Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah Ibu Nabi Musa seorang Nabi? Hal ini kerana dalam al-Quran menyebutkan kami wahyukan kepada ibu Nabi Musa. Mohon pencerahan

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

إِذْ أَوْحَيْنَآ إِلَىٰٓ أُمِّكَ مَا يُوحَىٰٓ ٣٨ أَنِ ٱقْذِفِيهِ فِى ٱلتَّابُوتِ فَٱقْذِفِيهِ فِى ٱلْيَمِّ فَلْيُلْقِهِ ٱلْيَمُّ بِٱلسَّاحِلِ يَأْخُذْهُ عَدُوٌّۭ لِّى وَعَدُوٌّۭ لَّهُۥ ۚ وَأَلْقَيْتُ عَلَيْكَ مَحَبَّةًۭ مِّنِّى وَلِتُصْنَعَ عَلَىٰ عَيْنِىٓ ٣٩ إِذْ تَمْشِىٓ أُخْتُكَ فَتَقُولُ هَلْ أَدُلُّكُمْ عَلَىٰ مَن يَكْفُلُهُۥ ۖ فَرَجَعْنَـٰكَ إِلَىٰٓ أُمِّكَ كَىْ تَقَرَّ عَيْنُهَا وَلَا تَحْزَنَ ۚ وَقَتَلْتَ نَفْسًۭا فَنَجَّيْنَـٰكَ مِنَ ٱلْغَمِّ وَفَتَنَّـٰكَ فُتُونًۭا ۚ فَلَبِثْتَ سِنِينَ فِىٓ أَهْلِ مَدْيَنَ ثُمَّ جِئْتَ عَلَىٰ قَدَرٍۢ يَـٰمُوسَىٰ

Maksudnya: “Ketika Kami mengilhamkan kepada ibumu suatu ilham. Iaitu, “Letakkan anakmu di dalam sebuah peti dan alirkannya ke dalam sungai, kemudian arus sungai akan membawanya ke tebing lalu dipungut oleh musuh-Ku dan musuhnya iaitu Firaun.” Kami telah campakkan kepadamu perasaan belas kasihan supaya kamu dikasihi orang yang melihatmu dan supaya kamu diasuh dalam pemeliharaan-Ku. Nikmat Kami juga atasmu wahai Musa ketika kakakmu memerhatikan peti itu, lalu dia berkata kepada mereka yang mengambilnya, “Mahukah kamu aku tunjukkan seorang yang boleh memeliharanya dengan baik?” Maka Kami telah kembalikan kamu kepada ibumu dengan selamat supaya dia gembira dan tidak lagi bersedih. Dan nikmat Kami juga atasmu ketika kamu membunuh seorang lelaki lalu Kami selamatkanmu daripada belenggu masalah tersebut dan Kami telah mengujimu dengan berbagai-bagai ujian. Kemudian kamu tinggal selama beberapa tahun dengan selamat bersama penduduk Madyan sehinggalah kamu datang pada hari ini dengan ketetapan Kami wahai Musa.

(Surah Taha : 38-40)

Terdapat perselisihan pendapat dalam kalangan ahli tafsir tentang isu adakah ibu Nabi Musa A.S seorang nabi berdasarkan penggunaan kalimah “wahy” di dalam (إِذْ أَوْحَيْنَآ إِلَىٰٓ أُمِّكَ مَا يُوحَىٰٓ) yang membawa maksud bahawa ibu Nabi Musa A.S mendapat wahyu daripada Allah SWT.

Berdasarkan perbahasan ulama, kalimah wahyu dari segi bahasa mengandungi unsur isyarat yang pantas dan berlaku secara tersembunyi sama ada secara simbol, tulisan, suara  atau anggota tubuh. Terdapat enam maksud wahyu dari aspek bahasa yang terdapat dalam al-Quran, iaitu:

