Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah ajaran Millah Abraham sesat?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Millah Abraham pada asalnya adalah perkataan bahasa Arab (مِلَّةُ إِبْرَاهِيمَ) yang bererti agama Nabi Ibrahim A.S. Dan perkataan ini juga disebutkan di dalam Kitabullah dalam banyak tempat, antaranya sepertimana firman-Nya:

قُلْ صَدَقَ ٱللَّهُ ۗ فَٱتَّبِعُوا۟ مِلَّةَ إِبْرَٰهِيمَ حَنِيفًۭا وَمَا كَانَ مِنَ ٱلْمُشْرِكِينَ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Benarlah (apa yang difirmankan oleh) Allah, maka ikutilah kamu akan ugama Nabi Ibrahim yang ikhlas (berdasarkan Tauhid), dan bukanlah ia dari orang-orang musyrik’.”

(Surah Ali ‘Imran: 95)

Dan juga dalam firman-Nya:

قُلْ إِنَّنِى هَدَىٰنِى رَبِّىٓ إِلَىٰ صِرَٰطٍۢ مُّسْتَقِيمٍۢ دِينًۭا قِيَمًۭا مِّلَّةَ إِبْرَٰهِيمَ حَنِيفًۭا ۚ وَمَا كَانَ مِنَ ٱلْمُشْرِكِينَ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Sesungguhnya aku telah diberikan petunjuk hidayah oleh Tuhanku ke jalan yang betul lurus, (kepada) ugama yang tetap teguh, iaitu ugama Nabi Ibrahim yang ikhlas, dan tiadalah ia dari orang-orang musyrik’.”

(Surah al-An‘am: 161)

Apabila diperhatikan dalam ayat-ayat yang menyentuh tentang millah Ibrahim (مِلَّةُ إِبْرَاهِيمَ) ini, kita akan dapati kebanyakannya digandingkan dengan kalimah hanif (حَنِيفًۭا) yang bererti agama yang benar, iaitu Islam.

Firman Allah SWT:

فَأَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفًۭا ۚ فِطْرَتَ ٱللَّهِ ٱلَّتِى فَطَرَ ٱلنَّاسَ عَلَيْهَا ۚ لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ ٱللَّهِ ۚ ذَٰلِكَ ٱلدِّينُ ٱلْقَيِّمُ وَلَـٰكِنَّ أَكْثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Oleh kerana itu, hadapkanlah mukamu wahai Muhammad kepada agama Allah dengan lurus, selaku fitrah ciptaan Allah yang telah menciptakan manusia atas landasan fitrah itu. Tidak berlaku perubahan bagi ciptaan Allah. Itulah agama yang betul dan lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”

(Surah al-Rum: 30)

Ayat-ayat ini menekankan tentang kewajiban dan arahan agar mentauhidkan Allah SWT serta larangan dan tegahan daripada melakukan kesyirikan kepada-Nya. Begitu juga larangan daripada meniru sikap orang musyrik yang memecah-belah agama mereka dengan melakukan pengubahan dan penyelewengan sehingga menimbulkan bermacam golongan yang sesat. Allah SWT menekankan kepada manusia supaya tetap dengan pegangan agama yang tidak lari daripada ketetapan Allah, tidak bengkang-bengkok serta tidak cenderung kepada agama Yahudi mahupun Nasrani serta lain-lain kesesatan dan perkara bida‘ah. (Lihat Tafsir al-Mawardi, 4/312; Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/313-317; Jami‘ al-Bayan, 20/99)

Ajaran Millah Abraham

Tetapi apabila melihat pada konteks isu semasa yang berlaku di Malaysia, kita dapat melihat timbulnya beberapa ajaran yang telah menyeleweng daripada ajaran Islam. Antaranya adalah ajaran Millah Abraham @ Ibrahim. Ia mula dikesan berkembang di Malaysia pada tahun 2013 setelah satu aduan diterima oleh Bahagian Perancangan Penyelidikan dan Pembangunan, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Antara ciri-ciri penyelewengan ajaran ini adalah:

  • Mendakwa bahawa adanya rasul selepas Rasulullah SAW.
  • Mendakwa bahawa orang yang tidak mengikuti ajaran Millah Abraham @ Ibrahim adalah syirik.
  • Menggabungkan tiga ajaran agama iaitu Islam, Kristian dan Yahudi.
  • Menyalahertikan maksud kiamat, iaitu menyatakan bahawa kiamat bukan bermaksud berlakunya kemusnahan seluruh alam tetapi dengan tertubuhnya kerajaan baharu yang dikenali sebagai kerajaan Millah Abraham @ Ibrahim.
  • Menafikan kefardhuan solat lima waktu.[1]

Oleh itu, beberapa badan berkuasa agama telah memutuskan dan memfatwakan bahawa ajaran Ibrahim @ Abraham ini adalah sesat dan menyeleweng daripada akidah Islam serta terkeluar daripada ajaran Islam yang sebenar. Antaranya melalui keputusan yang dikeluarkan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Ugama Islam Malaysia Kali Ke-109 yang bersidang pada 18-19 Oktober 2016, Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali ke-88 yang bersidang pada 19 November 2014 dan Jawatankuasa Fatwa bagi Negeri Selangor melalui Warta Kerajaan Negeri bertarikh 17 September 2015.

Kesimpulan

Sesungguhnya Islam adalah agama yang jelas, nyata, dan tidak ada sebarang kekeliruan padanya. Agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW sebagai khatam al-Nabiyyin adalah agama yang bersifat kekal sehingga dunia ini kiamat. Ia merupakan agama yang sesuai di sepanjang zaman dan di mana jua tempat. Bila mana kita mencari dan kita mahu mengambil agama yang lain ataupun kefahaman yang lain daripada Islam, sebenarnya kita telah mempertikaikan kesempurnaan Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.

Justeru, ajaran seperti Millah Abraham @ Ibrahim yang jelas menyeleweng ini hendaklah dijauhi dan dilarang sama sekali untuk berpegang serta beramal dengannya. Begitu juga, mana-mana orang Islam yang telah berbai‘ah atau mengamalkan fahaman dan ajaran ini hendaklah segera bertaubat kepada Allah SWT. Sesungguhnya, Allah menyukai hamba-hamba-Nya yang bertaubat, mendalami ilmu, serta sentiasa bermuhasabah diri untuk menjadikan dirinya sebagai seorang Muslim dan Mukmin yang benar-benar mengharapkan keredhaan-Nya.

Semoga Allah S.W.T memberikan hidayah dan taufiq-Nya kepada kita dalam menjalani kehidupan yang sedang kita tempuhi ini dengan sentiasa mendapatkan inayah daripada-Nya. Kami akhiri dengan doa:

أَصْبَحْنَا عَلَى فِطْرَةِ الْإِسْلَامِ وَعَلَى كَلِمَةِ الْإِخْلَاصِ ، وَعَلَى دِينِ نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، وَعَلَى مِلَّةِ أَبِينَا إِبْرَاهِيمَ حَنِيفًا مُسْلِمًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ

Maksudnya: “Kami hayati pagi ini di atas landasan fitrah dan perwatakan Islam, berpegang kepada kalimah ikhlas (kalimah syahadah), dan berpegang kepada agama Nabi kami Muhammad SAW yang juga agama ayah kami Ibrahim, yang berada di atas jalan yang lurus, muslim dan tidak tergolong dari kalangan orang-orang musyrik.”

Nota kaki:

[1] Lihat http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/16323. Diakses pada 22 November 2023

Leave a Reply