Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Boleh terangkan kepada kami akan hak anak yatim dan wanita? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu firman Allah SWT:

وَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تُقْسِطُوا۟ فِى ٱلْيَتَـٰمَىٰ فَٱنكِحُوا۟ مَا طَابَ لَكُم مِّنَ ٱلنِّسَآءِ مَثْنَىٰ وَثُلَـٰثَ وَرُبَـٰعَ ۖ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا۟ فَوَٰحِدَةً أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَـٰنُكُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَدْنَىٰٓ أَلَّا تَعُولُوا۟ ٣ وَءَاتُوا۟ ٱلنِّسَآءَ صَدُقَـٰتِهِنَّ نِحْلَةًۭ ۚ فَإِن طِبْنَ لَكُمْ عَن شَىْءٍۢ مِّنْهُ نَفْسًۭا فَكُلُوهُ هَنِيٓـًۭٔا مَّرِيٓـًۭٔا

Maksudnya: “Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman (3). Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu mas-mas kahwin mereka sebagai pemberian yang wajib. Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.

(Surah al-Nisa’: 3-4)

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami bahagikannya kepada dua sebagaimana berikut:

Pertamanya, berkenaan isu anak yatim. Islam membela hak orang yang lemah dan anak-anak yatim. Islam telah menetapkan peraturan dan garis panduan yang perlu dipatuhi. Penjagaan anak-anak yatim adalah kewajipan dan tanggungjawab bersama di dalam sesebuah masyarakat. Mereka tidak boleh dipinggirkan dan mereka perlu diberikan perhatian oleh masyarakat.

Selain daripada itu, Islam juga mengharamkan penindasan hak dan harta anak-anak yatim. Segala bentuk penindasan terhadap mereka adalah perbuatan terkutuk. Oleh itu, hendaklah kita membela hak orang yang lemah dan anak-anak yatim, jangan menindas hak-hak mereka. Hendaklah kita sama-sama berusaha menjaga hak anak-anak yatim dan tidak meminggirkan mereka serta memberikan perhatian yang khusus kepada mereka. Hendaklah kita mengutuk segala bentuk penindasan dilakukan terhadap anak-anak yatim dan jangan biarkan penindasan terhadap mereka dilakukan secara berleluasa di dalam masyarakat.

Islam juga turut mengharamkan segala bentuk penyelewengan harta anak yatim. Larangan yang amat tegas dalam banyak ayat al-Quran. Pengkhianat harta anak yatim pasti akan menerima padahnya dan mereka tidak akan selamat di dunia dan di akhirat. Orang yang mengambil harta anak yatim secara zalim adalah penjenayah yang mesti dibicara dan dihukum.

Keduanya, berkenaan isu hak wanita. Islam membela hak kaum isteri dan wanita serta mengharamkan segala bentuk penindasan hak mereka. Islam membenarkan poligami dengan syarat keadilan dan tidak membenarkan poligami tanpa keadilan serta tidak membenarkan poligami tanpa kemampuan. Islam menghadkan poligami tidak melebihi empat orang isteri dan tidak membenarkan seorang suami berkahwin lebih dari empat isteri dalam satu-satu masa.

Justeru, hendaklah kita membela hak isteri dan wanita, jangan menindas hak yang telah diberikan kepada mereka. Hendaklah orang yang berpoligami berlaku adil kepada isteri-isterinya dan jangan berpoligami jika tidak mampu berlaku adil. Hendaklah kita mengikut ketetapan Islam dan jangan hanya mengikut nafsu dengan melanggar syarat dan peraturan yang telah ditetapkan oleh Islam.

Islam juga memuliakan para isteri dan memberikan hak mas kahwin kepadanya sebagai satu hak yang wajib diberikan oleh suami. Perkahwinan yang menggugurkan hak mas kahwin adalah perkahwinan yang tidak sah. Mas kahwin adalah hak yang hanya dimiliki oleh isteri, tiada siapa yang dibenarkan untuk mengambilnya, walaupun ibu bapa atau suaminya sendiri. Islam memberikan hak kepada isteri untuk menguruskan harta miliknya dan tiada siapa yang dibenarkan untuk menindas hak milik isteri.

Oleh itu, hendaklah para suami memuliakan para isteri dan memberikan mas kahwin dengan rela hati sebagai mentaati perintah Allah SWT. Hendaklah para suami memberikan hak mas kahwin kepada isteri dan tidak mengambil haknya ini. Hendaklah para suami memberikan hak kepada isteri untuk menguruskan harta miliknya dan jangan menindas dan memaksa isteri memberikan haknya kepada orang lain. (Lihat Tafsir al-Bayan, 1/562-563).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَحْسِنْ عَاقِبَتَنَا فِي الْأُمُورِ كُلِّهَا ، وَأَجِرْنَا مِنْ خِزْيِ الدُّنْيَا وَعَذَابِ الْآخِرَةِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Perelokkanlah kesudahan segala urusan kami, serta lindungilah kami daripada kenistaan hidup di dunia dan seksaan hidup di akhirat.”

Leave a Reply