Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah kepentingan targhib dan tarhib dalam dakwah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

ٱدْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِٱلْحِكْمَةِ وَٱلْمَوْعِظَةِ ٱلْحَسَنَةِ ۖ وَجَـٰدِلْهُم بِٱلَّتِى هِىَ أَحْسَنُ ۚ

Maksudnya: “Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan peringatan yang baik serta berdebatlah dengan mereka dengan cara yang paling baik.”

(Surah al-Nahl: 125)

Ayat ini menerangkan bahawa dalam menyampaikan dakwah kepada masyarakat itu perlulah dilakukan secara berhikmah. Walaupun berlaku perdebatan dalam mencari kebenaran maka berhujahlah dengan isi-isi yang baik serta disulami dengan adab sopan kerana akhlak yang baik itu menjadi cerminan kepada wajah Islam yang sebenar.

Al-Baghawi ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan: Serulah ke jalan Allah dengan penuh  hikmah dan kebijaksanaan iaitu dengan al-quran dan nasihat pengajaran yang baik dari al-Quran. Dikatakan juga nasihat pengajaran yang baik itu adalah menyeru kepada Allah dengan memberi galakan dan ancaman. Pandangan lain juga menytakan: Perkataan yang lembut dan tidak kasar dalam menyampaikan dakwah. (Lihat Tafsir al-Baghawi, 5/52)

Kemahiran Targhib dan Tarhib dalam Kalangan Pendakwah

Kerja dakwah pada zaman ini semakin mencabar. Hal ini kerana masyarakat pada zaman ini terdedah dengan pelbagai unsur dan mudah terpengaruh dengan budaya luaran akibat pengaruh media sosial yang semakin luas. Justeru, para pendakwah perlu mempunyai persediaan yang mantap untuk menghadapi cabaran dakwah pada zaman ini dan perlu lebih kreatif memikirkan pendekatan baru yang sesuai dan tidak hanya tertutup dengan pendekatan yang sedia ada.

Berdasarkan kisah-kisah para nabi dan rasul dalam berdakwah kepada masyarakat dan kaum masing-masing, terdapat banyak pengajaran yang boleh dimanfaatkan oleh para pendakwah kini untuk memajukan lagi kegiatan dakwah yang dilakukan dan menjadikannya lebih berkesan. Begitu juga pendekatan-pendekatan yang digunakan oleh al-Quran dalam berinteraksi dengan jiwa manusia ketika menceritakan kisah-kisah para nabi dan rasul tersebut.

Dalam banyak kisah para nabi dan rasul yang dipertontonkan di dalam al-Quran, terdapat watak yang baik dan watak yang sebaliknya. Pastinya akan berlaku pertembungan di antara kedua-dua watak tersebut. Kesudahan watak yang baik akan dimuliakan oleh Allah SWT dan diberikan ganjaran-ganjaran baik, sama ada di dunia mahupun di akhirat. Manakala watak yang jahat dan angkuh pula akan menerima azab di dunia dan pastinya mereka tidak boleh lari daripada azab Allah SWT di akhirat kelak. Inilah sunnatullah yang tidak akan berubah. Daripada contoh ini dapat difahami konsep targhib dan tarhib dalam berdakwah yang sangat perlu dititik beratkan oleh pendakwah.

Al-Targhib adalah satu bentuk galakan dan motivasi kepada umat manusia agar sentiasa mempertingkatkan ketakwaan dan ibadah kepada Allah SWT. Al-Targhib juga boleh dimaksudkan sebagai janji baik dan ganjaran pahala kepada orang soleh. Manakala al-Tarhib pula adalah peringatan dan ancaman kepada manusia supaya menghindari sebarang kejahatan dan kemaksiatan sama ada zahir dan batin. Konsep al-Targhib dan al-Tarhib adalah konsep dakwah yang memberikan rangsangan agar mendorong ke arah ketaatan kepada Allah dan ancaman supaya menghindarkan diri daripada berbuat kejahatan.

Targhib dan tarhib ini merupakan uslub al-Quran dalam menyelesaikan masalah kejiwaan manusia. Ini kerana telah diakui bahawa naluri gemar serta gerun dan takut merupakan dua naluri yang berbentuk fitrah pada manusia. Dengan itu, menjadi sifat semula jadi manusia sukakan kepada perkara yang memberikan manfaat dan kebaikan kepadanya dalam kehidupan dunia, apalagi dalam kehidupan dunia dan akhirat. Manusia akan berusaha menjauhkan diri daripada perkara yang menyusahkan dan merugikannya dengan mengelakkan diri dan berjaga-jaga daripada perkara yang boleh membawa kepada akibat buruk dalam kehidupan dunia yang pendek ini, apalagi dalam kehidupan akhirat yang kekal abadi.

Naluri manusia boleh membawa kepada keburukan yang menjahanamkan dan juga boleh membawa kepada kebaikan yang mendorong seseorang ke arah mempertahankan kebenaran, kehormatan diri, keluarga dan tanah air. Maka di sini jelaslah bahawa dengan targhib dan tarhib, semua naluri yang membawa kepada keburukan akan dapat disingkirkan dengan itu dapat menyuburkan naluri dan boleh membawa kepada kebaikan.

Perlu diingat, para pendakwah perlu menggunakan kedua-dua kaedah ini, targhib dan tarhib, dengan seimbang. Hal ini kerana sekiranya digunakan secara semberono tanpa mengambil kira keseimbangan, kesan baik yang ingin diperolehi daripadanya akan bertukar kepada negatif. Menurut Ahmad al-Muhammadi, pendakwah yang hanya menggunakan salah satu kaedah sahaja sama ada targhib atau tarhib akan menjadi tempang dan kegiatan dakwahnya akan terbantut atau rosak. (Lihat Tafsir al-Bayan, 3/356-357 )

Kesimpulan

Oleh yang demikian, para pendakwah perlu mempersiapkan diri dengan kemahiran targhib dan tarhib ini dengan menghayati kisah-kisah pada nabi dan rasul yang terdapat di dalam al-Quran, di samping pembacaan buku-buku dan kajian-kajian yang berkaitan dengan bidang dakwah.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نسْأَلُكَ الْهُدَى ، وَالتُّقَى ، وَالْعَفَافَ ، وَالْغِنَى

Maksudnya: “Wahai Allah! Sesungguhnya kami memohon kepada-Mu petunjuk, ketakwaan, sifat iffah dan kekayaan.”

Leave a Reply