Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Boleh terangkan kepada kami isu kemiskinan dan bagaimana Islam melihatnya untuk penyelesaian? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu firman Allah SWT:

وَلَا يَحْسَبَنَّ ٱلَّذِينَ يَبْخَلُونَ بِمَآ ءَاتَىٰهُمُ ٱللَّهُ مِن فَضْلِهِۦ هُوَ خَيْرًۭا لَّهُم ۖ بَلْ هُوَ شَرٌّۭ لَّهُمْ ۖ سَيُطَوَّقُونَ مَا بَخِلُوا۟ بِهِۦ يَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ ۗ وَلِلَّهِ مِيرَٰثُ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۗ وَٱللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌۭ

Maksudnya: “Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahanNya – menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. Bahkan ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalungkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak. Dan bagi Allah jualah hak milik segala warisan (isi) langit dan bumi. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan segala yang kamu kerjakan. (mukjizat) yang nyata dan dengan (korban) yang katakan, maka membunuh mereka, jika kamu orang-orang yang benar (dalam apa yang kamu dakwakan itu)?

(Surah Ali ‘Imran: 180)

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa di Malaysia, perangkaan menunjukkan bahawa setakat ini umat Islam yang mewakili lebih kurang 60 peratus penduduk negara ini hanya menguasai lebih kurang 20 peratus sahaja daripada ekonomi. Walaupun ini menunjukkan satu peningkatan di mana kita hanya menguasai lebih kurang 5 peratus sahaja ekonomi negara pada tahun 1970, penguasaan kita masih rendah berbanding kaum Cina yang menguasai 60 peratus daripada ekonomi. Oleh itu, umat Islam di Malaysia masih belum boleh berpuas hati dan berbangga sepenuhnya dengan pencapaian ekonomi mereka setakat ini. Umat Islam di negara ini perlu sentiasa diingatkan tentang kedudukan ekonomi mereka yang masih terbelakang.[1]

Terdapat beberapa faktor kemiskinan orang-orang Islam antaranya kurang tabungan.  Dikatakan bahawa umat Islam di negara ini lazimnya ghairah untuk berbelanja tanpa keperluan dan mempunyai kadar tabungan yang rendah. Bagi mengatasi masalah ini umat Islam perlu kembali kepada kehidupan sederhana dengan mengikuti sunnah Rasulullah SAW iaitu mengamalkan sikap tidak boros.

Daripada Abdullah bin ‘Amr R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كُلُوا، وتصدَّقوا، والبسوا، في غير إسرافٍ ولا مَخِيلَةٍ

Maksudnya: “Makanlah, bersedekahlah dan berpakaianlah tanpa berlebihan dan tanpa kesombongan.

Riwayat Ahmad (6695); Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut menilai sanadnya sebagai hasan.

Kehidupan berjimat cermat dan tidak boros dapat meningkatkan tabungan dan menguatkan ekonomi. Begitu juga tidak bakhil, kerana ia tidak disukai oleh Allah SWT Jika semua orang mengamalkan sifat bakhil, ekonomi setempat tidak dapat digerakkan. Daripada Abdullah bin Amru RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِيَّاكُمْ وَالشُّحَّ، فَإِنَّمَا هَلَكَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ بِالشُّحِّ

Maksudnya: “Berhati-hatilah kamu dengan kebakhilan. Sesungguhnya kebakhilan itu telah membinasakan umat sebelum kamu.”

Riwayat al-Hakim (1516)

Faktor lain adalah merujuk kepada keciciran dalam pendidikan, kelekaan dengan status  pribumi, kurang perpaduan sesama sendiri dan lain-lain perkara yang menyumbang kepada faktor kemiskinan dalam kalangan umat Islam di Malaysia. Justeru umat Islam perlu meningkatkan taraf ekonomi mereka agar menjadi suatu umat yang disegani dan didengari pandangan mereka. Pembangunan ekonomi ummah perlu bermula dengan peningkatan taraf ekonomi individu. Sekiranya ini dilakukan, maka secara kolektif, ekonomi umat Islam akan maju. Gambaran tentang kemiskinan ini dijelaskan oleh Baginda Rasulullah SAW menerusi hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:

لَيْسَ المِسْكِينُ الَّذِي تَرُدُّهُ الأُكْلَةُ وَالأُكْلَتَانِ، وَلَكِنِ المِسْكِينُ الَّذِي لَيْسَ لَهُ غِنًى، وَيَسْتَحْيِي أَوْ لاَ يَسْأَلُ النَّاسَ إِلْحَافًا

Maksudnya: “Orang miskin itu bukanlah orang yang cukup dengan mendapat sesuap atau dua suap makanan, tetapi orang miskin adalah orang yang keperluan asasnya tidak mencukupi, lalu berasa malu atau tidak meminta-minta kepada manusia dengan mendesak.

