Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya boleh terangkan kepada kami keadaan sperma manusia selepas berada dalam rahim ibu dalam tempoh 42 malam? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَفِي أَنفُسِكُمْ ۚ أَفَلَا تُبْصِرُونَ

Maksudnya: Dan juga pada diri kamu sendiri. Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan (dalil-dalil dan bukti itu)?

(Surah al-Zariat:21)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan Saintis moden menolak hadis daripada Ibn Mas‘ud bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا مَرَّ بِِالنُّطْفَةِ ثِنْتَانِ وَأَرْبَعُونَ لَيْلَةً، بَعَثَ اللهُ إِلَيْهَا مَلَكًا، فَصَوَّرَهَا وَخَلَقَ سََمْعَهَا وَبَصَرَهَا وَجِلْدَهَا وَلََحْمَهَا وَعِظَامَهَ

Maksudnya: “Apabila air mani berada di dalam rahim selama 42 malam, Allah SWT mengutus malaikat untuk membentuknya, kemudian memberikannya pendengaran, penglihatan, kulit, daging dan tulang-belulang.”

Riwayat Muslim (2645)

Hikmah Allah SWT menciptakan manusia mengikut tertib dan menepati perkembangan ini serta beransur-ansur dari satu keadaan ke satu keadaan yang lain (sedangkan Dia mampu dan berkuasa untuk mengadakannya dengan sempurna di dalam jangka masa yang paling cepat) ialah menyusun kejadian manusia serta kejadian alam semesta supaya menepati rukun sebab dan musabbab serta mukadimah dan natijah. Ini adalah lebih tepat dan jelas di dalam memperlihatkan kekuasaan Allah SWT. Begitu juga kita dapat mengambil pengajaran daripada proses yang berlaku secara beransur-ansur ini, iaitu Allah SWT mengajar hamba-Nya agar tenang dan berwaspada di dalam urusan-urusan mereka dan menjauhkan sikap tergesa-gesa.

Di sana juga terdapat pengajaran kepada manusia bahawa kesempurnaan maknawi hanya akan diperolehi secara beransur-ansur sebagaimana kesempurnaan zahir terjadi secara beransur-ansur dalam peringkat kejadian manusia dan bagaimana perpindahan dari satu fasa ke satu fasa yang lain berlaku sehingga manusia mencapai tahap kesempurnaan akal (baligh). Begitulah juga, manusia sewajarnya bertindak mengikut proses yang sebegini rupa dalam penyusunan cara hidupnya, jika tidak, manusia akan meraba-raba dalam kegelapan. (Lihat al-Wafi fi Syarh al-Arba‘in al-Nawawiyyah, hlm. 26).

Malah mereka berkata bahwa hadis ini sama sekali tidak ada kaitannya dengan pengetahuan moden tentang peringkat perkembangan embrio.

Akan tetapi, ilmu pengetahuan terus-menerus berkembang hingga akhirnya memperlihatkan kepada kita fakta-fakta mutakhir. Dan jika kita merenungkan hasil daripada penelitiaan terbaru dalam bidang embriologi, serta mengkaji lagi peringkat yang telah disampaikan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya, tentang embrio ketika berumur 42 hari, apakah kesimpulan yang kita peroleh? Dan mengapa Nabi Muhammad SAW mengkhususkan angka 42 hari sebagai umur embrio? Apakah yang terdapat dari perkembangan embrio pada kandungan ibu?

Dapatan ilmiah mendapati bahawa para ilmuwan moden menjelaskan tentang embrio yang memasuki minggu keenam atau berumur 42 hari mulai merespon berbagai suara di sekitarnya dan bereaksi atasnya. Malah mereka juga turut menekankan bahawa umur 42 hari dan selepasnya adalah tahap pemisah antara fasa embrio yang mana belum wujud dengan sempurna dan fasa embrio ketika itu telah wujud sebagai manusia. Bahkan gelombang otak embrio sudah mula berfungsi seakan-akan rohnya sudah ditiupkan. Hal ini dinyatakan dalam artikel dengan penyataan, “During the sixth week after fertilization the unborn child can respond to local tactile stimulation by reflex movements. At the end of the sixth week, the unborn child is clearly recognizable as a human being by gross morphological observation” begitu juga dengan penyataan bahawa keadaan gelombang otak janin pada 43 hari, “The brainwaves have been noted at 43 days. Dr. Stiff has noted that electroencephalographic waves have been obtained in forty-three to forty-five day old fetuses, and so conscious experience is possible after this date”.[1]

Sebagai kesimpulannya Penciptaan manusia yang penuh dengan pelbagai keajaiban merupakan bukti paling dekat kepada manusia untuk mengakui keagungan dan kehebatan Allah SWT. Oleh itu, perhatikanlah pada diri kita, nescaya kita akan dapati betapa besar dan hebatnya ciptaan Allah SWT supaya dapat menginsafkan diri kita seterusnya meningkatkan keimanan kita terhadap-Nya.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.” 44

Wallahua’lam

Nota kaki:

[1] Lihat: http://kaheel7.com/id/index.php?option=com_content&view=article&id=168:keajiban-mukjizat-dari-sabda-nabi-jika-sperma-telah-berumur-42-malam&catid=37:kesehatan-a-obat&Itemid=56   – Diakses pada 22 November 2023

Leave a Reply