Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah maksud sebenar Lahwa al-Hadith seperti yang tercatat dalam Surah Luqman?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يَشْتَرِى لَهْوَ ٱلْحَدِيثِ لِيُضِلَّ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ بِغَيْرِ عِلْمٍۢ وَيَتَّخِذَهَا هُزُوًا ۚ أُو۟لَـٰٓئِكَ لَهُمْ عَذَابٌۭ مُّهِينٌۭ

Maksudnya: “Dan ada di antara manusia: orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari ugama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan; dan ada pula orang yang menjadikan agama Allah itu sebagai ejek-ejekan; merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan.”

(Surah Luqman: 6)

Ibn ‘Abbas dan Ibn Mas‘ud R.Anhuma menafsirkan kalimah (لَهْوَ ٱلْحَدِيثِ) bahawa ia merujuk kepada muzik, manakala Mujahid berpandangan ia merujuk kepada al-lahwu dan al-tobl. Imam al-Hasan al-Basri pula menyatakan ayat ini diturunkan berkenaan muzik dan al-mazamir (iaitu alat muzik yang ditiup seperti seruling). (Lihat Jami‘ al-Bayan, 21/40; Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/451)

Syeikh Abu Bakr al-Jaza’iri berkata, kalimah (لَهْوَ ٱلْحَدِيثِ) itu adalah apa sahaja ucapan yang melalaikan seseorang itu dari kebaikan dan perkara ma‘ruf, iaitulah muzik. (Lihat Aisar al-Tafasir, 4/199)

Pada asasnya, para ulama dahulu dan kontemporari bersepakat tentang pengharaman setiap lagu mahupun muzik yang mengandungi unsur-unsur yang jelas haram seperti menggalakkan zina atau meminum arak, tarian yang mengghairahkan dan lirik yang mendorong kepada keganasan. Namun, mereka berbeza pandangan pada muzik dan nyanyian yang bebas daripada unsur-unsur tersebut. Lantaran itu, terdapat pandangan yang mengharuskan nyanyian dan muzik jika ia tidak mempunyai unsur-unsur yang diharamkan seperti arak, pergaulan bebas, lirik yang menyanggahi syariat Islam serta melalaikan pendengar dan pengamal muzik daripada kewajipan agama.

Ibn ‘Abd Rabbih al-Andalusi, sewaktu menyimpulkan khilaf ulama, beliau menyatakan bahawa hukum muzik dan nyanyian sama seperti syair; kebaikan dan keburukannya bergantung kepada kandungannya. Inilah juga pendapat Imam al-Syafi‘i tentang syair yang diriwayatkan oleh Imam al-Juwaini: “Syair itu merupakan himpunan kata-kata, apabila baik lafaz dan kandungannya maka baiklah ia, jika buruk maka buruklah ia.” (Lihat Nihayah al-Matlab, 19/24)

Meskipun banyak hadith yang secara zahirnya melarang muzik dan nyanyian, namun ia sering disebut bersama dengan arak. Ini menunjukkan bahawa pengharaman muzik oleh sebahagian ulama, bukan kerana zat muzik dan nyanyian itu sendiri. Maka kerana itulah terdapat fatwa para ulama kontemporari mengharuskan muzik dan nyanyian sekiranya ia bebas daripada unsur-unsur maksiat dan kejelekan.

Kami pernah menyentuh isu hukum muzik ini beberapa kali. Saudara boleh melihat secara lebih terperinci perbincangan kami mengenai hukum muzik ini di dalam artikel kami yang bertajuk: “Mendengar Lagu Berunsur Syirik dan Lucah.”

Semoga Allah kurniakan kepada kita kefahaman dalam agama dan sentiasa menunjukkan kita ke arah jalan yang diredhai-Nya serta kebenaran yang dapat kita ikutinya. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقّ حَقًّا وَارْزُقْنَا اِتِّبَاعه وَأَرِنَا الْبَاطِل بَاطِلًا وَارْزُقْنَا اجْتِنَابه وَلَا تَجْعَلهُ مُتَلَبِّسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kami kebenaran itu sebagai kebenaran dan rezekikan kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kami untuk menjauhinya dan janganlah Kamu jadikannya keliru atas kami yang menyebabkan kami menyimpang dari kebenaran dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin.”

Wallahu a‘lam

Leave a Reply