Riwayat al-Bukhari (273)

Marilah sama-sama kita mengambil iktibar sebuah kisah Abu Umamah al-Bahili R.A yang berdoa berdasarkan ajaran Rasulullah SAW:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada-Mu daripada sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan kedekut. Dan aku berlindung kepada-Mu daripada bebanan hutang dan penindasan manusia.”

Riwayat al-Bukhari (6369), Abu Daud (1555), al-Tirmizi (3484), al-Nasa’ie (5449) dan al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (305)

Doa ini berdasarkan kepada sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri R.A, katanya: “Rasulullah SAW telah memasuki masjid. Didapati pada waktu tersebut ada seorang sahabat daripada kalangan Ansar – dikatakan beliau adalah Abu Umamah R.A – sedang duduk di sana. Baginda lalu bertanya: “Wahai Abu Umamah, kenapa aku melihat engkau sedang duduk di dalam masjid sedangkan bukan pada waktu solat?” Abu Umamah menjawab: “Dukacita dan hutang menyelubungiku wahai Rasulullah!”

Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Mahukah kamu aku ajarkan kepada kamu satu doa jika kamu membacanya Allah akan menghilangkan rasa dukacitamu dan melangsaikan hutangmu.” Abu Umamah menjawab: “Sudah tentu, wahai Rasulullah.” Maka Baginda bersabda: “Ucapkanlah pada waktu pagi dan petang bacaan ini:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Maksudnya: Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat pengecut dan kedekut. Dan aku berlindung kepada Engkau dari bebanan hutang dan penindasan manusia.”

Abu Umamah RA berkata: “Setelah membaca doa tersebut, Allah menghilangkan kedukaanku dan melunaskan hutangku.”

Riwayat al-Bukhari (6369), Abu Daud (1555), al-Tirmizi (3484), al-Nasa’ie (5449) dan al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (305)

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: Terdapat perbezaan antara lemah dan malas. Malas adalah meninggalkan sesuatu yang mampu untuk dilakukan, manakala lemah adalah meninggalkan sesuatu kerana tidak mampu melakukannya. (Lihat Fath al-Bari, 16/95)

Dalam hadith di atas, Rasulullah SAW mengajar kita agar berlindung kepada Allah SWT daripada lapan perkara. Setiap dua perkara memiliki makna yang saling berkaitan sepertimana disebut oleh Imam Ibn al-Qayyim di dalam Badai’ al-Fawa’id (2/207). Kami nukilkan seperti berikut:

Pertama dan Kedua : al-Hamm (الْهَمِّ) (kegelisahan) dan al-Hazan (الْحَزَن) (kesedihan).

Kedua-dua perkara ini akan menjadikan jiwa tidak tenang. Al-Hamm adalah kegelisahan terhadap perkara yang mungkin akan berlaku pada masa depan. Manakala al-hazan adalah kesedihan terhadap sesuatu yang telah terjadi atau kehilangan orang dicintai.

Ketiga dan keempat: Al-‘Ajz (الْعَجْز) (lemah) dan al-Kasal (الْكَسَل) (malas).

Kedua-dua perkara ini juga akan menghalang seseorang untuk mencapai sesuatu yang diingininya. Al-‘Ajz (lemah) adalah apabila seseorang tiada kemampuan untuk melakukan sesuatu walaupun dia ada kemahuan. Manakala al-kasal (malas) adalah tidak adanya kemahuan untuk melakukan pekerjaan walaupun dia berkemampuan.

Kelima dan keenam: Al-Jubn (الْجُبْن) (penakut) dan al-Bukhl (الْبُخْل) (kedekut).

Kedua-dua perkara ini menunjukkan kerisauan yang ada dalam diri seseorang tentang nasib diri dan hartanya pada masa akan datang, lalu dia menjadi penakut dan kedekut. Penakut adalah bagi orang yang takut jiwanya terancam, manakala bakhil khusus bagi orang yang takut hartanya habis. (Lihat Badai’ al-Fawa’id, 2/207)

Ketujuh dan Kelapan: Ghalabat al-Dain (غَلَبَة الدَّيْنِ) (Hutang yang membelit) dan Qahr al-Rijal (قَهْرالرِّجَالِ) (penguasaan orang).

Kedua-dua perkara ini adalah perkara yang sering berkait. Ini kerana apabila seseorang mempunyai hutang yang banyak, maka dia secara tidak langsung berada di bawah kekuasaan orang yang memberi hutang kepadanya.

Imam al-Qurtubi berkata: “Para ulama’ berkata, maksud daripada tekanan hutang adalah, seseorang itu tidak memiliki apa-apa lagi untuk melunaskan hutangnya ketika orang yang memberi hutang menagihnya.”

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

 

Nota kaki:

[1] Lihat Realiti Ekonomi Umat Islam, http://www.ikim.gov.my/index.php/2000/01/01/realiti-ekonomi-umat-islam/3/5/2020.

Leave a Reply