersabda, “Tidak ada sial pada bulan Safar.” Dalam sesetengah masyarakat, kadangkala kesialan dikaitkan dengan bunyi binatang tertentu, contohnya bunyi burung hantu, ataupun suara-suara tertentu. Rasulullah S.A.W menolak kepercayaan yang dangkal ini melalui sabda Baginda yang bermaksud, “(Mempercayai) kesialan pada suara-suara (tertentu…adalah daripada perbuatan syaitan.” Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Daud.
  • Suka mengkaji serta membuat analisis, antaranya, mengkaji alam secara sistematik. Inilah yang tersirat di sebalik firman Allah S.W.T yang terdapat dalam Surah al-Ghasyiah ayat 17 hingga 20 yang bermaksud, “Apakah mereka tidak melihat kepada unta bagaimana ianya diciptakan. Dan langit bagaimana ia ditinggikan. Dan gunung-ganang bagaimana ia ditegakkan. Dan bumi bagaimana ia dihamparkan.” Justeru, golongan pengkaji dimuliakan oleh Allah S.W.T dan Dia menggelar mereka sebagai ulul albab. Dalam Surah Ali Imran ayat 190 hingga 191, Allah SW.T. berfirman, “Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi ulul albab. (Iaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka banyak berfikir tentang penciptaan langit dan bumi seraya berkata, ‘Wahai Tuhan kami Kamu tidak menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada seksa neraka’.”
  • Bersedia untuk menerima penemuan serta kajian yang sah lagi autentik terutamanya pada aspek duniawi. Nabi Muhammad SAW merupakan contoh yang terbaik dalam aspek ini. Dalam aspek duniawi Baginda SAW amat menghormati rumusan dan konklusi yang diputuskan berdasarkan pengamatan serta bukti yang sahih. Pernah pada suatu ketika, Baginda SAW menegur sahabat-sahabat yang telah mengacukkan pohon-pohon kurma demi memperoleh hasil yang lebih baik. Justeru, kerana menghormati Nabi mereka tidak lagi mengacukkan pohon-pohon itu. Hasilnya ialah produktiviti yang menurun dan keadaan ini akhirnya menyebabkan mereka menceritakan kepada Baginda SAW. Nabi SAW terus menyuruh mereka meneruskan dengan amalan yang asal, iaitu mengacukkan pohon-pohon kurma, kerana telah terbukti cara itu mendatangkan hasil yang lebih baik. Berkaitan dengan insiden inilah, Nabi SAW bersabda (berpandukan hadis Muslim daripada Rafi’ bin Khadij), “Kamu lebih tahu tentang urusan duniamu.”
  • Bersikap inovatif. Mengikut Kamus Dewan, inovatif bermaksud ‘gagasan atau pendekatan yang membawa pembaharuan’. Salah seorang peribadi unggul yang inovatif yang kisahnya disebutkan dalam al-Quran ialah raja Zulqarnain. Beliau pernah menemui satu kumpulan manusia yang terpencil dan mereka memohon jasa baik beliau melakukan sesuatu yang dapat mencegah Yakjuj dan Makjuj daripada mendatangkan kerosakan ke atas mereka. Zulqarnain bersetuju untuk menolong mereka dengan membina sebuah tembok yang luar biasa. Berhubung dengan ini Allah SWT berfirman: Zulkarnain berkata, “Kumpulkan kepadaku kepingan-kepingan besi.” Apabila sama ketinggiannya dengan dua bukit itu sehingga menutup ruangan di antara keduanya, Zulkarnain mengarahkan, “Nyalakan api sehingga panas.” Apabila besi itu telah merah menyala dia berkata, “Berikan padaku cairan tembaga untuk aku tuangkannya ke atas kepingan besi tadi.” Maka Yakjuj dan Makjuj tidak dapat lagi memanjatnya ataupun menebuknya. (Surah al-Kahfi : 96-97) (Lihat Tafsir al-Bayan, 3/109-112)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

Leave a Reply