Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah iman itu boleh bertambah dan berkurang?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Iman pada bahasa ialah al-tasdiq (membenarkan). Menurut Ibn Manzur, pengertian ini (al-tasdiq) telah disepakati oleh majoriti ilmuan Islam, seperti al-Asfahani, al-Qadhi Iyadh dan al-Tabari juga bersependapat bahawa makna iman dari sudut bahasa ialah membenarkan. Hal ini juga seperti yang disebutkan oleh Ibn Kathir bahawa iman pada bahasa ialah membenarkan atau semata-mata membenarkan. (Lihat Lisan al-’Arab, 3/141; Mufradat Alfaz al-Quran, hlm. 91)

Imam Ahmad berkata: “Iman adalah perkataan dan amalan, boleh bertambah dan berkurang. (Lihat al-Sunnah, 1/207) Imam al-Bukhari dalam awal kitab sahihnya menyebut bahawa: “Iman itu perkataan dan perbuatan, boleh bertambah dan boleh berkurang.” Kemudian beliau berkata lagi: “Cinta kerana Allah dan benci kerana Allah adalah sebahagian daripada iman.” (Lihat Sahih al-Bukhari, dalam kitab al-Iman).

Ibn ‘Abd al-Bar dalam kitabnya al-Tamhid berkata: “Iman menurut ulama’ Ahlus Sunnah di mana mereka adalah Ahlul Athar daripada ulama fiqh dan hadith, – mereka telah bersepakat, iman itu perkataan dan perbuatan dan tidak ada amalan kecuali dengan niat. Iman menurut Ahlus Sunnah bertambah dengan ketaatan dan berkurang kerana maksiat. Segala ketaatan termasuk bahagian daripada iman.” (Lihat al-Tamhid, 9/238)

Iman itu seperti kata Imam Ahmad bin Hanbal, bukan sekadar i‘tiqad, bahkan termasuk ucapan dan juga perbuatan, Iman ini boleh bertambah dan juga berkurang. (Lihat Usul al-Sunnah, hlm. 34)

Imam Abu al-Qasim al-Lalika’i menukilkan kalam Imam al-Syafi‘i, kata beliau: “Dan berdasarkan persepakatan para sahabat, al-Tabi‘in serta orang-orang selepas mereka yang kami bertemu dengannya, bahawa iman itu adalah; perkataan, amal perbuatan dan juga kata-kata. Setiap satu darinya memerlukan kepada yang lain.” (Lihat Syarh Usul I‘tiqad Ahli Sunnah wa al-Jama‘ah, 5/956)

Berkenaan iman itu boleh bertambah dan berkurang, ini telah thabit berdasarkan nas-nas syara‘ yang banyak dari al-Quran dan juga al-Sunnah. Antaranya sebagaimana yang disebutkan oleh Allah SWT di dalam al-Tanzil, dengan menyifatkan bahawa keimanan seseorang itu boleh bertambah apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Allah SWT, serta dikhabarkan kepada mereka berita gembira pertolongan daripada-Nya ketika menentang kaum musyrikin.

Firman Allah SWT:

ٱلَّذِينَ قَالَ لَهُمُ ٱلنَّاسُ إِنَّ ٱلنَّاسَ قَدْ جَمَعُوا۟ لَكُمْ فَٱخْشَوْهُمْ فَزَادَهُمْ إِيمَـٰنًۭا وَقَالُوا۟ حَسْبُنَا ٱللَّهُ وَنِعْمَ ٱلْوَكِيلُ

Maksudnya: “Mereka juga ialah yang diberitahu oleh orang-orang (pembawa berita) kepada mereka: ‘Bahawa kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu hendaklah kamu gerun kepadanya.’ Maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu berkata: ‘Cukuplah untuk (menolong) kami, dan Ia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami)’.”

(Surah Ali ‘Imran: 173)

Dan juga firman Allah SWT:

إِنَّمَا ٱلْمُؤْمِنُونَ ٱلَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ ٱللَّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ ءَايَـٰتُهُۥ زَادَتْهُمْ إِيمَـٰنًۭا وَعَلَىٰ رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.”

