Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Apakah yang dimaksudkan dengan berhala Suwa‘? Mohon penjelasan. Terima Kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
أَفَرَأَيْتُمُ اللَّاتَ وَالْعُزَّىٰ ﴿١٩﴾ وَمَنَاةَ الثَّالِثَةَ الْأُخْرَىٰ
Maksudnya: “(Setelah kamu — wahai kaum musyrik Makkah — mendengar keterangan yang membuktikan kekuasaan dan keagungan Allah) maka adakah kamu nampak bahawa al-Lat dan al-‘Uzza (19). Serta Manat yang ketiga, yang bertaraf rendah lagi hina itu (layak disembah dan dianggap sebagai anak-anak perempuan Allah)?”
(Surah al-Najm: 19-20)
Muhammad ‘Abd al-Latif bin al-Khatib ketika menafsirkan ayat ini menyatakan, ia adalah nama-nama sembahan yang dahulunya mereka sembah. (Lihat Audhah al-Tafasir, hlm. 649). Tidaklah berhala-berhala ini melainkan hanya pada nama sahaja, tanpa ada wujud hakikatnya. Orang musyrikin dan nenek moyang mereka telah mengada-adakannya dan memberinya nama. Sedangkan Allah SWT sama sekali tidak menurunkan bukti tentang nama-nama tersebut. Begitu juga tidaklah apa yang mereka sembah itu melainkan hanyalah sangkaan semata-mata (yakni sesuatu yang mereka anggap sebagai tuhan) dan sesuatu yang diri mereka sukai kerana godaan daripada syaitan. Sungguh kebenaran daripada al-Quran telah sampai kepada mereka melalui perantara Nabi Muhammad SAW. (Lihat Tafsir al-Madinah al-Munawwarah, hlm. 1593).
Berbalik kepada soalan yang diajukan, Imam al-Bukhari ada menjelaskan bahawa suwa‘ (سُوَاعٌ) adalah salah satu daripada patung-patung berhala yang ada dalam kalangan kaum Nuh pada masa lalu, yang mana menjadi sembahan orang-orang Arab yang datang kemudiannya. Suwa‘ pada asalnya merupakan nama orang lelaki soleh daripada kaum Nabi Nuh. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma:
صَارَتِ الأَوْثَانُ الَّتِي كَانَتْ فِي قَوْمِ نُوحٍ فِي العَرَبِ بَعْدُ أَمَّا وَدٌّ كَانَتْ لِكَلْبٍ بِدَوْمَةِ الجَنْدَلِ، وَأَمَّا سُوَاعٌ كَانَتْ لِهُذَيْلٍ، وَأَمَّا يَغُوثُ فَكَانَتْ لِمُرَادٍ، ثُمَّ لِبَنِي غُطَيْفٍ بِالْجَوْفِ، عِنْدَ سَبَإٍ، وَأَمَّا يَعُوقُ فَكَانَتْ لِهَمْدَانَ، وَأَمَّا نَسْرٌ فَكَانَتْ لِحِمْيَرَ لِآلِ ذِي الكَلاَعِ، أَسْمَاءُ رِجَالٍ صَالِحِينَ مِنْ قَوْمِ نُوحٍ، فَلَمَّا هَلَكُوا أَوْحَى الشَّيْطَانُ إِلَى قَوْمِهِمْ، أَنِ انْصِبُوا إِلَى مَجَالِسِهِمُ الَّتِي كَانُوا يَجْلِسُونَ أَنْصَابًا وَسَمُّوهَا بِأَسْمَائِهِمْ، فَفَعَلُوا، فَلَمْ تُعْبَدْ، حَتَّى إِذَا هَلَكَ أُولَئِكَ وَتَنَسَّخَ العِلْمُ عُبِدَتْ
Maksudnya: “Patung-patung berhala yang ada dalam kalangan kaum Nuh pada masa lalu (turut) menjadi sembahan orang-orang Arab yang datang kemudiannya. Wadd milik suku Kalb di Daumatul Jandal, Suwa‘ pula milik suku Huzail, Yaghuth milik suku Murad, kemudian kepada Bani Ghutaif di Jurf berdekatan Saba’, adapun Ya‘uq pula milik suku Hamdan, dan Nasr milik suku Himyar, keturunan al Zi al-Kala‘. Nama-nama (berhala itu adalah nama) beberapa orang lelaki soleh daripada kaum Nabi Nuh. Setelah mereka meninggal, syaitan mengilhamkan kepada kaum mereka: ‘Hendaklah kalian membuat patung-patung pada majlis-majlis tempat mereka duduk, dan namakanlah mereka dengan nama-nama (sebenar) mereka.’ Mereka pun melakukannya dan patung-patung itu tidak disembah (pada awalnya). Sehingga setelah generasi itu meninggal dan ilmu (tentang asal-usul berhala) telah hilang maka patung-patung tersebut disembah.”
Riwayat al-Bukhari (4920)
Kesimpulannya
Justeru, Suwa‘ pada asalnya merupakan nama orang lelaki soleh daripada kaum Nabi Nuh. Setelah dia meninggal dunia kaum Nabi Nuh telah mengukirnya sebagai patung berhala, lalu jadilah ia salah satu daripada patung-patung berhala yang ada dalam kalangan kaum Nuh pada masa lalu, yang mana menjadi sembahan orang-orang Arab yang datang kemudiannya.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahua‘lam.
Bertarikh: 21 Februari 2023 bersamaan 30 Rejab 1444H