Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah rahsia Kaabah sebagai kiblat umat Islam? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu firman Allah SWT:

قَدْ نَرَىٰ تَقَلُّبَ وَجْهِكَ فِى ٱلسَّمَآءِ ۖ فَلَنُوَلِّيَنَّكَ قِبْلَةًۭ تَرْضَىٰهَا ۚ فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ ٱلْمَسْجِدِ ٱلْحَرَامِ ۚ وَحَيْثُ مَا كُنتُمْ فَوَلُّوا۟ وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُۥ ۗ وَإِنَّ ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْكِتَـٰبَ لَيَعْلَمُونَ أَنَّهُ ٱلْحَقُّ مِن رَّبِّهِمْ ۗ وَمَا ٱللَّهُ بِغَـٰفِلٍ عَمَّا يَعْمَلُونَ

Maksudnya: “Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang menengadah ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (tempat letaknya Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan Kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar dari Tuhan mereka; dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan.

(Surah al-Baqarah: 144)

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, menurut Muhammad al-Zuhaili, bagi umat Islam yang berada jauh dari Kaabah atau mereka yang terhalang terus daripada melihat Kaabah, hal demikian tidak memudaratkan solat jika posisi mereka agak ke kanan sedikit atau ke kiri sedikit dari ‘ain Kaabah. Hal ini kerana, kesilapan tersebut tidaklah terlalu jauh, selagi mana tidak melencong dari arah Kaabah. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 1/215-216).

Berdasarkan pengiraan falak, arah kiblat dari Malaysia adalah 290-293 darjah dari utara. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-79 pada tahun 2007 memutuskan had berpaling yang dibenarkan dari arah kiblat adalah tidak melebihi 3 darjah. Ia tidak perlu difatwakan, tetapi ia boleh dijadikan sebagai garis panduan bagi pembinaan masjid dan surau. (Lihat Kompilasi Pandangan Hukum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, hlm. 47).

Bagi menangani isu kiblat yang terpesong bagi mihrab masjid atau surau, kaedah jihah Kaabah diguna pakai berdasarkan kepada firman Allah SWT pada ayat 144. Dalam ayat tersebut, kalimah (شطر) menurut al-Syafi‘i dan Fakhr al-Din al-Razi bermaksud jihah (sudut). (Lihat Mafatih al-Ghaib, 4/97). Kaedah jihah Kaabah juga adalah berdasarkan pendapat jumhur ulama yang berhujah dengan hadith yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi, daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَا بَيْنَ الْمَشْرِقِ وَالـمَغْرِبِ قِبْلَةٌ

Maksudnya: “Apa yang di antara timur dan barat adalah kiblat.”

Riwayat al-Tirmizi (344) dan beliau menilainya sebagai hasan sahih.

Justeru, penetapan arah kiblat berdasarkan jihah membenarkan had berpaling yang lebih luas daripada kiblat sebenar berbanding penetapan berdasarkan ‘ain Kaabah. Manakala, bagi pembinaan masjid atau surau dan pembukaan tanah perkuburan Islam yang baru, pengukuran arah kiblat perlu dibuat berdasarkan kedudukan ‘ain Kaabah dengan tepat secara zan (sangkaan yang kuat) dengan menggunakan instrumen berkejituan tinggi.[1]

Menurut HAMKA, sekiranya satu batu jatuh dari pusat langit yang terletak di Bait al-Ma‘mur, maka batu tersebut pasti akan tepat jatuh di atas Kaabah. Ini menunjukkan bahawa Kaabah yang terletak di Makkah merupakan pusat bumi, ekoran ia terletak bersetentang dengan Kaabah yang lain di Bai al-Ma‘mur di langit ketujuh. (Lihat Tafsir al-Azhar, 1/304).

Perlu juga diberi perhatian, perintah menghadap kiblat di Masjidil Haram diulang dalam   ayat 144, 149, dan 150, perintah menghadap kiblat ke Masjidil Haram telah disebut sebanyak lima kali. Faedah pengulangan perintah ini menurut al-Sabuni, adalah kerana ia merupakan ayat pertama dalam al-Quran yang menampilkan persoalan al-Nasikh dan al-Mansukh dalam hukum syariat. Ini kerana, ayat 144 telah memansuhkan perintah asal yang terdapat dalam hadith Nabi SAW mengenai kiblat pertama umat Islam iaitu Baitul Maqdis sebagaimana yang terdapat dalam hadith yang direkodkan daripada al-Bara bin ‘Azib RA:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عليه وَسَلَّمَ أَقَامَ يَسْتَقْبِلُ بَيْتَ الْمَقْدِسِ فِي الصَّلَاةِ سِتَّةَ عَشَرَ شَهْرًا ثُمَّ نُسِخَ ذَلِكَ بِطَلَبِ التَّوَجُّهِ إِلَى الْكَعْبَةِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi pernah menghadap ke arah Baitul Maqdis selama 16 bulan, selepas itu ia dimansuhkan dan Nabi SAW diarahkan menukar kiblat ke arah Kaabah pula.

Riwayat al-Bukhari (4486)

Memandangkan ia merupakan ayat pertama yang menjadi nasikh, perintah pertukaran kiblat ke Kaabah diulang beberapa kali sebagai penegasan dan penetapan (التقرير) bagi menghilangkan keraguan dalam hati umat Islam. (Lihat Safwah al-Tafasir, 1/104).

Dalam kajian moden, teknik pengulangan dalam ucapan dipercayai dapat menyampaikan idea dan maklumat dengan lebih berkesan. Pendengar lebih mudah untuk menerima idea yang ditawarkan secara berulang-ulang, berbanding idea yang hanya disebutkan sekali, ditambah dengan penggunaan gerak badan yang berulang. (Lihat Collaborative idea construction: Repetition of gestures and talk in joint brainstorming, hlm. 157-172). Kajian lain mendapati teknik pengulangan lebih berkesan terhadap memori manusia sehingga idea yang disampaikan mudah untuk diingati semula pada waktu lain. (Lihat Frequency and Repetition Effects in Lexical Memory, hlm. 1). Namun begitu pengulangan yang terlalu kerap boleh mengakibatkan penolakan terhadap idea dan pembawakan, khususnya kepada golongan yang sedar bahawa idea yang disampaikan itu mempunyai masalah fakta, seperti idea-idea propaganda yang cuba ‘membenarkan’ fakta yang salah, dan fenomena penolakan ini disebut sebagai ‘ad nauseam’. (Lihat Ad Nauseam: How Advertising and Public Relations Changed Everything, hlm. 20).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ فضْلِكَ وَرَحْمَتِكَ ، فَإِنَّهُ لا يَمْلِكُهَا إِلا أَنْتَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepada-Mu agar diberi kurniaan dan rahmat-Mu. Sesungguhnya tiada yang memilikinya kecuali-Mu.”

 

Nota kaki:

[1] Lihat Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka, Penetapan Had Selisih Arah Qiblat Yang Dibenarkan Bagi Mihrab Masjid/Surau Yang Telah Dibina Dan Penduduk Yang Berada Jauh Dari Makkah, 2010.

Leave a Reply