Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya adakah terdapat ghibah yang dibenarkan dalam islam dan jika ada apakah jenisnya? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.
(Surah al-Hujurat:12)
Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan di sini bahawa Semua bentuk ghibah yang dijelaskan sebelum ini diharamkan dalam Islam secara ijmak ulama kecuali pada tujuh keadaan yang dibenarkan atas dasar maslahat yang lebih umum, iaitu:
- Aduan tentang kezaliman seseorang kepada hakim atau orang yang berkenaan.
- Aduan tentang kemaksiatan seseorang untuk menolak kemungkaran.
- Aduan tentang keburukan seseorang untuk mendapatkan hukum dan fatwa daripada perlakuannya.
- Menceritakan keburukan seseorang sebagai amaran kepada orang Mukmin yang lain agar menjauhi keburukan tersebut. Daripada Aisyah R.A berkata:
اسْتَأْذَنَ رَجُلٌ عَلَى رَسُولِ اللَّهَِّ صَلَّى اللَّهَُّ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: ائْذَنُوا لَهُ بِئْسَ أَخُو الْعَشِيرةَِ أَوْ ابْنُ الْعَشِيرةَِ. فَلَمَّا دَخَلَ أَلََانَ لَهُ الْكَلََامَ. قُلْتُ: يََا رَسُولَ اللَّهَِّ قُلْتَ الَّذِي قُلْتَ ثُُمَّ أَلَنْتَ لَهُ الْكَلََامَ. قَالَ: أَيْ عَائِشَةُ إِنَّ شَرَّ النَّاسِ مَنْ تَرَكَهُ النَّاسُ أَوْ وَدَعَهُ النَّاسُ اتِّقَاءَ فُحْشِهِ
Maksudnya: “Seorang lelaki meminta izin kepada Nabi SAW, lalu Baginda bersabda: “Izinkan dia masuk. Dia ini ahli kabilah kabilah atau pengikut kabilah yang teruk.” Ketika orang itu duduk, Baginda berbicara kepadanya dengan suara yang lembut. Aku bertanya: “Wahai Rasulullah, tuan mengatakan lelaki itu seorang yang teruk tetapi berbicara dengannya dengan suara yang lembut.” Jawab Baginda: “Wahai Aisyah, sesungguhnya seburuk-buruk manusia adalah orang yang dijauhi oleh manusia kerana bimbang kejahatannya.”
Riwayat Bukhari(6054)
- Menceritakan keburukan seseorang yang melakukan maksiat atau menolak Islam secara terang-terangan dan diketahui ramai.
- Menceritakan sifat seseorang sebagai pengenalan terhadap dirinya tanpa niat untuk memburuk-burukkannya atau menghinanya. Contohnya, buta, bisu, pesek hidung, mata juling dan sebagainya.
- Menceritakan tentang seseorang kepada orang lain untuk mendapatkan nasihat sama ada bagi tujuan perkahwinan, mencari rakan perniagaan, mencari jiran yang baik sebelum membeli rumah dan lain-lain.
Justeru sebagai seorang muslim hendaklah menjaga akhlak yang baik dengan tidak melakukan perkara-perkara yang dimurkai oleh Allah SWT seperti mengumpat kerana ia merupakan perkara yang tercela melainkan sebab-sebab yang diharuskan oleh syara.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ وَالأَدْوَاءِ
Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”
Wallahua’lam