Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Benarkah terdapat suami yang nusyuz? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa benar, di sana terdapat juga apa yang dipanggil sebagai suami nusyuz. Ini kerana hukum nusyuz tidak berlaku pada isteri sahaja, malah juga berlaku kepada seorang suami. Nusyuz seorang suami adalah apabila dia tidak memberi hak dan tanggungjawab kepada isterinya dari segi zahir dan batin seperti tidak memberi nafkah serta melakukan kezaliman. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 3/288).
Suami yang menganiayai isteri dan tidak menyukainya seperti tidak memberikannya giliran bermalam sekiranya dia berpoligami, nafkah atau mengasarinya dengan perkataan atau perbuatan, isteri hendaklah menasihati suami dan mengingatkan tanggungjawabnya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/109).
Seorang isteri hendaklah bersabar serta menasihati suaminya tentang kewajipan seorang suami melayani isterinya dengan cara baik, sebagaimana firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا يَحِلُّ لَكُمْ أَن تَرِثُوا۟ ٱلنِّسَآءَ كَرْهًۭا ۖ وَلَا تَعْضُلُوهُنَّ لِتَذْهَبُوا۟ بِبَعْضِ مَآ ءَاتَيْتُمُوهُنَّ إِلَّآ أَن يَأْتِينَ بِفَـٰحِشَةٍۢ مُّبَيِّنَةٍۢ ۚ وَعَاشِرُوهُنَّ بِٱلْمَعْرُوفِ ۚ فَإِن كَرِهْتُمُوهُنَّ فَعَسَىٰٓ أَن تَكْرَهُوا۟ شَيْـًۭٔا وَيَجْعَلَ ٱللَّهُ فِيهِ خَيْرًۭا كَثِيرًۭا
Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, tidak halal bagi kamu untuk mewarisi perempuan yang kematian suaminya dengan jalan paksaan, dan janganlah kamu menyakiti isteri kamu dengan menahan dan menyusahkan mereka kerana kamu hendak mengambil balik sebahagian daripada mas kahwin yang telah kamu berikan kepada mereka, kecuali sekiranya mereka melakukan perbuatan keji yang nyata seperti zina. Dan hendaklah kamu bergaul dengan isteri-isterimu dengan cara yang baik. Jika kamu berasa benci kepada mereka, maka bersabarlah dan jangan kamu terburu-buru menceraikan mereka, kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah jadikan padanya kebaikan yang banyak.”
(Surah al-Nisa’: 19)
Sekiranya suami masih belum berubah dan masih mengulangi perbuatannya maka isteri boleh mengadu kepada hakim atau pihak pemerintah mengenakan hukuman terhadap suaminya di atas apa yang dilakukan terhadap dirinya. Hal ini adalah sebagaimana firman Allah SWT:
وَإِنْ خِفْتُمْ شِقَاقَ بَيْنِهِمَا فَٱبْعَثُوا۟ حَكَمًۭا مِّنْ أَهْلِهِۦ وَحَكَمًۭا مِّنْ أَهْلِهَآ إِن يُرِيدَآ إِصْلَـٰحًۭا يُوَفِّقِ ٱللَّهُ بَيْنَهُمَآ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلِيمًا خَبِيرًۭا
Maksudnya: “Dan jika kamu bimbang akan berlaku permusuhan antara pasangan suami isteri itu, maka hendaklah kamu melantik seorang pendamai daripada keluarga lelaki dan seorang pendamai daripada keluarga perempuan. Jika kedua-dua pendamai tersebut menginginkan perdamaian antara pasangan suami isteri, nescaya Allah akan memberi taufik kepada kedua suami isteri itu untuk kembali berdamai. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui, lagi amat mendalam pengetahuan-Nya.”
(Surah al-Nisa’: 35)
Oleh yang demikian, permasalahan rumah tangga hendaklah dirujuk kepada pihak yang berautoriti dalam menyelesaikan masalah ini, agar dapat mengadakan perbincangan damai serta menyelesaikan perselisihan rumah tangga dengan jalan yang terbaik. Justeru, selain itu juga, setiap pasangan suami isteri perlu ada ilmu pengetahuan dan kesedaran tentang keburukan serta kesan melakukannya. (Lihat Tafsir al-Bayan, 1/686-687).
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”