(Surah al-Anfal: 2)

Juga disebutkan dalam firman Allah dalam Surah al-Fath:

هُوَ ٱلَّذِىٓ أَنزَلَ ٱلسَّكِينَةَ فِى قُلُوبِ ٱلْمُؤْمِنِينَ لِيَزْدَادُوٓا۟ إِيمَـٰنًۭا مَّعَ إِيمَـٰنِهِمْ ۗ وَلِلَّهِ جُنُودُ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۚ وَكَانَ ٱللَّهُ عَلِيمًا حَكِيمًۭا

Maksudnya: “(Tuhan yang membuka jalan kemenangan itu) Dia lah yang menurunkan semangat tenang tenteram ke dalam hati orang-orang yang beriman (semasa mereka meradang terhadap angkara musuh) supaya mereka bertambah iman dan yakin beserta dengan iman dan keyakinan mereka yang sedia ada; pada hal Allah menguasai tentera langit dan bumi (untuk menolong mereka); dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”

(Surah al-Fath: 4)

Manakala berdasarkan al-Sunnah pula, sebagaimana Rasulullah SAW menyifatkan iman itu ada yang paling afdhal dan ada juga yang paling rendah, ada juga yang diumpamakan seperti biji sawi untuk menggambarkan sedikitnya nilai keimanan pada hati seseorang itu.

Diriwayatkan daripada Abu Sa‘id al-Khudri R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

يَدْخُلُ أَهْلُ الجَنَّةِ الجَنَّةَ، وَأَهْلُ النَّارِ النَّارَ، ثُمَّ يَقُولُ اللهُ تَعَالَى: أَخْرِجُوا مِنَ النَّارِ مَنْ كَانَ فِي قَـلْبِهِ مِثْقَالُ حَبَّةٍ مِنْ خَرْدَلٍ مِنْ إِيمَانٍ. فَـــيُخْرَجُونَ مِنْهَا قَدِ اسْوَدُّوا، فَـيُلْقَوْنَ فِي نَـهَرِ الحَيَا، أَوِ الحَيَاةِ – شَكَّ مَالِكٌ – فَـيَنْبُتُونَ كَمَا تَــــــنْـبُتُ الحِبَّةُ فِي جَانِبِ السَّيْلِ، أَلَمْ تَـرَ أَنَّـهَا تَخْرُجُ صَفْرَاءَ مُلْتَوِيَةً.

قَالَ وُهَيْبٌ: حَدَّثَـــنَا عَمْرٌو: الحَيَاةِ، وَقَالَ: خَرْدَلٍ مِنْ خَيْرٍ

Maksudnya: “Ahli syurga akan masuk ke dalam syurga dan ahli neraka akan masuk ke dalam neraka.” Kemudian Allah SWT berfirman: ‘Keluarkan dari neraka sesiapa yang ada di dalam hatinya iman walaupun hanya sebesar biji sawi.’ Maka mereka dikeluarkan dari neraka dalam keadaan hitam legam lalu dicampakkan ke dalam sungai daripada titisan hujan atau sungai kehidupan – Malik ragu (tidak pasti yang mana satu daripada dua perkataan tadi telah disebutkan oleh perawi) – Lalu mereka tumbuh seperti tumbuhnya biji benih di pinggir tebing selepas surutnya banjir. Tidakkah engkau melihat bagaimana biji-biji benih itu keluar dalam keadaan warna kekuningan dan subur?”

Wuhaib berkata: ‘Amr menyampaikan kepada kami perkataan ‘الحياة’ (sungai kehidupan) dan berkata ‘خَرْدَلٍ مِنْ خَير’ (kebaikan seberat biji sawi) pada tempat ‘خَرْدَلٍ مِنْ إِيمَانٍ’.”

