Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah iktibar yang kita boleh ambil daripada kisah kaum sadum atau kaum Nabi Lut?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَلُوطًا ءَاتَيْنَـٰهُ حُكْمًۭا وَعِلْمًۭا وَنَجَّيْنَـٰهُ مِنَ ٱلْقَرْيَةِ ٱلَّتِى كَانَت تَّعْمَلُ ٱلْخَبَـٰٓئِثَ ۗ إِنَّهُمْ كَانُوا۟ قَوْمَ سَوْءٍۢ فَـٰسِقِينَ ٧٤ وَأَدْخَلْنَـٰهُ فِى رَحْمَتِنَآ ۖ إِنَّهُۥ مِنَ ٱلصَّـٰلِحِينَ

Maksudnya: “Kami telah kurniakan kebijaksanaan dan ilmu pengetahuan kepada Nabi Lut. Kami juga telah selamatkannya daripada azab yang menimpa penduduk negerinya yang telah melakukan perkara-perkara yang keji. Sesungguhnya mereka itu merupakan kaum yang keji lagi fasiq. Kami telah memasukkan Nabi Lut dengan rahmat Kami saat Kami menyelamatkannya daripada azab yang menimpa kaumnya. Dan sesungguhnya Nabi Lut itu dalam kalangan orang yang soleh.

(Surah  al-Anbiya’: 74-75)

Allah menyebut mengenai Nabi Lut A.S. Baginda dikurniakan kebijaksanaan dan ilmu pengetahuan untuk menghadapi umatnya. Umat Baginda iaitu kaum Sadum gemar melakukan perkara-perkara keji termasuk mengamalkan homoseks. Perbuatan ini termasuk dalam perbuatan fasiq yang membawa kepada dosa besar. Setelah azab turun, Allah menyelamatkan Nabi Lut A.S daripada dibinasakan bersama kaumnya. Nabi Lut A.S disejahterakan Allah kerana terbukti dalam kalangan hamba-Nya yang soleh.

Azab Kaum Sadum Iktibar Sepanjang Zaman

Kaum Sadum dimusnahkan Allah kerana melakukan pelbagai kemungkaran termasuk mengamalkan homoseks. Allah amat murka hingga menentukan azab yang amat dahsyat. Menerusi ayat ke-82 Surah Hud, Allah mendedahkan bagaimana kaum Sadum dimusnahkan. Negeri mereka telah diterbalikkan dan dihujani batu-batu dari tanah yang dibakar secara bertalu-talu.

Penyelidik Barat menganggarkan kejadian ini berlaku kira-kira 3,800 tahun lampau di kawasan Laut Mati, yang berada di sempadan Jordan dan Israel. Dalam buku Kaum-kaum Yang Pupus tulisan Harun Yahya, dinyatakan timbunan lava dan basalt di tepi Laut Mati menjadi bukti letusan gunung berapi dan gempa bumi pernah berlaku di situ. Penyelidik Jerman, Werner Keller berpendapat kota purba kaum Nabi Lut A.S masih ada di dalam dasar Laut Mati. Aktiviti kajian untuk mencari kesan bencana di Laut Mati berdepan kesukaran lantaran tasik itu meliputi kawasan luas sehingga 41,650 kilometer persegi dengan kedalaman sehingga 300 meter. Malah, kandungan garam tinggi dalam Laut Mati menyebabkan aktiviti menyelam sukar dilakukan, manusia yang tidak tahu berenang juga akan terapung di tasik itu.[1]

Kewujudan gejala lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) membuktikan ada pihak yang tidak pernah mengambil iktibar daripada bala yang menimpa kaum Sadum. Berdasarkan kalimah “sodomi” yang bermakna liwat atau homoseks pun sudah mencukupi untuk dijadikan iktibar bahawa kalimah ini berasal daripada kaum Sadum yang terlaknat. Gejala terlaknat ini masih diamalkan dan diperjuangkan di seluruh dunia termasuk kelompok yang memperjuangan agenda LGBT di negara ini.

Himpunan Hari Wanita Sedunia di ibu negara pada hari Sabtu, 9 Mac 2019 bertempat di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur yang telah dicemari dengan sekelompok golongan yang mengambil kesempatan untuk mempromosikan hak kebebasan dan gaya hidup Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) dan pelacuran secara terang-terangan. Gerakan LGBT ini, meskipun mendapat kritikan dan kecaman oleh masyarakat, namun tidak kurang mendapat sokongan dan dokongan daripada pihak aktivis sosial. Mereka kononnya memperjuangkan hak asasi. Pada masa yang sama mereka melupakan tuntutan agama yang menggesa hubungan yang halal, menjamin kesejahteraan keturunan dan fitrah manusia sejagat. Sesungguhnya sesiapa yang mencabar ketetapan Allah pasti akan hancur kehidupannya kerana selain ketetapan Allah adalah jalan-jalan syaitan yang jauh daripada keselamatan. (Lihat Tafsir al-Bayan, 3/435)

Sesungguhnya al-Qur’an menceritakan para nabi-nabi dan umat terdahulu, supaya manusia dapat meneladani akhlak mereka dan bukan sekadar cerita yang diceritakan, bahkan agar si pembaca dan si pendengar dapat mengambil pengajaran, seolah-olah ia memberitahu manusia bahawa dahulu Allah SWT telah memberi balasan kepada orang-orang yang ingkar kerana keingkaran mereka. (Lihat Tarikh al-‘Arab, hlm. 179)

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ وَجَدْتُمُوهُ يَعْمَلُ عَمَلَ قَوْمِ لُوطٍ، فَاقْتُلُوا الْفَاعِلَ وَالْمَفْعُولَ بِهِ

Maksudnya: “Jika kamu dapati seseorang melakukan amalan kaum Lut, bunuhlah pelaku dan orang yang dilakukan perlakuan itu.”

