Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah membanteras kemungkaran tanggungjawab bersama?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sebagai umat Islam, menjadi kewajipan kepada kita semua untuk membanteras kemungkaran-kemungkaran yang berlaku dalam masyarakat, malah segala kerosakan dan gejala sosial yang berlaku pada hari ini adalah kerana manusia meninggalkan panduan yang telah dibawa Rasulullah SAW. Oleh kerana itu, sebagai umat yang mempunyai kesedaran agama tidak sewajarnya membiarkan mereka terus hanyut dalam kesesatan. Peranan ini perlu dilaksanakan oleh setiap umat Islam agar terlepas daripada laknat Allah.

Firman Allah SWT:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: “Tolong menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan ketakwaan, dan janganlah tolong-menolong dalam melakukan dosa serta permusuhan.” 

(Surah al-Maidah: 2)

Terdapat banyak hadis berhubung masalah ini, antaranya daripada Abu Sa‘id R.A, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ

Maksudnya: “Sesiapa di antara kamu melihat kemungkaran, maka ubahlah ia dengan tangannya. Jika tidak mampu, maka dengan lisannya. Jika tidak mampu, maka membencinya di dalam hati. Ini adalah iman yang paling lemah.”

Riwayat Muslim (78)

Imam al-Nawawi menyatakan, kemungkaran itu tidak boleh didiamkan dan dibiarkan terus bermaharajalela. Kuasa perlu digunakan agar terhenti kemungkaran itu. Jika tidak terdaya bertindak dengan kuasa, maka dengan Iisan menerusi nasihat, peringatan atau perkataan yang sopan-santun, sekalipun kesannya dilihat agak lambat. Dan sekiranya masih tidak sanggup untuk berbuat sedemikian, maka cukuplah bahawa hati kita tidak terikut dan bersetuju dengan kemungkaran itu. Tindakan yang terakhir ini adalah suatu tanda bahawa iman kita sangat lemah, kerana hati itu hanya manfaat untuk diri kita sendiri, sedang pada pencegahan melalui perbuatan atau nasihat itu dapat memberikan manfaat buat diri kita dan masyarakat umum, sehingga menyebabkan kemungkaran itu terhenti dan tidak terus berlaku. (Lihat Riyad al-Salihin, 1/123)

Terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan daripada al-Nu‘man bin Basyir R.A, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:

مَثَلُ القَائِمِ عَلَى حُدُودِ اللَّهِ وَالوَاقِعِ فِيهَا، كَمَثَلِ قَوْمٍ اسْتَهَمُوا عَلَى سَفِينَةٍ، فَأَصَابَ بَعْضُهُمْ أَعْلاَهَا وَبَعْضُهُمْ أَسْفَلَهَا، فَكَانَ الَّذِينَ فِي أَسْفَلِهَا إِذَا اسْتَقَوْا مِنَ المَاءِ مَرُّوا عَلَى مَنْ فَوْقَهُمْ، فَقَالُوا: لَوْ أَنَّا خَرَقْنَا فِي نَصِيبِنَا خَرْقًا وَلَمْ نُؤْذِ مَنْ فَوْقَنَا، فَإِنْ يَتْرُكُوهُمْ وَمَا أَرَادُوا هَلَكُوا جَمِيعًا، وَإِنْ أَخَذُوا عَلَى أَيْدِيهِمْ نَجَوْا، وَنَجَوْا جَمِيعًا.

Maksudnya: “Perumpamaan orang yang mengingkari kemungkaran dan orang yang terjerumus dalamnya bagaikan sekumpulan orang yang mencabut undi dalam sebuah kapal. Sebahagian mereka berada di bahagian atas kapal dan sebahagian lain di bawah. Jika mereka yang berada di bahagian bawah mahu mengambil air, mereka perlu melalui mereka yang berada di bahagian atas. Mereka berkata: “Jika kita membuat lubang pasti itu tidak mengganggu mereka yang berada di atas kita.” Sekiranya mereka yang berada di bahagian atas membiarkan orang-orang di bahagian bawah meneruskan rancangan mereka, pasti kesemua mereka akan mati lemas. Namun, jika mereka yang di bahagian atas melarang orang-orang di bahagian bawah daripada berbuat demikian, nescaya mereka akan selamat dan seluruh penumpang kapal itu juga turut selamat.”

Riwayat al-Bukhari (2493)

Sehubungan dengan itu, Ibn Hajar al-‘Asqalani di dalam kitabnya Fath al-Bari memberikan beberapa pendapat berkenaan hadis tersebut yang mana ia mengandungi beberapa pelajaran, iaitu: Pertama, hukuman boleh menimpa suatu kaum disebabkan mereka tidak menghalang kemungkaran. Kedua, seorang yang berilmu boleh memberikan penjelasan dengan membawakan contoh-contoh sesuai. Ketiga, wajib bersabar terhadap kelakuan tetangga jika khuatir tertimpa bahaya yang lebih besar, dan keempat hendaknya saling mengingatkan jika ada kekeliruan atau bahaya yang dilakukan saudara kita seperti orang yang berada di atas perahu melihat orang bawah ingin melubangkan kapal bagi mendapatkan air. (Lihat Fath al-Bari, 5/295-296)

Dengan kata lain, akibat tidak adanya pencegahan kemungkaran terhadap orang Islam yang melakukan kemungkaran, maka seperti perumpamaan yang diberikan Rasulullah SAW tersebut, umat Islam akan tenggelam, tidak lagi dirasakan sebagai rahmat bagi umat manusia. (Lihat Tafsir al-Bayan, 3/244-246)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa mencegah kemungkaran merupakan tanggungjawab semua orang dan semua pihak. Sebagai umat Islam, menjadi kewajipan kepada kita semua untuk membanteras kemungkaran-kemungkaran yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini.

Marilah sama-sama kita mengingati ancaman daripada Rasulullah SAW kepada golongan yang mengabaikan amar makruf dan nahi mungkar:

لَتَأمُرُنَّ بالمَعروفِ، ولَتَنهَوُنَّ عنِ المُنكَرِ، أو لَيُسلِّطَنَّ اللهُ عليكم شِرارَكم، فيَدْعو خِيارُكم فلا يُستَجابُ لهم.

Maksudnya: “Hendaklah kamu melaksanakan amar makruf dan nahi munkar atau Allah mengalahkan kamu dengan dikuasakan orang-orang jahat di kalangan kamu, lantas ketika itu orang soleh di kalangan kamu berdoa dan Allah tidak mustajabkan doa mereka.”

Riwayat al-Bukhari (581) Muslim (826) al-Tirmizi (183) al-Nasai (562)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

Leave a Reply