Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya benarkah penyakit bakhil merupakan sakit jiwa di zaman moden? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

 اعْلَمُوا أَنَّمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا لَعِبٌ وَلَهْوٌ وَزِينَةٌ وَتَفَاخُرٌ بَيْنَكُمْ وَتَكَاثُرٌ فِي الْأَمْوَالِ وَالْأَوْلَادِ ۖ كَمَثَلِ غَيْثٍ أَعْجَبَ الْكُفَّارَ نَبَاتُهُ ثُمَّ يَهِيجُ فَتَرَاهُ مُصْفَرًّا ثُمَّ يَكُونُ حُطَامًا ۖ وَفِي الْآخِرَةِ عَذَابٌ شَدِيدٌ وَمَغْفِرَةٌ مِّنَ اللَّهِ وَرِضْوَانٌ ۚ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ

Maksudnya: Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.

(Surah al-Hadid :20)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan Menurut HAMKA, bakhil adalah penyakit jiwa yang merosakkan sistem kehidupan manusia. Penyakit jiwa berlaku apabila manusia menyimpang atau berlebihan dalam memenuhi keperluan asas dan naluri semula jadi mereka seperti cinta kepada kehidupan, cinta kepada pemilikan, dan naluri berkasih sayang. Sekiranya seseorang terlalu mencintai kehidupannya, ia boleh mengakibatkan penyakit seperti takut kepada kematian, ingin hidup lebih lama, takut kehilangan, takut kekurangan, takut sakit dan bimbang dengan masa hadapan.

Sikap bakhil juga adalah di antara tanda-tanda hampirnya kiamat. Hadis Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

يَتَقَارَبُ الزَّمَانُ، وَيَنْقُصُ العَمَلُ، وَيُلْقَى الشُّحُّ، وَتَظْهَرُ الفِتََنُ، وَيَكْثُرُ .قَالُوا: يََا رَسُولَ اللَّهَِّ، أَيُُّّمَ  هُوَ؟ قَالَ  القَتْلُ القَتْلُ ؟

Maksudnya: “Tanda kiamat; zaman terasa semakin cepat, amal soleh berkurang, kebakhilan merajalela, fitnah (maksiat) dinyatakan secara terang-terangan, dan banyak al-haraj”. Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, apa maksud al-haraj?” Nabi SAW menjawab: “Itu adalah pembunuhan, itu adalah pembunuhan.”

Riwayat Bukhari(7061)

Tuntasnya, sikap bakhil ini membawa keburukan kepada diri di dunia dan di akhirat. Ini kerana kurniaan yang Allah SWT berikan kepadanya hanya digunakan untuk kepentingan diri sendiri tanpa memberikan bahagian yang sepatutnya kepada orang yang lebih memerlukan. Mengikut persepsi si bakhil, menyimpan untuk diri sendiri itu adalah yang terbaik bagi dirinya. Namun, Allah SWT membidas dengan mengatakan bahawa persepsi itulah yang jahat dan tidak baik bagi mereka. Berikut adalah beberapa kejahatan daripada sikap kebakhilan:

Kejahatan pertama; mereka tidak mengambil manfaat daripada harta kurniaan Allah SWT. Maka, harta itu menjadi mati, sedangkan tenaganya sudah habis digunakan untuk mencari kekayaan itu.

Kejahatan kedua; kebakhilan juga menyebabkan jiwanya menjadi kasar, hilang rasa kasih, membenci orang yang datang meminta bantuan, bertambah tamak, sombong dan pentingkan diri sendiri. Inilah kejahatan yang terbit daripada jiwa orang yang bakhil.

Akhirnya di akhirat kelak penyakit bakhil ini akan dipersoalkan. Persoalan dari mana punca hartanya, di mana ia  igunakan sehingga penyakit bakhil ini menjadi bebanan yang berat di akhirat kelak. (Lihat Tafsir al-Azhar. 4/213)

Di antara dua penyebab penyakit bakhil dan cara mengatasinya:

  • Cinta harta dan takut miskin. Merawatinya haruslah dengan cara mencari lawannya. Jika penyebabnya cintakan harta dan takut miskin, maka rawatlah dengan sifat qanaah iaitu merasa cukup dengan apa yang telah ada.
  • Panjangnya angan-angan. Jika kebakhilan disebabkan kerana panjangnya angan-angan, maka rawatlah dengan mengingati kematian. (Lihat Tafsir al-Bayan,5/634-635)

Sebagai kesimpulannya kami katakan Cinta harta dan takut miskin. Merawatinya haruslah dengan cara mencari lawannya. Jika penyebabnya cintakan harta dan takut miskin, maka rawatlah dengan sifat qanaah iaitu merasa cukup dengan apa yang telah ada. II. Panjangnya angan-angan. Jika kebakhilan disebabkan kerana panjangnya angan-angan, maka rawatlah dengan mengingati kematian.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat pengecut dan kedekut. Dan aku berlindung kepada Engkau dari bebanan hutang dan penindasan manusia.”

Wallahu’lam

Leave a Reply