Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya banyak golongan yang anti islam salah satu islam liberal, bagaiman kita menjauhinya ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا ۚ

Maksudnya: “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.”

(Surah al-Maidah:3)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan di sini Islam Liberal adalah satu bentuk pemikiran Jahiliah moden yang dianuti sebahagian cerdik pandai Muslim hari ini, khususnya yang berlatar-belakangkan pendidikan Barat. Pemikiran ini berasal daripada ideologi Sekular-Liberal yang lahir di Barat, kemudian dibawa masuk ke dalam masyarakat umat Islam oleh gerakan Misionari Kristian dan Orientalis melalui penjajahan dan pendidikan terhadap anak-anak orang Islam yang belajar di Barat. Pada hakikatnya, pendokong pemikiran Islam Liberal adalah penganut-penganut ideologi Sekular-Liberal yang mana matlamat mereka ialah menimbulkan keraguan terhadap kebenaran agama Islam di kalangan penganut-penganutnya, sehingga akhirnya pegangan dengan agama dianggap tidak lagi sesuai di zaman moden hari ini.[1]

Golongan Islam Liberal tidak menzahirkan diri mereka sebagai orang yang menolak agama, tetapi berselindung disebalik gagasan mengkaji semula agama, mentafsir semula al-Quran, menilai semula al-Sunnah dan menapis semula hukum-hakam syariat dan feqah. Mereka menolak segala tafsiran yang dianggap lama dan kolot mengenai agama, termasuklah dalam hal-hal yang telah menjadi ijma‘ ulama dan tafsiran daripada Rasulullah SAW, para sahabat dan ulama-ulama mujtahid. Bagi mereka, agama hendaklah ditundukkan kepada waqi‘ – yakni realiti – semasa, sekalipun terpaksa menafikan hukum hakam dan peraturan agama yang telah sabit dengan nas-nas syarak secara qat‘i (putus). Jika terdapat hukum yang difikirkan tidak menepati zaman dan kemodenan, maka hukum tersebut hendaklah ditakwilkan atau sebolehnya digugurkan.[2]

Golongan Islam Liberal menolak autoriti ulama dalam bidang agama. Mereka amat menekankan kebebasan berpendapat dan sesiapa sahaja berhak bercakap tentang agama. Pada pandangan mereka, hukum syariat Islam adalah ciptaan para ulama dan fuqaha. Oleh itu, mereka menganggap syariat Islam tidaklah suci secara sepenuhnya dan ia terdedah kepada penilaian semula serta kritikan, termasuklah terhadap hukum-hakam syariat yang qat‘i. Antara contoh hukum-hukum yang dipertikaikan ialah hukum faraid yang dilihat tidak sama rata antara lelaki dan wanita, keharusan berpoligami bagi lelaki, kewajipan bertudung kepala bagi wanita, hukuman bunuh ke atas orang murtad, hukuman jenayah hudud yang menurut mereka adalah pengaruh budaya arab Jahiliah, larangan wanita daripada menjadi pemimpin (imam), termasuklah dalam solat yang dihadiri oleh lelaki dan perempuan, hak mutlak suami untuk menceraikan isteri dan lain-lain lagi.

Untuk selamat daripada segala bentuk bidaah akidah dan pemikiran tersebut, umat Islam hendaklah sentiasa berpegang teguh dengan ajaran Islam dan kembali kepada al-Quran serta ajaran Nabi Muhammad SAW yang benar kerana ia adalah satu-satunya jalan Allah yang lurus, yang dapat menyelamatkan manusia daripada terjerumus ke dalam kesesatan dan penyelewengan. (Lihat Tafsir al-Bayan,5/533-534)

Justeru Belajarlah daripada umat-umat terdahulu yang telah dibinasakan lantaran sikap mereka yang angkuh dan mendustakan para rasul yang telah diutuskan kepada mereka. Oleh itu, jauhilah keangkuhan, kesombongan dan pendustaan terhadap ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW, mudah-mudahan kita tidak mengikut jejak langkah mereka dalam kebinasaan.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa.

 Wallahua’lam

Nota kaki:

[1] Lihat: Mais.gov.my/persoalan berkaitan liberalisme.Diakses pada 22 November 2023

[2] Lihat: http:/zulkiflialbakri.com. al-bayan, siri 12, Dari Liberalisme ke Islam Liberal Satu Sorotan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *