Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah sah jika seseorang itu menyembelih haiwan korban dengan tangan kiri? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, aturan dalam pelaksanaan ibadah korban telah pun ditetapkan oleh syariat dengan jelas. Bagi pelaksanaan ibadah korban, telah diletakkan syarat haiwan-haiwan tertentu dalam melaksanakan ibadah ini iaitu unta, lembu (termasuk kerbau) dan kambing (termasuk biri-biri dan kibasy) serta jenis-jenisnya. Selain daripada tiga jenis haiwan tersebut, tidak pernah dinukilkan pula daripada Nabi SAW dalam melakukan ibadah korban.

Para ulama telah bersepakat menyatakan bahawa binatang-binatang yang boleh dibuat korban ialah binatang-binatang yang termasuk dalam kategori bahimah al-an‘am (haiwan ternakan) yang diwajibkan zakat iaitu unta, lembu (termasuk kerbau) dan kambing (termasuk biri-biri dan kibasy).

Allah SWT berfirman:

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ جَعَلْنَا مَنسَكًا لِّيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّـهِ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُم مِّن بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ

Maksudnya: “Dan bagi tiap-tiap umat telah Kami syariatkan penyembelihan (korban), supaya mereka menyebut nama Allah terhadap bahimatul an‘am (binatang ternakan) yang telah direzekikan Allah kepada mereka.”

(Surah al-Hajj: 34)

Imam al-Baghawi berkata: Lafaz “بَهِيمَة” (haiwan) diikat dengan lafaz “النَّعَم” (ternakan) kerana ada daripada haiwan yang bukan daripada jenis haiwan ternakan seperti kuda, baghal dan keldai. Oleh itu, tidak boleh menyembelihnya sebagai korban. (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 5/385).

Imam al-Syaukani pula menyebutkan, ini mengisyaratkan bahawa haiwan korban hanya berupa binatang ternakan, tidak yang lain. (Lihat Fath al-Qadir, 3/535). Binatang ternakan (بَهِيمَة الْأَنْعَام) bermaksud unta, lembu dan kambing (termasuk segala jenis-jenisnya). Ini telah diketahui dan masyhur dalam kalangan orang-orang Arab. Selain itu, ini juga merupakan pendapat al-Hasan, Qatadah dan lain-lain. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/9).

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, menyembelih haiwan korban dengan tangan kanan termasuk dalam perkara yang dianjurkan (sunat). Ini adalah sebagaimana dinyatakan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah bahawa termasuk dalam perkara yang dianjurkan atau disunatkan adalah menyembelih haiwan dengan tangan kanan. Ini dinyatakan dengan jelas oleh ulama al-Malikiyyah dan al-Syafi‘iyyah. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 21/198).

Tambahan lagi, menyembelih binatang korban adalah sebahagian daripada ibadah, dan setiap ibadah itu dianjurkan dimulakan atau dilakukan dengan tangan kanan. Diceritakan bahawa Rasulullah SAW suka mendahulukan bahagian kanan dalam urusan Baginda. Ini sebagaimana riwayat daripada Aisyah R.Anha, katanya:

كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يُعْجِبُهُ التَّيَمُّنُ فِي تَنَعُّلِهِ وَتَرَجُّلِهِ وَطُهُورِهِ وَفِي شَأْنِهِ كُلِّهِ

Maksudnya: “Nabi SAW selalu mendahulukan bahagian kanan dalam memakai selipar, menyikat rambut, bersuci dan dalam setiap urusan kehidupan sehariannya.”

Riwayat al-Bukhari (168)

Tajuddin al-Fakihani setelah mensyarahkan hadith di atas, beliau menyebutkan, ini adalah kaedah/prinsip yang berterusan dalam syariat; iaitu segala sesuatu yang termasuk dalam perkara yang dimuliakan dan diberi penghormatan seperti memakai pakaian, seluar dan kasut, masuk ke dalam masjid, menggunakan siwak, memakai sandal, memotong kuku, menggunting misai, menyikat rambut, mencabut bulu ketiak, mencukur kepala, memberi salam ketika dalam solat, membasuh anggota-anggota taharah (bersuci), keluar dari tandas, makan dan minum, berjabat tangan, istilam Hajarul Aswad, dan lain-lain yang memiliki makna serupa, adalah disunatkan untuk dimulakan dengan bahagian yang kanan.

Adapun hal-hal yang berlawanan dengannya, seperti masuk ke dalam tandas, keluar dari masjid, beristinja’, membuka atau melepaskan pakaian, seluar, dan kasut, dan seumpamanya, maka adalah disunatkan untuk dimulakan dengan tangan kiri. Semua ini adalah untuk menghormati dan memuliakan tangan kanan. (Lihat Riyadh al-Afham fi Syarh ‘Umdah al-Ahkam, 1/162).

Sekalipun begitu, sekiranya seseorang tidak dapat menyembelih korban dengan tangan kanan, sama ada kerana dia seorang kidal, atau atas sebab lain, maka tidak ada masalah untuk dia menyembelih korban dengan tangan kiri. Menyembelih haiwan korban dengan tangan kiri, terutama atas sebab-sebab tertentu, adalah dibenarkan dan sah. Begitu juga meskipun sebenarnya tangan kanannya boleh digunakan untuk menyembelih haiwan korban tetapi dia tetap menggunakan tangan kirinya, maka sembelihan tersebut tetap dikira sah. Ini kerana menggunakan tangan kanan ketika menyembelih haiwan tidak termasuk dalam syarat sah sembelihan. Namun, dia telah menyelisihi perkara yang lebih utama (khilaf aula) dan sempurna.

Ini juga adalah sebagaimana jawapan yang dikemukakan dalam Fatawa al-Syabakah al-Islamiyyah (17/648) ketika mereka ditanyakan berkenaan adakah sah sembelihan kibasy dengan tangan kiri? Mereka menjawab, hal yang lebih utama bagi seseorang yang ingin menyembelih haiwan untuk melakukannya dengan tangan kanannya dan tidak dengan tangan kirinya melainkan dalam keadaan tangan kanannya tidak mampu melakukannya. Kemudian, mereka menyebutkan hadith Aisyah R.Anha sebagaimana yang kami telah sebutkan di atas. Lalu mereka menambah lagi, sekiranya seseorang tetap menyembelih haiwan dengan tangan kirinya, sedangkan dia mampu untuk menyembelihnya dengan tangan kanan, maka tidak ada dosa padanya (tidak mengapa), hanya sahaja dia telah meninggalkan sesuatu yang lebih sempurna.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Leave a Reply