Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya benarkah wanita solehah dapat membina ummah? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Wanita adalah sebahagian keindahan dunia yang diciptakan Allah SWT. Namun, wanita jualah yang boleh menjadi penyebab kepada kerosakan dan kemusnahan di dunia ini. Allah SWT menjadikan wanita sebagai perhiasan dunia dan untuk dijadikan pasangan buat kaum Adam. Tatkala Nabi Adam A.S memohon kepada Allah SWT agar menciptakan seorang teman untuknya berbicara, bergurau senda dan membina sahsiah dirinya, maka terciptalah Hawa A.S daripada tulang rusuk kiri Nabi Adam A.S. Apa yang diidamkan oleh kaum lelaki dalam membina keluarga bahagia ialah wanita solehah yang berperanan sebagai penyejuk mata, penenang hati dan penajam fikiran untuk para suami berbakti di jalan Allah SWT.

Wanita solehah ialah isteri yang taat kepada Allah SWT dan rasul-Nya, sekaligus membawa rumah tangga menuju ketenteraman dan syurga. Rumah tangga yang tenteram, nyaman dan bahagia adalah kurniaan yang paling berharga dalam kehidupan dunia. Rumah tangga yang dipimpin oleh suami yang soleh didampingi pula isteri yang solehah akan menjadikan rumah tangga itu dipenuhi keberkatan, melahirkan anak-anak yang soleh dan solehah, serta mendapat keredhaan dan rahmat Allah SWT. Ia adalah sebaik-baik perhiasan dunia sebagaimana hadis daripada Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‏ الدُّنْيَا مَتَاعٌ وَخَيْرُ مَتَاعِ الدُّنْيَا الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ

Maksudnya: “Dunia adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah.”‏

Riwayat Muslim (715)

Imam al-Qurthubi menjelaskan makna wanita yang solehah dalam hadith di atas ialah wanita yang menggembirakan suami apabila dilihat, mentaatinya apabila disuruh, dan memelihara kehormatan suaminya apabila ketiadaannya pada diri dan juga hartanya. (Lihat al-Mufhim, 4/221).

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan rasulullah SAW juga menjelaskan ciri-ciri wanita solehah yang dijadikan kriteria utama dalam pemilihan calon isteri. Hal ini dinyatakan dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah R.A bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:

فَاظْفَرْ بِذَاتِ الدِّينِ تَرِبَتْ يَدَاكَ.

Maksudnya: “Pilihlah perempuan yang beragama nescaya beruntunglah kamu.”

Riwayat Bukhari(5090)

Pengarang al-Fiqh al-Manhaji menyatakan bahawa, hikmah pemilihan wanita yang beragama dan berakhlak adalah kerana agama akan terus kukuh sekalipun berlalunya  masa dan zaman. Manakala akhlak pula akan terus kukuh bersemi seiring perjalanan masa. Apabila setiap pasangan menjadikan agama dan akhlak sebagai asas pemilihan, ia lebih menjamin kelangsungan cinta dan kasih sayang yang berkekalan.

Hal ini tidak pula bermaksud bahawa manusia tidak perlu mengambil kira faktor keturunan dan kecantikan. Sebaliknya, ia bermaksud bahawa sekiranya ciri-ciri tertentu sahaja yang ada pada seseorang perempuan, maka pemilihan berdasarkan agama adalah yang paling baik. Jika kesemua ciri ini ada, maka itulah wanita yang paling baik untuk dijadikan pasangan.

Betapa hebatnya wanita solehah sehingga ia menjadi penyejuk mata hati suaminya: Daripada Abu Umamah RA, Rasulullah SAW bersabda:

مَا اسْتَفَادَ الْمُؤْمِنُ بَعْدَ تَقْوَى اللَّهِ خَيْرًا لَهُ مِنْ زَوْجَةٍ صَالِحَةٍ إِنْ أَمَرَهَا أَطَاعَتْهُ وَإِنْ نَظَرَ إِلَيْهَا سَرَّتْهُ وَإِنْ أَقْسَمَ عَلَيْهَا أَبَرَّتْهُ وَإِنْ غَابَ عَنْهَا نَصَحَتْهُ فِي نَفْسِهَا وَمَالِهِ ‏”‏ ‏.‏

Maksudnya: “Tidaklah seorang beriman selepas takwa kepada Allah mendapat banyak faedah lebih baik baginya daripada isteri yang solehah, jika disuruhnya nescaya ia mentaatinya. Dan jika melihat kepadanya, ia merasa sukacita, dan jika bersumpah atasnya, nescaya isteri tersebut menunaikannya. Jika suaminya keluar rumah, nescaya dia menjaga kehormatan dan harta suaminya.”

Riwayat Ibn Majah (1857), al-Tabarani (8/264), Ibn Asakir dalam Tarikh Dimasyq (43/279). Al-Suyuti menyatakan hadith ini hasan dalam al-Jami’ al-Saghir (7792)

Satu pesanan pujangga menyebut:

    الأُمُّ مَدْرَسَةٌ إِذَا أَعْدَدْتَهَا                   أَعْدَدْتَ شَعْبَاً طَيَّبَ الأَعْرَاقِ

  Ibu sebagai madrasah jika kamu sediakannya,

          Kamu sediakan umat yang menjadi generasi yang terbaik.

(Lihat Rumahku Syurgaku, hlm. 44)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan marilah kita sama-sama berdoa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahu a’lam.

Leave a Reply