Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah kita memohon perlindungan daripada Allah dengan cara berdoa?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
نَّحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَأَهُم بِٱلْحَقِّ ۚ إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ ءَامَنُوا۟ بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَـٰهُمْ هُدًۭى (١٣) وَرَبَطْنَا عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ إِذْ قَامُوا۟ فَقَالُوا۟ رَبُّنَا رَبُّ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ لَن نَّدْعُوَا۟ مِن دُونِهِۦٓ إِلَـٰهًۭا ۖ لَّقَدْ قُلْنَآ إِذًۭا شَطَطًا
Maksudnya: “Kami ceritakan kisah ini kepadamu dengan pengisahan yang benar. Mereka ialah pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka lalu Kami tambahkan kepada mereka hidayah. Kami teguhkan hati mereka pada kebenaran ketika mereka berdiri di hadapan raja lalu mereka berkata, “Tuhan kami ialah Tuhan langit dan bumi. Kami tidak akan berdoa kepada selain-Nya. Jika kami menyembah tuhan yang lain sesungguhnya kami telah berkata sesuatu yang jauh daripada kebenaran.”
(Surah al-Kahfi: 13-14)
Syeikh al-Sa’di berkata: Allah menyatakan: Kami telah memberikan kesabaran kepada mereka, meneguhkan mereka, dan menjadikan hati mereka tenteram dalam keadaan yang mencabar ini. Ini adalah dari kelembutan dan kemurahan Allah kepada mereka, kerana Dia memberi mereka kejayaan untuk beriman dan mendapat petunjuk, bersabar dan tetap istiqamah, serta mendapat ketenangan. {Apabila mereka berdiri lalu berkata: “Tuhan kami, Tuhan yang memiliki langit dan bumi.”} Maksudnya: Yang menciptakan kita, memberi rezeki kepada kita, mengatur segala urusan kita, Dialah Pencipta langit dan bumi, Yang Maha Esa dalam menciptakan makhluk-makhluk agung ini. Bukanlah kepada berhala dan patung-patung yang tidak mencipta, tidak memberi rezeki, tidak memiliki manfaat dan mudarat, tidak mengurus kematian dan kehidupan, dan tidak mempunyai kuasa kebangkitan. Oleh itu, mereka membuktikan tauhid rububiyah sebagai dalil untuk tauhid uluhiyah. Itulah sebabnya mereka berkata: {Kami tidak akan menyembah selain Dia sebagai Tuhan.} Maksudnya: Dari seluruh makhluk yang lain {Sesungguhnya kami telah berkata (demikian)} Maksudnya: Kami telah menyatakan bahawa kami tidak akan berdoa kepada yang lain bersama Allah sebagai tuhan, setelah mengetahui bahwa Dia adalah Tuhan yang layak disembah, dan tidak sepatutnya ada ibadah kecuali kepada-Nya. {Dengan syarat memilih-Nya} Maksudnya: Dengan penuh keyakinan dan tekad untuk mengikuti jalan yang benar, jauh dari kesesatan. Oleh itu, mereka menggabungkan pengakuan terhadap tauhid rububiyah dan tauhid uluhiyah, mematuhi keduanya, dan menegaskan bahwa hanya yang benar adalah Allah, sedangkan selain-Nya adalah batil. Ini menunjukkan kelebihan pengetahuan mereka tentang Tuhannya dan tambahan petunjuk dari Allah kepada mereka. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 471)
Meraih Perlindungan Allah SWT Melalui Doa
Sebagai seorang hamba, kita sangat berharap bahawa Allah SWT sentiasa melindungi seluruh kehidupan kita dan memberikan kebaikan dalam setiap langkah yang diatur. Hasrat dan hajat ini sentiasa kita panjatkan kepada Allah SWT dengan berdoa. Doa adalah senjata orang mukmin. Ia melambangkan kekerdilan seorang hamba terhadap Penciptanya. Antara adab berdoa adalah menjaga nada suara agar bertujuan menjaga kesopanan semasa berdoa, sekaligus melambangkan pengharapan agar permintaan diperkenankan Yang Maha Esa.
Terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Musa al-Asy‘ari R.A, beliau berkata:
كُنَّا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي سَفَرٍ، فَكُنَّا إِذَا عَلَوْنَا كَبَّرْنَا، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «أَيُّهَا النَّاسُ ارْبَعُوا عَلَى أَنْفُسِكُمْ، فَإِنَّكُمْ لاَ تَدْعُونَ أَصَمَّ وَلاَ غَائِبًا، وَلَكِنْ تَدْعُونَ سَمِيعًا بَصِيرًا»
Maksudnya: “Kami bersama Rasulullah SAW di dalam satu permusafiran, jika kami memanjat bukit, kami akan bertakbir dengan suara yang kuat. Lalu Nabi SAW menegur dengan bersabda: “Wahai manusia, jaga suara kamu kerana kamu tidak memanggil yang pekak mahupun yang ghaib sesungguhnya kamu memanggil yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.”
Riwayat al-Bukhari (6384)
Hadis ini menunjukkan cara dan adab berdoa kepada Allah, antaranya tidak menyaringkan suara kerana kita tidak memanggil yang pekak mahupun yang ghaib. Sesungguhnya ketika berdoa, seseorang hamba sebenarnya memanggil yang Maha
Melihat dan yang Maha Mendengar, Tuhan yang lebih dekat daripada urat lehernya. Maka berdoa dengan suara yang rendah lebih disukai-Nya dan perlu menjadi amalan kita semua. (Lihat Tafsir al-Bayan, 3/191-192)
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa Allah SWT adalah tempat kita bergantung dan tempat kita berlindung daripada semua perkara yang buruk.
Sesungguhnya, kisah perjuangan umat atau generasi terdahulu tetap relevan untuk dihayati dan diambil pedoman kerana isu-isu yang berlaku dalam masyarakat saling berulang sekalipun berbeza tempat dan masa. Apabila tidak mampu berhadapan dengan musuh secara berdepan, maka para pendakwah perlu menghindarkan diri serta berlindung di tempat yang selamat bertujuan mendapatkan kerehatan di samping menyusun strategi baru bagi menyemarakkan seruan dakwah kepada masyarakat.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua`lam.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ
Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah kami untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عِلْمٍ لاَ يَنْفَعُ ، وَمِنْ قَلْبٍ لاَ يَخْشَعُ، وَمِنْ نَفْسٍ لاَ تَشْبَعُ ، وَمِنْ دَعْوَةٍ لَا يُسْتَجَابُ لَهَا
Maksudnya: “Ya Allah! Kami berlindung dengan-Mu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, daripada hati yang tidak khusyuk, daripada nafsu yang tidak puas, dan daripada doa yang tidak diterima.”