Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan berkenaan pelbagai sikap buruk Bani Israel sepanjang zaman?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
لُعِنَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِن بَنِي إِسْرَائِيلَ عَلَىٰ لِسَانِ دَاوُودَ وَعِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ ۚ ذَٰلِكَ بِمَا عَصَوا وَّكَانُوا يَعْتَدُونَ
Maksudnya: Orang-orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat (di dalam Kitab-kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa ibni Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh.
(Surah al-Ma’idah: 78)
Bani Israel adalah keturunan yang lahir daripada Nabi Yaakub bin Ishak bin Ibrahim A.S. Baginda mempunyai dua belas orang anak dan daripada mereka inilah terbentuknya kaum Bani Israel. (Lihat Banu Israel fi al-Quran Wa al-Sunnah, hlm. 11-12)
Allah SWT telah mengutuskan ramai rasul dan nabi daripada keturunan mereka. Sungguhpun mereka adalah daripada keturunan nabi dan rasul, al-Quran menceritakan banyak perkara buruk yang telah mereka lakukan. Sesiapa yang membaca al-Quran pasti akan mendapati ayat-ayat yang menerangkan tentang akhlak, kelakuan dan tindakan buruk mereka. Apa yang diceritakan oleh al-Quran ini sekiranya diamati, sangat bertepatan dengan kelakuan Bani Israel dari dahulu hinggalah hari ini. Bahkan ia juga boleh dijadikan panduan untuk menjangkakan kelakuan mereka pada masa hadapan.
Antara sikap dan kelakuan buruk Bani Israel yang dicatatkan di dalam al-Quran adalah seperti berikut:
- Melanggar perjanjian.
- Tidak beradab dengan Allah SWT, memusuhi malaikat dan membunuh para nabi.
- Mengingkari kebenaran dan tidak suka orang lain mendapat kebaikan kerana mementingkan diri sendiri dan hasad dengki.
- Mencari helah untuk menghalalkan perkara yang diharamkan oleh Allah.
- Meninggalkan kitab Allah dan mengikut sihir dan tipu daya syaitan.
- Mengubah dan menokok tambah kitab Taurat serta melupakan sebahagian daripada apa yang diperingatkan kepada mereka dengannya.
- Bersungguh-sungguh untuk hidup dan takut berjihad di jalan Allah.
- Meminta daripada Nabi Musa A.S untuk membuat tuhan untuk mereka seperti tuhan orang lain.
- Mereka menyembah patung anak lembu.
- Melampaui batas dalam perkara agama. (Lihat Banu Israel fi al-Quran Wa al-Sunnah, hlm. 393-394)
Oleh sebab terlalu banyak perkara buruk yang mereka telah lakukan dalam keadaan pelbagai nikmat dan kelebihan telah diberikan oleh Allah SWT kepada mereka, maka wajarlah mereka mendapat hukuman yang setimpal. Justeru, al-Quran telah merakamkan beberapa janji buruk dan hukuman yang diberikan oleh Allah SWT kepada mereka akibat sikap dan kelakuan buruk mereka sepanjang sejarah. Antaranya:
- Dihancurkan sehancur-hancurnya dan dihantar kepada mereka malaikat yang menimpakan mereka dengan azab sengsara yang seburuk-buruknya.
- Dimusnahkan oleh Allah SWT dua kali akibat kerosakan yang mereka lakukan di muka bumi.
- Diharamkan bagi mereka sebahagian perkara yang halal sebagai balasan kepada kezaliman yang mereka lakukan.
- Dihukum secara diubah menjadi makhluk lain.
- Mendapat kemurkaan dan laknat Allah SWT.
- Mendapat kehinaan dan kemiskinan. (Lihat Banu Israel fi al-Quran Wa al-Sunnah, hlm. 635)
Sekiranya diteliti pembentukan negara haram Israel di tanah milik orang Palestin, terdapat banyak penyelewengan yang telah dilakukan oleh mereka terhadap fakta untuk membenarkan tindakan mereka merampas hak orang lain. Penyelewengan ini dinamakan oleh Roger Garaudy sebagai dongengan-dongengan yang dijadikan asas oleh puak Zionis kepada pembentukan polisi negara haram mereka. (Lihat al-Asatir al-Muassisah li al-Siasah al-Israeliyyah, hlm. 17)
Beliau telah membahagikan dongengan-dongengan tersebut kepada dua bahagian. Pertamanya dongengan yang melibatkan perkara keagamaan. Keduanya dongengan kurun kedua puluh. Adapun dongengan yang melibatkan perkara keagamaan, adalah seperti berikut:
- Dongengan tanah yang dijanjikan atau tanah yang dirampas.
- Dongengan kaum terpilih.
- Dongengan Yasyu’ iaitu penghapusan etnik.
- Manakala dongengan yang dinamakan sebagai dongengan kurun kedua puluh pula, adalah seperti berikut:
- Dongengan anti-semitik.
- Dongengan perbicaraan Nuremberg.
- Dongengan Holocaust.
- Dongengan tanah tanpa tuan.
Begitulah sikap dan kelakuan bangsa Bani Israel ini. Tidak akan diam daripada melakukan perkara yang buruk dengan penuh keangkuhan. Penyelewengan dan dongengan yang digunakan pada hari ini untuk merampas hak orang lain adalah jelmaan kepada akhlak buruk mereka yang telah direkodkan dalam al-Quran lebih 1400 dahulu. Namun janji Allah terhadap mereka pasti akan berlaku. (Lihat Tafsir al-Bayan, 3/365-367 )
Kesimpulan
Terdapat banyak penyelewengan yang telah dilakukan oleh kaum Bani Israel sepanjang sejarah mereka, dari awal sehinggalah sekarang. Sekiranya dahulu mereka menyelewengkan akidah dengan menyembah berhala, namun sekarang mereka juga banyak membuat penyelewengan terhadap fakta untuk menguasai tanah Palestin. Justeru umat Islam perlu berhati-hati dalam berinteraksi dengan golongan ini serta beringat dan mengingatkan orang lain tentang sikap buruk mereka agar tidak terperangkap dengan tipu daya dan penyelewengan mereka.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوْذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ البَلَاءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوءِ القَضَاءِ ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ
Maksudnya: “Wahai Allah! Kami berlindung kepada-Mu daripada ujian yang berat, hinanya kecelakaan, buruknya takdir dan celaan para musuh (atas bala, ujian dan kecelakaan yang menimpa).”