Riwayat al-Bukhari (22) dan Muslim (184)

Dalam riwayat Abu Hurairah R.A pula, Rasulullah SAW bersabda:

الإِيمَانُ بِضْعٌ وَسَبْعُونَ أَوْ بِضْعٌ وَسِتُّونَ شُعْبَةً فَأَفْضَلُهَا قَوْلُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَدْنَاهَا إِمَاطَةُ الأَذَى عَنِ الطَّرِيقِ وَالْحَيَاءُ شُعْبَةٌ مِنَ الإِيمَانِ

Maksudnya: “Iman itu mempunyai 70 lebih atau 60 lebih cabang. Yang paling afdhalnya ialah ucapan ‘لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ’ dan yang paling rendahnya adalah membuang apa yang menyakitkan dari jalan. Dan malu itu sebahagian daripada iman.”

Riwayat Muslim (162)

Bahkan dalam masalah bertambah dan berkurangnya iman ini, ia juga disokong dengan persepakatan sahabat dan al-tabi‘in serta mereka yang mengikut jejak mereka. Antara mereka adalah:

Daripada Mu‘az bin Jabal R.A, katanya:

اجْلِسْ بِنَا نُـؤْمِنْ سَاعَةً

Maksudnya: “Duduklah bersama kami sejenak untuk menambah iman (iaitu dengan mengingati ajaran Allah dan Rasulnya).”

Riwayat al-Bukhari secara mu‘allaq sebelum hadith ke (8)

Dan diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa dia menyebutkan dengan jelas:

الْإِيمَانُ يَزِيدُ وَيَنْقُصُ

Maksudnya: “Iman itu bertambah dan berkurang.” (Lihat al-Sunnah oleh Abu Bakar al-Khallal, 4/38; Syarh Usul I‘tiqad Ahli Sunnah wa al-Jama‘ah, 5/1016)

Dinukilkan juga kalam Yahya bin Sa‘id al-Qattan, katanya: “Aku tidak tahu seorang pun dari kalangan sahabat kami melainkan mereka di atas sunnah kami tentang iman. Mereka mengatakan bahawa iman itu bertambah dan berkurang.” (Lihat Masa’il Ahmad; Riwayat Ibn Hani’, 2/162)

Imam Ibn Battah juga ada membawakan senarai para ulama’ salaf terdahulu yang menyatakan bahawa iman itu bertambah dan berkurang, danantara yang menyebutkan itu adalah Sa‘id bin Jubair. (Lihat al-Ibanah al-Kubra, 2/814)

Syeikh ‘Abd al-‘Aziz al-Tarifi mengatakan, antara yang menukilkan ijma‘ dalam masalah ini adalah Imam ‘Abd al-Razzaq, Imam Ahmad, Imam al-Bukhari, Imam Ibn Abi Hatim, Imam Abu Zur‘ah, Imam Abu ‘Ubaid, Imam Ibn ‘Abd al-Bar, dan lain-lain.

Beliau menambah lagi, bahawa Imam Ahmad berkata: “Jika engkau melakukan kebaikan, nescaya bertambahlah iman. Dan jika engkau meninggalkannya, berkuranglah iman.” (Lihat al-Maghribiyyah, hlm. 225-226)

Kesimpulan

Natijah dari hujjah yang kami bawakan, kami katakan bahawa beginilah sebagaimana yang disepakati oleh ulama’ terdahulu semenjak dari zaman para sahabat sehingga al-tabi‘in dan orang selepas mereka, dan tertegaknya kalam mereka dengan nas-nas yang jelas daripada syara‘, iaitu keimanan seseorang itu boleh bertambah dan berkurang.

Pertambahan iman itu dengan bertambahnya amalan ketaatan kepada Allah SWT, dan berkurangnya ia dengan meninggalkan amal ketaatan.

Semoga kita semua senantiasa melazimi ketaatan agar dapat meningkatkan keimanan kita kepada Allah SWT. Kami akhiri dengan doa:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ وَعَلَى طَاعَتِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu dan ketaatan kepada-Mu.”

Wallahu a‘lam

Leave a Reply