Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Boleh ustaz jelaskan lagi berkenaan fenomena nifaq dan kewaspadaan terhadap ancamannya? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu firman Allah SWT:

وَمَن يُشَاقِقِ ٱلرَّسُولَ مِنۢ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُ ٱلْهُدَىٰ وَيَتَّبِعْ غَيْرَ سَبِيلِ ٱلْمُؤْمِنِينَ نُوَلِّهِۦ مَا تَوَلَّىٰ وَنُصْلِهِۦ جَهَنَّمَ ۖ وَسَآءَتْ مَصِيرًا

Maksudnya: “Dan sesiapa yang menentang (ajaran) Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya kebenaran petunjuk (yang dibawanya), dan ia pula mengikut jalan yang lain dari jalan orang-orang yang beriman, Kami akan memberikannya kuasa untuk melakukan (kesesatan) yang dipilihnya, dan (pada hari akhirat kelak) Kami akan memasukkannya ke dalam neraka jahanam; dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.

(Surah al-Nisa’: 115)

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, nifaq dari segi bahasa ialah terowong yang mempunyai dua lubang iaitu lubang masuk dan lubang keluar. Manakala dari segi istilah adalah merujuk kepada perbuatan menyembunyikan kekufuran dalam hati dan mempamerkan keimanan dan kepatuhan kepada Rasulullah SAW.

Hakikatnya orang munafik tergolong dalam golongan orang kafir, bahkan azab Allah SWT kepada mereka lebih dahsyat iaitu mereka akan dihumbankan ke dasar neraka yang paling dalam.

Impak nifaq dalam masyarakat adalah lebih besar kerana mereka hidup dalam kalangan orang Islam serta turut bersama-sama orang Islam mengamalkan syiar agama sekalipun sebenarnya mereka hanya bermuka-muka dan menunjuk-nunjuk sahaja. Justeru untuk mengenali mereka agak sukar dan ini memberikan kelebihan kepada golongan ini melakukan sabotaj serta memusnahkan kerukunan umat Islam dari dalam.

Daripada Abdullah bin Amr R.Anhuma daripada Nabi SAW bersabda:

أَربعٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ كَانَ مُنافِقاً، وإنْ كَانَتْ خَصلةٌ مِنهُنَّ فِيْهِ كَانَتْ فِيهِ خَصْلَةٌ مِنَ النِّفاقِ حتَّى يَدَعَها: مَنْ إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ، وإذا وَعَدَ أَخْلَفَ، وإذا خَاصَمَ فَجَرَ، وإذا عَاهَدَ غَدَرَ

Maksudnya: “Empat perkara, barangsiapa yang ada padanya keempat perkara tersebut maka dia seorang munafiq yang sebenar, jika ada padanya satu di antara sifat tersebut bererti ada padanya satu sifat kemunafikan sehinggalah dia meninggalkannya: Iaitu seorang apabila berbicara ia dusta, apabila berjanji tidak ditepatinya, apabila berselisih melampaui batas dan apabila
melakukan perjanjian ingkar.”

Riwayat al-Bukhari (34) (2459) dan Muslim (117) (8) (106)

Penipuan, mungkir janji, khianat, dan melampau dalam perselisihan adalah merupakan daripada sifat-sifat yang jelas terpapar pada golongan munafiq di Madinah pada zaman Nabi SAW. Al-Quran banyak menjelaskan sifat mereka dan hal keadaan mereka.

Allah SWT berfirman:

وَلَوْ نَشَآءُ لَأَرَيْنَـٰكَهُمْ فَلَعَرَفْتَهُم بِسِيمَـٰهُمْ ۚ وَلَتَعْرِفَنَّهُمْ فِى لَحْنِ ٱلْقَوْلِ ۚ وَٱللَّهُ يَعْلَمُ أَعْمَـٰلَكُمْ

Maksudnya: Dan sekiranya Kami kehendaki, tentulah Kami akan memperkenalkan mereka kepadamu (wahai Muhammad), lalu engkau tetap mengenalinya dengan tanda-tanda (yang menjadi sifat) mereka; dan demi sesungguhnya, engkau akan mengenali mereka dari gaya dan tutur katanya. Dan (ingatlah kamu masing-masing), Allah mengetahui segala yang kamu lakukan.

(Surah Muhammad: 30)

Sifat khianat dan menipu bukan membawa maksud bahawa si pelakunya akan terkeluar dari daerah keimanan keseluruhannya. Ini kerana iman akan mengangkat seseorang dari darjat munafiq, akan tetapi dikira perbuatan tersebut merupakan suatu sikap yang tercela. Oleh kerana itu ulama menyebutnya sebagai malapetaka yang membinasakan dengan perbuatan yang dilakukannya. Demikianlah yang disifatkan dengan sifat tersebut ialah dosa yang berhak untuk dibalas akan tetapi bukan bermaksud kedudukan munafiq yang zahir keIslamannya dan batinnya kufur.

Imam Ahmad meriwayatkan dalam kitab al-Musnad bahawa Nabi SAW bersabda: “Amat besar pengkhianatannya apabila kamu berbicara kepada saudaramu dengan suatu pembicaraan di mana ia membenarkanmu namun kamu berdusta kepadanya.” (Lihat al-Kafi Syarah Hadis 40, hlm. 519)

Pada zaman Rasulullah SAW, golongan munafik banyak menimbulkan masalah dalam kalangan para sahabat termasuklah menjadi penyebab peristiwa Khabar Ifk iaitu fitnah terhadap Ummul Mukminin Aisyah R.Anha dan pembinaan Masjid Dhirar. Sekalipun begitu, Rasulullah SAW tidak mengambil pendekatan melalui hukuman yang keras terhadap mereka. Ini adalah untuk mengelakkan tohmahan daripada musuh-musuh Islam khususnya Yahudi bahawa Muhammad telah membunuh sahabatnya sendiri.

Dalam erti kata lain, golongan munafik umpama talam dua muka, di mana mereka akan berbaik-baik dengan umat Islam bagi mendapat manfaat untuk mereka. Dalam masa yang sama, mereka akan menikamnya dari dalam serta meninggalkan orang Islam apabila dirasakan keselamatan mereka terancam.

Oleh kerana itulah, al-Quran memperincikan tentang golongan ini dalam satu surah khusus iaitu Surah al-Munafiqun di mana dijelaskan antara ciri-ciri mereka ialah berperwatakan baik dan kemas serta pandai memanipulasi keadaan ketika bercakap. Justeru, kewaspadaan orang Islam terhadap mereka adalah tinggi seperti kewaspadaan orang Islam terhadap golongan kafir. Bahkan perlu lebih berwaspada dengan mereka kerana mereka sentiasa berlegar dalam kalangan masyarakat Islam dan boleh memudaratkan orang Islam pada bila-bila masa sahaja. (Lihat Tafsir al-Bayan, 1/671).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Leave a Reply