Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah Islam menyuruh dan menuntut kita berdakwah kepada kaum kerabat terdekat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِ ۖ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ

Maksudnya: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”

(Surah al-Nahl: 125)

Al-Baghawi ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan: Serulah ke jalan Allah dengan penuh  hikmah dan kebijaksanaan iaitu dengan al-quran dan nasihat pengajaran yang baik dari al-quran. Dikatakan juga nasihat pengajaran yang baik itu adalah menyeru kepada Allah dengan memberi galakan dan ancaman. Pandangan lain juga menytakan: Perkataan yang lembut dan tidak kasar dalam menyampaikan dakwah. (Lihat Tafsir al-Baghawi, 5/52)

Menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa al-Quran adalah kitab Allah SWT yang diturunkan untuk membawa petunjuk kepada umat Islam. Nabi Ibrahim A.S merupakan antara rasul yang ditugaskan oleh Allah SWT untuk menyampaikan Islam kepada kaumnya berdasarkan manhajnya yang tersendiri sesuai dengan mad‘u. Manhaj yang jelas diamalkan oleh Nabi Ibrahim A.S dalam dakwah Baginda ialah memulakan dakwah kepada kaum kerabat yang terdekat iaitu bapanya sendiri.

Menerusi al-Quran kita dapat melihat betapa Baginda menyusun langkah-langkah dakwah dengan begitu teratur dan sempurna secara berperingkat. Baginda memulakan dakwah kepada insan yang paling hampir dengan Baginda iaitu bapanya sebelum berdakwah kepada kaumnya dan pemerintah di negeri Baginda. Hakikatnya, ini adalah hak setiap individu yang memulakan sesuatu kebaikan dengan dirinya, kemudian ahli keluarganya, setelah itu kaum kerabatnya, masyarakat sekeliling dan begitulah seterusnya. Inilah juga tradisi dakwah para rasul yang sewajarnya diteladani.

Bahkan manhaj ini adalah perintah Allah SWT sebagaimana yang termaktub di dalam al-Quran, firman Allah SWT:

وَأَنذِرْ عَشِيرَتَكَ ٱلْأَقْرَبِينَ

Maksudnya: “Dan berilah peringatan kepada kaum kerabatmu yang terdekat.”

(Surah al-Syu‘ara’: 214)

Ibn Jarir al-Tabari berkata: Allah Taala berfirman kepada Nabi Muhammad SAW: “Dan beri peringatan kepada keluargamu yang terdekat di antara kaummu, iaitu kerabatmu, dan beri peringatan kepada mereka tentang seksaan Kami agar seksaan itu tidak menimpa mereka kerana kekufuran mereka.” Disebutkan bahawa ketika ayat ini turun, Nabi Muhammad SAW mulai memberi peringatan kepada keluarga datuknya, Abdul Muttalib, dan anak-anaknya, serta memberi peringatan kepada mereka. (Lihat Jami’ al-Bayan, 17/554)

Imam al-Qurtubi pula menyatakan, menyempurnakan hak kaum kerabat adalah keutamaan sebelum orang lain dalam menyelamatkan mereka daripada syirik dan kekufuran. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 13/143)

Al-Razi juga mengulas tentang keperluan manhaj dakwah ini dengan katanya, “Apabila seseorang memulakan kesungguhan dakwah pada dirinya kemudian kerabat terdekat, setelah itu kerabat yang jauh dan seterusnya, tiada sesiapa yang mengecamnya atau mengingkarinya bahkan perkataannya akan lebih bermanfaat dan bicaranya pula akan lebih berkesan.” (Lihat Tafsir al-Razi, 24/172)

Kesimpulan

Oleh demikian, berdakwah kepada masyarakat yang lalai, kepada kaum bukan Muslim atau berdakwah kepada orang baik agar konsisten dalam kebaikan, semua itu adalah sasaran dakwah yang perlu didekati. Namun, paling asas jangan lupa pembinaan diri dan berdakwah kepada keluarga terdekat terutamanya pasangan dan anak-anak serta ahli keluarga terdekat.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً  إِنَّكَ أَنتَ الْوَهَّابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat daripada sisi-Mu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian-Nya.”

Surah Ali Imran (8)

Leave a Reply