  • Ilham semulajadi kepada manusia seperti wahyu kepada ibu Nabi Musa A.S. (إِذْ أَوْحَيْنَآ إِلَىٰٓ أُمِّكَ مَا يُوحَىٰٓ). (Surah Taha : 38
  • Ilham semulajadi kepada haiwan seperti dalam Surah al-Nahl ayat 68: (وَأَوْحَىٰ رَبُّكَ إِلَى ٱلنَّحْلِ أَنِ ٱتَّخِذِى مِنَ ٱلْجِبَالِ بُيُوتًۭا وَمِنَ ٱلشَّجَرِ وَمِمَّا يَعْرِشُونَ)
  • Isyarat pantas dengan simbol seperti firman Allah SWT: (فَخَرَجَ عَلَىٰ قَوْمِهِۦ مِنَ ٱلْمِحْرَابِ فَأَوْحَىٰٓ إِلَيْهِمْ أَن سَبِّحُوا۟ بُكْرَةًۭ وَعَشِيًّۭا). (Surah Maryam: 11).
  • Was was syaitan yang mengilhamkan kepada manusia agar memandang indah setiap kejahatan ke dalam jiwa manusia seperti firman Allah SWT: ( وَإِنَّ ٱلشَّيَـٰطِينَ لَيُوحُونَ إِلَىٰٓ أَوْلِيَآئِهِمْ لِيُجَـٰدِلُوكُمْ ۖ وَإِنْ أَطَعْتُمُوهُمْ إِنَّكُمْ لَمُشْرِكُونَ). (Surah al-An‘am:121)
  • Perintah Allah SWT kepada para malaikat berkait dengan segala urusan seperti firman Allah SWT: (إِذْ يُوحِى رَبُّكَ إِلَى ٱلْمَلَـٰٓئِكَةِ أَنِّى مَعَكُمْ فَثَبِّتُوا۟ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ۚ). (Surah al-Anfal:12)
  • Perintah Allah kepada makhluk-Nya yang tidak bernyawa seperti firman Allah kepada bumi: (بِأَنَّ رَبَّكَ أَوْحَىٰ لَهَا). (Surah al-Zalzalah: 5)

Dapatlah disimpulkan di sini bahawa kalimah (أَوْحَيْنَآ) dalam kisah ibu Nabi Musa A.S membawa pengertian ilham semulajadi yang difitrahkan kepada manusia, dan ia bukanlah bermaksud ibu Nabi Musa A.S seorang nabi. Ini kerana nabi hanya dilantik dalam kalangan lelaki sahaja sebagaimana firman Allah:

وَمَآ أَرْسَلْنَا مِن قَبْلِكَ إِلَّا رِجَالًۭا نُّوحِىٓ إِلَيْهِم مِّنْ أَهْلِ ٱلْقُرَىٰٓ ۗ

Maksudnya: “Kami tidak utuskan rasul-rasul sebelum kamu wahai Muhammad melainkan mereka ialah kaum lelaki daripada penduduk bandar, bukan tempat terpencil yang telah Kami berikan wahyu kepada mereka…”

(Surah Yusuf: 109)

Teknik komunikasi berkesan memainkan peranan yang amat besar dalam pelbagai urusan seharian khususnya dalam kerja dakwah. Justeru, para nabi dan rasul dibimbing khusus oleh Allah SWT agar mahir dalam teknik berkomunikasi.

Antara komunikasi yang baik dan berkesan merangkumi penerangan yang jelas, menunggu giliran untuk bercakap, membantah dengan tenang, berkomunikasi dengan sopan di mana ia ringkas dan jelas, bertentang mata, duduk tegak, berkomunikasi dengan nada biasa, bercakap bila perlu, menerima tanggungjawab tanpa memberi helah, meminta pertolongan dengan baik, menggunakan empati tetapi bahasa yang dihormati. Adapun komunikasi yang tidak berkesan adalah mencaci, mengganggu semasa seseorang sedang bercakap, bercakap tanpa henti atau terlalu diam, mengalih pandangan ke tempat lain semasa bercakap, bercakap sambil lewa, menjerit, mencaci dan menggunakan bahasa yang kasar dan melepaskan geram. (Lihat Tafsir al-Bayan, 3/336-337 )

Namun terdapat juga pandangan daripada sarjana Muslim yang lain yang menyuarakan pendapat bahawa terdapat nabi yang dilantik dalam kalangan wanita. Sebagai contoh Abu Hasan al-Asy‘ari, al-Qurtubi dan Ibn Hazm berpandangan bahawa terdapat Nabi dalam kalangan wanita. Ibn Hazm sebagai contoh berhujah dengan pertemuan malaikat dengan Maryam A.S sebagai hujah yang menunjukkan kenabian Maryam A.S. Pada pandangan beliau, pertemuan seseorang dengan malaikat adalah bukti ketinggian status seseorang tersebut sehingga melayakkan beliau dianggap sebagai nabi.

