Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah tawakal itu tidak memerlukan kepada usaha? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu firman Allah SWT:

فَبِمَا رَحْمَةٍۢ مِّنَ ٱللَّهِ لِنتَ لَهُمْ ۖ وَلَوْ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ ٱلْقَلْبِ لَٱنفَضُّوا۟ مِنْ حَوْلِكَ ۖ فَٱعْفُ عَنْهُمْ وَٱسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِى ٱلْأَمْرِ ۖ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى ٱللَّهِ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلْمُتَوَكِّلِينَ

Maksudnya: “Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.

(Surah Ali ‘Imran: 159)

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa sebenarnya tawakal memerlukan kepada usaha. Ini kerana menurut Ibn al-Athir, tawakal adalah menyerahkan urusan kepada pihak lain atau menggantungkan kepadanya. Hal ini disebabkan kerana kepercayaan penuh kepada yang diserahkan atau ketidakmampuan menanganinya sendiri. (Lihat al-Nihayah fi Gharib al-Hadith wa al-Athar, 5/221).

Ibn Rajab menyatakan bahawa hakikat tawakal adalah benarnya penyandaran hati kepada Allah SWT dalam meraih maslahat dan menolak mudarat berhubung urusan dunia dan akhirat, menyerahkan semua urusan kepada Allah SWT, serta pengukuhan iman bahawa tidak ada yang memberi, menghalang, memudaratkan dan memberikan manfaat kecuali   Dia. (Lihat Jami‘ al-‘Ulum wa al-Hikam, 3/1266).

Nabi SAW bersabda:

لَوْ أَنَّكُمْ تَتَوَكَّلُونَ عَلَى اللَّهِ حَقَّ تَوَكُّلِهِ لَرَزَقَكُمْ كَمَا يَرْزُقُ الطَّيْرَ تَغْدُو خِمَاصاً وَتَرُوحُ بِطَاناً

Maksudnya: “Jika kamu semua benar-benar bertawakal pada Allah SWT, pasti Dia akan memberikan kepada kamu rezeki seperti Dia memberi rezeki kepada burung. Ia keluar pada waktu pagi dalam keadaan lapar dan pulang pada waktu petang dalam keadaan kenyang.

Riwayat al-Tirmizi (2344)

Dalam menjelaskan maksud hadith ini, Imam al-Munawi menyebutkan, perkara ini menunjukkan bahawa tawakal tidak boleh dengan meninggalkan usaha. Sebaliknya tawakal hendaklah dengan melakukan pelbagai usaha yang akan membawa kepada hasil yang diingini. Hal ini kerana burung pun memperoleh rezeki dengan berusaha. Justeru, hal ini memberi petunjuk kepada kita untuk berusaha mencari rezeki.

Dalam hadith ini, Rasulullah SAW mengisyaratkan bahawa tawakal yang sebenarnya bukanlah bererti bermalas-malasan dan enggan melakukan usaha untuk mendapatkan rezeki, sebaliknya tawakal yang benar hendaklah dengan melakukan pelbagai jenis usaha dan cara yang dihalalkan untuk memperoleh rezeki. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 7/8).

Sebagai penegasan, kami nukilkan hadith Nabi SAW, di mana Amr bin Umayyah bertanya kepada Nabi SAW:

يَا رَسُولَ اللَّهِ أَرْسَلَ رَاحِلَتِي وَأَتَوَكَّلُ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: بَلْ قَيِّدْهَا وَتَوَكَّلْ

Maksudnya: “Wahai Rasulullah, aku telah menghantar kenderaan aku dan aku bertawakkal. Maka Rasulullah SAW menjawab: “Ikatlah kenderaan kamu itu dan bertawakkallah.”

Riwayat al-Hakim (6616) dalam al-Mustadrak dan al-Baihaqi (1158) dalam al-Iman. Al-Zahabi mengatakan sanadnya baik.

Hadis di atas menunjukkan bahawa suruhan Nabi SAW kepada sahabatnya supaya mengikat kenderaannya, selepas itu barulah bertawakkal kepada Allah.

Selain itu, usaha dan tawakkal adalah perbuatan seorang hamba, hanya Allah sahaja yang berhak membalas usaha dan tawakkal hamba. Manusia tidak mampu untuk menyempurnakan usahanya tanpa ketentuan dan izin Allah.

Tawakkal tanpa usaha adalah sesuatu yang berlawanan dengan sunnatullah. Haiwan seperti burung sudah ditetapkan rezekinya di sisi Allah dengan usaha yang mereka usahakan, iaitu keluar di pagi hari dan pulang kembali di petang hari dalam keadaan kenyang. (Lihat al-Kafi Syarah Hadis 40, hlm. 529)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ فضْلِكَ وَرَحْمَتِكَ ، فَإِنَّهُ لا يَمْلِكُهَا إِلا أَنْتَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepada-Mu agar diberi kurniaan dan rahmat-Mu. Sesungguhnya tiada yang memilikinya kecuali-Mu.”

Leave a Reply