Riwayat Abu Dawud (4462), Ibnu Majah (2561) dan al-Tirmizi (1456)

Imam al-Khattabi dalam Ma‘alim al-Sunan mengatakan bahawa perbuatan kaum Nabi Lut ini dihukum dengan sedemikian berat kerana seolah-olah para fuqaha’ merujuk kepada maksud di sebalik seksaan dan azab Allah SWT yang telah menghujani batu ke atas kaum Lut sehingga mereka terbunuh semuanya. Sedangkan diperintahkan bunuh orang yang mengajak melakukan perbuatan itu adalah merujuk kepada makna di dalam syariat, iaitu mati disebabkan oleh hukuman rejam dengan batu bagi pelaku yang telah berkahwin. Manakala pelaku yang belum berkahwin disebat sebanyak 100 kali sebatan, tetapi tidak dibunuh. Pendapat ini merujuk kepada pandangan Sa‘d bin al-Musayyab, ‘Ata’ bin Abi Rabah, al-Nakha‘i, al-Hasan dan Qatadah. Bahkan ia adalah pandangan yang kuat dalam mazhab al-Syafi‘i. (Lihat Ma‘alim al-Sunan, 3/332)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, Allah SWT mendedahkan bagaimana kaum Sadum dimusnahkan. Negeri mereka telah diterbalikkan dan dihujani batu-batu dari tanah yang dibakar secara bertalu-talu.

Al-Suhaili berkata: “Ketika mereka telah pergi dari negerinya dan matahari telah terbit, turunlah kepada kaumnya azab yang dahsyat. Jibril dengan hujung sayapnya membalikkan tujuh kota. Dia jadikan bahagian atas kota itu menjadi bahagian bawah. Tempat tinggal mereka menjadi laksana laut berbau busuk yang bergelombang dengan air yang sangat masin sehingga pahit. (Lihat Qasas al-Anbiya’, hlm. 260-284)

Sekali lagi kami tegaskan bahawa Imam al-Zahabi dalam kitabnya al-Kaba’ir (hlm. 56) menyebut: Kaum Muslimin telah berijma’ (bersepakat) bahawa perlakuan homoseksual termasuk dosa besar yang diharamkan oleh Allah SWT. Firman-Nya:

أَتَأْتُونَ ٱلذُّكْرَانَ مِنَ ٱلْعَـٰلَمِينَ ١٦٥ وَتَذَرُونَ مَا خَلَقَ لَكُمْ رَبُّكُم مِّنْ أَزْوَٰجِكُم ۚ بَلْ أَنتُمْ قَوْمٌ عَادُونَ

Maksudnya: “Patutkah kamu melakukan hubungan jenis dengan lelaki dari kalangan manusia, “Dan kamu tinggalkan apa yang diciptakan oleh Tuhan kamu untuk kamu (melakukan hubungan yang halal) dari badan isteri-isteri kamu? (Kamu orang-orang yang bersalah) bahkan kamu adalah kaum yang melampaui batas (keinginan kebanyaKan haiwan)!”

(Surah al-Syu’ara’: 165-166)

Syeikh al-Maraghi berkata: Apakah kamu tetap melakukan perbuatan keji ini padahal tidak ada seorang pun yang pernah melakukannya; kamu membuat hubungan jenis sesama lelaki dengan meninggalkan isteri kamu yang dihalalkan oleh Allah SWT untuk membuat perhubungan dengan mereka? Sesungguhnya kamu termasuk kaum yang melampaui batas, sama ada dari aspek logik dan hukum yang ditetapkan. Kamu melakukan perbuatan dosa itu yang tidak pernah terlintas dalam fikiran seorang pun sebelum ini untuk berbuat demikian. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 10/4975)

Semoga kita semua kembali kepada fitrah dan sunnatullah dalam melayari bahtera kehidupan, maka dengannya akan membiaklah generasi manusia dengan penuh rasa tanggungjawab sehingga melahirkan Baiti Jannati dan seterusnya masyarakat dan mujtama’ Muslim yang mentaati perintah Allah. Akhirnya tercapailah hasrat untuk merealisasikan Baldatun Toyyibatun wa Rabbun Ghafur.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan berdoa kepada Allah SWT:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin.

Wallahua`lam.

 

Nota kaki:

[1] Lihat Siri Misteri: Kemusnahan Kaum Nabi Lut tidak dijadikan iktibar, https://www.bharian.com.my/bhplus-old/2015/05/55766/siri-misteri-kemusnahan-kaum-nabi-lut-tidak-dijadikan-iktibar

Leave a Reply