Pada hakikatnya pertemuan malaikat dengan seorang manusia tidak menjadikan seseorang tersebut sebagai seorang nabi. Ini kerana, dalam hadith terdapat beberapa insiden yang menunjukkan pertemuan malaikat dengan seorang manusia, namun dia tidak dianggap nabi. Hadith daripada Abu Hurairah R.A, sabda Rasulullah:

أَنَّ رَجُلًا زَارَ أَخًا لَهُ فِي قَرْيَةٍ أُخْرَى، فَأَرْصَدَ اللهُ لَهُ، عَلَى مَدْرَجَتِهِ، مَلَكًا فَلَمَّا أَتَى عَلَيْهِ، قَالَ: أَيْنَ تُرِيدُ؟ قَالَ: أُرِيدُ أَخًا لِي فِي هَذِهِ الْقَرْيَةِ، قَالَ: هَلْ لَكَ عَلَيْهِ مِنْ نِعْمَةٍ تَرُبُّهَا؟ قَالَ: لَا، غَيْرَ أَنِّي أَحْبَبْتُهُ فِي اللهِ عَزَّ وَجَلَّ، قَالَ: فَإِنِّي رَسُولُ اللهِ إِلَيْكَ، بِأَنَّ اللهَ قَدْ أَحَبَّكَ كَمَا أَحْبَبْتَهُ فِيهِ

Maksudnya: “Pada suatu ketika ada seorang lelaki yang mengunjungi saudaranya di desa lain. Kemudian Allah pun mengutus malaikat untuk menemui orang tersebut. Ketika orang itu di tengah perjalanannya ke desa yang dituju, maka malaikat tersebut bertanya: ‘Kamu hendak pergi ke mana?’ Orang itu menjawab; ‘Saya akan menjenguk saudara saya yang berada di desa lain.’ Malaikat itu terus bertanya kepadanya: ‘Adakah kamu mempunyai satu perkara yang menguntungkan dirimu dengannya?’ Lelaki itu menjawab: ‘Tidak, saya hanya mencintainya kerana Allah.’ Akhirnya malaikat itu berkata: ‘Sesungguhnya aku ini adalah malaikat utusan yang diutus untuk memberitahukan kepadamu bahawasanya Allah akan senantiasa mencintaimu sebagaimana kamu mencintai saudaramu kerana Allah.’”

Riwayat Muslim (2567)

Dengan itu, Ibn Hajar dan al-Imam Nawawi pernah menjelaskan bahawa pandangan jumhur menyatakan bahawa para nabi itu adalah terdiri dalam kalangan lelaki dan bukan dalam kalangan wanita. (Lihat Fath al-Bari, 6/447; al-Azkar, 119)

Selain itu, apa yang terjadi kepada ibu Nabi Musa seperti dalam ayat:

وَأَوْحَيْنَا إِلَى أُمِّ مُوسَى أَنْ أَرْضِعِيهِ

Maksudnya: “Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa:” Susukanlah dia;…”

Bukanlah bermaksud wahyu yang diturunkan kepada Nabi tetapi ilham yang dinamakan ilham fitri. Al-Qur’an juga merekodkan lebah yang menerima “wahyu” yang diistilahkan sebagai ilham gharizi. Firman Allah SWT:

وَأَوْحَىٰ رَبُّكَ إِلَى النَّحْلِ أَنِ اتَّخِذِي مِنَ الْجِبَالِ بُيُوتًا وَمِنَ الشَّجَرِ وَمِمَّا يَعْرِشُون

Maksudnya: “Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah: “Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok-pokok kayu, dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia.”

(Surah al-Nahl: 68)

Maka, adalah tidak tepat untuk kita katakan lebah turut menerima wahyu dalam ertikata, menjadi Nabi.

Kesimpulan

Kesimpulannya, Ibu Nabi Musa A.S bukanlah seorang nabi. Bahkan jumhur ulama’ menjelaskan bahawa Nabi hanya dalam kalangan lelaki sahaja. Allah SWT juga menegaskan:

وَمَا أَرْسَلْنَا مِن قَبْلِكَ إِلاَّ رِجَالاً

Maksudnya: “Dan tidaklah Kami mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad), melainkan dari kalangan orang-orang lelaki, yang Kami wahyukan kepada mereka.”

(Surah al-Nahl: 43)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahua`lam.

Leave a Reply