Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Benarkah fahaman sekular menolak rujukan al-Quran dan al-Sunnah? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu firman Allah SWT:

أَفَحُكْمَ ٱلْجَـٰهِلِيَّةِ يَبْغُونَ ۚ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ ٱللَّهِ حُكْمًۭا لِّقَوْمٍۢ يُوقِنُونَ

Maksudnya: “Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? Padahal – kepada orang-orang yang penuh keyakinan – tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih pada daripada Allah.

(Surah al-Ma’idah: 50)

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, penolakan terhadap al-Quran dan Sunnah sebagai rujukan dan panduan dalam kehidupan terjelma dalam bentuk yang baru pada zaman moden ini melalui fahaman sekularisme. Fahaman ini telah meresap dalam pemikiran orang Islam kerana terpengaruh dengan kemajuan dan tamadun yang dibina di Barat.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, fahaman sekularisme ialah faham (doktrin, pendirian dsb.) yang menolak nilai-nilai keagamaan dlm kehidupan sosial manusia.[1]

Mengikut  Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya al-Islam wal Ilmaniyyah, sekularisme ialah tiada agama (اللادينية). Tiada agama di sini menurut beliau bukan bermaksud lawan kepada Akhirat tetapi ia bermakna lebih khusus iaitu perkara yang tidak ada hubungan dengan agama. Justeru, fahaman sekularisme ialah fahaman yang menganggap bahawa perkara duniawi tidak mempunyai hubungan dengan agama. (Lihat al-Islam wa al-lmaniyyah, hlm. 42). Berdasarkan takrifan ini, jelas bahawa fahaman sekularisme menolak agama yang bersumberkan al-Quran dan Sunnah dalam kehidupan duniawi. Ilmu berasaskan wahyu telah dipencilkan daripada menjadi rujukan dan panduan dalam kehidupan duniawi yang berasaskan akal.

Mengikut sejarah, sekularisme bermula di negara Barat apabila berlakunya pertembungan antara gereja dengan ilmuan sains. Pertembungan ini berlaku apabila gereja mempunyai kuasa dan kedudukan yang teratas dalam hieraki masyarakat. Pope Gregory XII berkata: “Gereja mempunyai kekuasaan ke atas seluruh alam yang diberikan oleh Tuhan secara langsung. Gereja telah menganugerahkan kekuasaan tersebut kepada para raja dan pemerintah di muka bumi. Pope mempunyai kedudukan yang tiada bandingannya di dunia ini. Dia yang melantik biskop dan memecatnya. Dia juga mempunyai hak untuk memecat raja kerana dia adalah ketua mereka yang tidak ditanya tentang apa yang dia lakukan.” (Lihat Ma’alim al-Hadharah fi al-Islam wa atharuha fi al-Nahdhah al-Urubbiyyah, hlm. 21).

Di bawah kekuasaan dan pengaruh gereja, Barat berada dalam zaman kegelapan dan kemunduran. Kejahilan menguasai negara barat pada waktu tersebut walaupun negara Islam pada masa yang sama telah berjaya membina tamadunnya yang hebat. Orientalis Belanda, Dozy berkata: “Di setiap tempat di Andalus tidak ada orang yang tidak tahu membaca dan menulis. Adapun di Eropah, tidak ada orang yang tahu membaca dan menulis sebagai pengetahuan awal kecuali lapisan atasan paderi-paderi.” (Lihat Ma’alim al-Hadharah fi al-Islam wa atharuha fi al-Nahdhah al-Urubbiyyah, hlm. 53).

Kemajuan yang dinikmati oleh negara-negara Islam telah menyebabkan Barat yang dilanda dengan kejahilan dan kemunduran membuka mata. Mereka mencedok dan mempelajari peradaban dan tamadun yang di bina di negara-negara Islam khususnya Seville, Cordova, Granada, Andalus, Sicily, Baghdad dan lain-lain. Mereka melarikan diri daripada kongkongan gereja untuk belajar di negara-negara Islam. (Lihat Transfer of Islamic Science to the West, hlm. 56).

Pemindahan ilmu daripada negara Islam ke negara Barat telah menimbulkan pertembungan antara gereja dengan ilmuan sains dan reformis agama. Pertembungan ini berlaku kerana golongan gereja yang berpegang kepada ajaran Kristian yang diselewengkan tidak dapat menerima ilmu yang dianggap bercanggah dengan pegangan mereka apatah lagi ia diambil daripada orang Islam. Akibat daripada pertembungan antara gereja dengan ilmuan sains dan reformis agama ini, gereja telah menjatuhkan hukuman penjara atau hukuman mati bahkan membakar hidup-hidup mereka yang dikatakan terkeluar daripada ajaran gereja atau pun mendatangkan pandangan ilmiah yang pada pandangan gereja berlawanan dengan ajaran Injil. (Lihat Ma’alim al-Hadharah fi al-Islam wa atharuha fi al-Nahdhah al-Urubbiyyah, hlm. 24).[2]

Sebahagian ahli sejarah telah menganggarkan bilangan korban hasil pertembungan ini semenjak kurun ke-13 hingga akhir kurun ke-18 tidak kurang daripada 9 juta orang. Gereja bukan sahaja mengambil tindakan kepada ilmuan dan ahli sains ini, bahkan mereka membakar buku-buku mereka supaya orang ramai tidak boleh merujuknya.

Pertembungan ini akhirnya membawa kepada masyarakat Barat bangkit dan menolak golongan gereja sehingga menyebabkan mereka mengasingkan antara agama dengan perkara duniawi yang dikenali sebagai fahaman sekularisme. Mereka membina tamadun dengan menolak nilai ketuhanan dan berpegang kepada nilai kebendaan semata-mata. (Lihat Maza Khasira al-‘Alam bi Inhitat al-Muslimin, hlm. 175-176 & 24).

Walaupun demikian, sebahagian orang Islam masih terpengaruh dengan Barat untuk membina tamadun mereka. Mereka telah memenjarakan agama Islam dalam masjid sebagaimana Barat memenjarakan agama Kristian dalam gereja. Mereka menolak untuk menjadikan al-Quran dan Sunnah sebagai rujukan dan panduan dalam kehidupan. Mereka lupa bahawa umat Islam terdahulu telah meninggalkan legasi kemajuan dan tamadunnya yang hebat dengan merujuk kepada dua sumber yang agung ini.

Hal ini juga adalah sebagaimana dinyatakan dalam Tafsir al-Bayan (1/619-621).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir Ibn Kathir, 3/75)

 

Nota kaki:

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=sekularisme. Diakses pada 22 November 2023.

[2] Lihat juga Fauzi N.M (2016), Descartes dan Kerasionalan Kewujudan di dalam “A Discourse On The Method.” Jurnal Peradaban, 9, 73-82.

Leave a Reply