Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah dakwah yang dilakukan perlu dengan istiqamah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Istiqamah bererti teguh di atas jalan yang lurus.  Jalan yang lurus hanyalah Islam. Akidah dan syariahnya. Istiqamah perbuatan dan amalan meliputi tekun bekerja melakukan apa sahaja yang baik yang diredhai Allah SWT. Ini meliputi sikap dedikasi, rajin, tidak mudah putus asa, sentiasa menegakkan kebenaran dalam perbuatan seharian. Perjuangan dalam hidup manusia amat luas dan berbeza-beza. Perjuangan yang suci diredhai Allah SWT tidak terlepas daripada cabaran terutama perjuangan menegakkan Islam sama ada dalam diri, dalam keluarga dan masyarakat. Allah SWT berfirman:

وَأَنَّ هَـٰذَا صِرَٰطِى مُسْتَقِيمًۭا فَٱتَّبِعُوهُ ۖ وَلَا تَتَّبِعُوا۟ ٱلسُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَن سَبِيلِهِۦ ۚ ذَٰلِكُمْ وَصَّىٰكُم بِهِۦ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya: “Dan sesungguhnya inilah jalan-Ku yang lurus maka hendaklah kamu mengikutinya dan janganlah kamu mengikut jalan-jalan yang lain kerana perbuatan itu akan menjauhkan kamu dari jalan Allah. Demikianlah apa yang diperintah Allah kepada kamu, supaya kamu bertakwa kepada-Nya.”

(Surah al-An‘am: 153)

Oleh itu, istiqamah hanya boleh wujud dengan mengikuti Islam, meyakini akidahnya serta mengamalkan syariah-Nya serta mengikut manhaj dan sistemnya. Ayat ini sekaligus memperingatkan manusia agar jangan sampai mengikuti agama selain daripada agama Islam sama ada agama Yahudi, Nasrani, Majusi ataupun ideologi yang timbul kebelakangan ini seperti kapitalisme, sosiolisme, sekularisme, liberalisme, nasionalisme dan lain-lain lagi. Ini kerana semua agama, ideologi, ajaran dan fahaman selain Islam adalah menyesatkan serta pasti menimbulkan kerosakan dan kemurkaan Allah SWT. Apa yang terjadi dan dialami oleh umat manusia pada hari ini merupakan bukti akan hal itu.

Justeru itu, istiqamah menuntut keteguhan dan kelurusan dalam keimanan, menjalankan berbagai ketaatan serta menjauhi berbagai kemaksiatan dan fitnah yang sentiasa muncul pada zaman kini. Istiqamah juga menuntut manusia selalu teguh dan tiada henti dalam mendakwahkan akidah dan syariah Islam. Itulah istiqamah yang diperintahkan oleh Allah SWT, sebagaimana firman Allah SWT:

فَٱسْتَقِمْ كَمَآ أُمِرْتَ وَمَن تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطْغَوْا۟ ۚ إِنَّهُۥ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌۭ

Maksudnya: “Maka dengan itu, beristiqamahlah kamu di jalan yang benar; seperti yang diperintahkan kepada kamu dan orang yang bertaubat bersamamu; dan janganlah sesekali melampaui batas-Nya. Sesungguhnya Dia Maha Melihat setiap apa yang kamu lakukan.”

(Surah Hud: 112)

Istiqamah adalah daya kekuatan yang diperlukan sepanjang hayat manusia dalam melaksanakan tuntutan Islam, mulai daripada amalan hati, amalan lisan dan anggota tubuh badan. Segala amalan yang dapat dirumuskan dalam pengertian ibadah sama ada fardhu ain atau fardhu kifayah memerlukan istiqamah. Cabaran dalam jalan dakwah hanya akan dapat diatasi oleh semangat jihad yang tinggi, beristiqamah, bersabar dan tidak berputus asa. Firman Allah SWT:

وَلَا تَا۟يْـَٔسُوا۟ مِن رَّوْحِ ٱللَّهِ ۖ إِنَّهُۥ لَا يَا۟يْـَٔسُ مِن رَّوْحِ ٱللَّهِ إِلَّا ٱلْقَوْمُ ٱلْكَـٰفِرُونَ

Maksudnya: “Dan janganlah berputus asa daripada mengharap rahmat Allah. Sesungguhnya tidak ada yang berputus asa daripada mengharap rahmat Allah melainkan orang yang kafir.”

(Surah Yusuf: 87)

Justeru dalam usaha beristiqamah melakukan ibadah dan kebaikan, mintalah bantuan daripada Allah SWT agar diberi kekuatan dan kesabaran. (Lihat Tafsir al-Bayan, 3/289-290)

Daripada Abu Amru – atau digelar juga Abu ‘Amrah Sufyan bin Abdullah al-Thaqafi R.A, katanya: “Aku berkata:

يَا رَسُوْلَ اللهِ! قُلْ لِي فِي الإسْلَامِ قَوْلًا لَا أَسْأَلُ عَنْهُ أَحَدًا غَيْرَكَ. قالَ: قُلْ: آمَنْتُ بِاللهِ ثُمَّ اسْتَقِمْ.

Maksudnya: “Wahai Rasulullah, ajarlah kepadaku berkenaan Islam, perkataan yang tidak perlu aku bertanya seseorang pun selainmu.” Sabda Baginda: Katakanlah ‘ آمَنْتُ بِالله ‘ (Aku beriman kepada Allah) kemudian istiqamahlah.”

Riwayat Muslim (38), al-Baihaqi dalam al-Sunan (1/76), Ahmad dalam Musnadnya (5/371), dan al-Daraqutni dalam al-Sunan (3/45).

Sebahagian ulama menyebut: “Istiqamah dengan makna thabit atau tetap tanpa gundah gulana dan luntur semangat. Contohilah semut. Ketika mengambil gula di dalam botol meskipun kita mengusirnya, namun ia tidak lari sebelum mendapat gula tersebut. Dengan bersusah payah, akhirnya dia berjaya membawa gula yang lebih besar dari tubuhnya. Dari kehidupan binatang pun kita dapat menirunya. Semut yang tidak mempunyai akalpun boleh mencapai kejayaan apatah lagi kita manusia yang mempunyai akal!”

Perkataan istiqamah mengandungi maksud mujahadah. Istiqamah terhadap agama tidak akan datang melainkan selepas kesusahan dan kesabaran. (Lihat al-Kafi, hlm. 231)

Kesimpulan

Jalan yang lurus hanyalah jalan hidup para nabi, para siddiqin, para syuhada’ dan orang soleh. Manhaj atau cara hidup mereka adalah kehidupan yang berasaskan kepada tauhid dan keimanan kepada Allah SWT. Jalan  yang mereka lalui adalah jalan yang dipimpin oleh agama yang berasaskan kepada ajaran wahyu Allah SWT. Oleh itu, seorang Mukmin perlulah mencontohi cara hidup mereka supaya memperoleh jalan yang lurus.

Usaha dakwah sebenarnya adalah kesinambungan kerja para nabi, siddiqin, syuhada’ dan orang soleh. Oleh itu, seorang mukmin tidak perlu berasa ragu-ragu dan bimbang, apatah lagi merasa asing dalam melaksanakan tugas yang mulia ini.

Iman yang teguh adalah asas utama yang mampu membentuk kehidupan yang bahagia di dunia dan akhirat. Beriman kepada Allah SWT, mengerjakan kebajikan, menuruti perintah-Nya serta berusaha menjauhi segala yang dilarang ialah formula utama manusia mampu mewujudkan rasa bahagia di dalam dirinya sendiri.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”

Leave a Reply