Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya benarkah kekayaan itu dikeji dalam islam ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

أَلْهَىٰكُمُ ٱلتَّكَاثُرُ  (١) حَتَّىٰ زُرْتُمُ ٱلْمَقَابِرَ

Maksudnya: Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh), -Sehingga kamu masuk kubur.

Surah al-Takasur (1-2)

Firman Allah lagi:

وَأَصْحَـٰبُ ٱلشِّمَالِ مَآ أَصْحَـٰبُ ٱلشِّمَالِ ٤١ فِى سَمُومٍۢ وَحَمِيمٍۢ ٤٢ وَظِلٍّۢ مِّن يَحْمُومٍۢ ٤٣ لَّا بَارِدٍۢ وَلَا كَرِيمٍ ٤٤ إِنَّهُمْ كَانُوا۟ قَبْلَ ذَٰلِكَ مُتْرَفِينَ

Maksudnya: Dan puak kiri, – alangkah seksanya keadaan puak kiri itu? Mereka diseksa dalam angin yang membakar dan air yang menggelegak  Serta naungan dari asap hitam, Yang tidak sejuk, dan tidak pula memberi kesenangan. Sesungguhnya mereka sebelum itu dilalaikan oleh kemewahan (dunia, dari mengingati hukum Tuhan).

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan dinyatakan dalam ayat-ayat di atas bahawa antara punca seseorang manusia tergolong dalam kalangan Ashab al-Syimal ialah ketika di dunia, mereka hidup dalam keadaan bermewah-mewah (مُتْرَفِينَ ). Oleh yang demikian, adakah menjadi suatu kesalahan untuk hidup mewah dengan memiliki rumah yang besar, memakan makanan yang enak, serta memiliki kenderaan yang mewah?

Fakhruddin al-Razi menjelaskan bahawa, tidak semua mereka yang tergolong dalam Ashab al-Syimal itu adalah golongan kaya yang hidup mewah, tetapi juga terdapat dalam kalangan mereka orang-orang yang miskin. Pernyataan Allah SWT ( إِنَّهُمْ كَانُوا۟ قَبْلَ ذَٰلِكَ مُتْرَفِينَ ) bukan bermaksud mencela disebabkan mereka hidup dalam kemewahan. Akan tetapi, celaan terhadap mereka disebutkan dalam ayat setelahnya iaitu (وَكَانُوا يُصِرُّونَ عَلَى الْحِنثِ الْعَظِيمِ).Ini adalah kerana, kekufuran yang terbit daripada golongan kaya yang diberikan kurniaan nikmat kekayaan adalah sangat keji. Mereka tidak bersyukur kepada Allah SWT, bahkan berterusan berada dalam kesyirikan. (Lihat Tafsir al-Razi, 29/171)

Kami nyatakan di sini, Rasulullah SAW mengajar kita untuk memohon kekayaan:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْهُدَى ، وَالتُّقَى ، وَالْعَفَافَ ، وَالْغِنَى

Maksudnya: “Wahai Allah! Sesungguhnya aku memohon kepada-Mu petunjuk, ketakwaan, sifat iffah dan kekayaan.”

Riwayat Muslim (2721), al-Tirmizi (3489), Ibn Majah (3105), Ahmad (3950) dan Ibn Hibban (900)

Doa ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Ibn Mas’ud R.A, beliau berkata:

أَنَّهُ كَانَ يَقُولُ : اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْهُدَى ، وَالتُّقَى ، وَالْعَفَافَ ، وَالْغِنَى

Maksudnya: “Nabi SAW biasa membaca doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْهُدَى ، وَالتُّقَى ، وَالْعَفَافَ ، وَالْغِنَى

Riwayat Muslim (2721)

Imam al-Nawawi menjelaskan: “‘Afaf dan ‘iffah bermaksud menjauhkan dan menahan diri daripada perkara yang diharamkan. Manakala al-ghina (الْغِنَى) ialah hati yang selalu merasa cukup dan tidak berhajat kepada apa yang ada di sisi manusia. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 17/41)

Mulla ‘Ali al-Qari menjelaskan: “al-Huda (الْهُدَى) bermaksud hidayah yang sempurna. Al-Tuqa (التُّقَى) ertinya ketakwaan yang menyeluruh. Al-‘Afaf  (الْعَفَافَ) bermaksud al-kafaf (kecukupan rezeki). Sebahagian ulama menyebut, ertinya adalah al-‘iffah (terpeliharanya diri dari maksiat). Sebahagian ulama’ menyebut, ertinya keterpeliharaan diri dari yang haram. Dinukilkan dari Abu al-Futuh al-Naisaburi, katanya: “Al-‘Afaf  bermaksud kesolehan jiwa dan hati.” Manakala al-ghina (الْغِنَى) bererti kekayaan hati, iaitu merasa cukup dari apa yang ada pada manusia. (Lihat Mirqat al-Mafatih, 5/1721)

Ibn ‘Allan al-Syafi’e menyebut: “Al-‘afaf bermaksud terhindar daripada segala maksiat dan keburukan. Al-ghina pula bererti tidak ada perasaan berhajat kepada makhluk. (Lihat Dalil al-Falihin, 7/275)

Sewajarnya, dengan nikmat kurniaan tersebut, mereka akur dengan kekuasaan Allah SWT, dan mensyukuri nikmat-Nya dengan beriman kepada Allah SWT.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنِّى أَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, daripada berubahnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, daripada seksa-Mu (bencana) yang datang secara tiba-tiba, dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu.”

Riwayat Muslim (2739) dan Abu Daud (1545)

Wallahua’lam

Leave a Reply