Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya benarkah besi sumber kekuatan dan keperluan umat manusia ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

لَقَدْ أَرْسَلْنَا رُسُلَنَا بِالْبَيِّنَاتِ وَأَنزَلْنَا مَعَهُمُ الْكِتَابَ وَالْمِيزَانَ لِيَقُومَ النَّاسُ بِالْقِسْطِ ۖ وَأَنزَلْنَا الْحَدِيدَ فِيهِ بَأْسٌ شَدِيدٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَلِيَعْلَمَ اللَّهُ مَن يَنصُرُهُ وَرُسُلَهُ بِالْغَيْبِ ۚ إِنَّ اللَّهَ قَوِيٌّ عَزِيزٌ

Maksudnya: Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata, dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka Kitab Suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan dan kami telah menciptakan besi dengan keadaannya mengandungi kekuatan yang handal serta berbagai faedah lagi bagi manusia. (Dijadikan besi dengan keadaan yang demikian, supaya manusia menggunakan faedah-faedah itu dalam kehidupan mereka sehari-hari) dan supaya ternyata pengetahuan Allah tentang orang yang (menggunakan kekuatan handalnya itu untuk) menegak dan mempertahankan ugama Allah serta menolong Rasul-rasulNya, padahal balasan baiknya tidak kelihatan (kepadanya); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.

(Surah al-Hadid: 25)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan Besi merupakan salah satu bahan galian yang memiliki kekuatan yang luar biasa sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat 25 surah ini. Besi disebut dalam al-Quran sebanyak 6 kali di mana ia menjelaskan tentang kegunaan, ketajaman dan kekuatan besi. Besi telah digunakan seawal zaman Nabi Daud A.S, pemerintahan Nabi Sulaiman A.S, dan kisah Zulkarnain. Ia juga digunakan sebagai metafora yang membawa makna kekuatan dan ketajaman.

Majoriti para mufassir memahami kegunaan dan kepentingan besi yang luar biasa dan menukilkan dalam tafsir mereka manfaat-manfaat besi dalam segala aspek kehidupan sama ada dalam peperangan mahu pun ketika aman. Oleh kerana besi memiliki kekuatan yang luar biasa, ramailah pemimpin dunia yang cuba untuk menguasai teknologi pembuatan besi dan membawa bencana besar dalam sejarah sebagaimana yang berlaku dalam siri peperangan dunia yang banyak mengorbankan nyawa. Berikut adalah maklumat tambahan berkenaan dengan besi yang dinyatakan dalam ayat 25 dalam Surah al-Hadid:

وَأَنزَلْنَا الْحَدِيدَ فِيهِ بَأْسٌ شَدِيدٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ

Maksudnya: “Kami turunkan pula besi yang mengandungi kekuatan dan manfaat bagi manusia.”

(Surah al-Hadid: 25)

Besi adalah unsur dalam jadual berkala yang mempunyai simbol “Fe” dan nombor atom 26. Besi merupakan logam yang berada dalam kumpulan 8 dan kala (period) 4.

Ciri-ciri besi: Atom besi biasa mempunyai 56 ganda jisim atom hidrogen biasa. Besi adalah logam paling banyak, dan dipercayai unsur kimia kesepuluh paling banyak di dunia. Besi juga merupakan unsur paling banyak (menurut jisim, 34.6%) membentuk bumi; penumpuan besi pada lapisan kerak bumi berbeza ketinggian peratusannya dengan lapisan dalam, terdapat kemungkinan bahawa teras dalam bumi mengandungi hablur besi tunggal walaupun ia merupakan sebatian besi dan nikel. Oleh itu, jumlah besar besi dalam bumi dijangka menyumbang kepada medan magnet bumi. Simbol besi adalah “Fe”, ringkasan kepada ferrum, perkataan Latin bagi besi.

Kegunaan besi: Besi merupakan logam paling biasa digunakan di antara semua logam, iaitu merangkumi sebanyak 95 peratus daripada semua tan logam yang dihasilkan di seluruh dunia. Gabungan harganya yang murah dengan kekuatannya menjadikan ia amat diperlukan, terutamanya dalam penggunaan seperti kereta, badan kapal-kapal besar, dan komponen struktur bangunan.

Kegunaan biologi: Besi dalam bentuk zat besi amat penting bagi semua organisma, kecuali bagi sebahagian kecil bakteria. Ia kebanyakannya disisipkan dengan stabil dalam logam-protein (metalloprotein), kerana sekiranya terdedah atau dalam bentuk bebas ia menyebabkan penghasilan radikal bebas yang kebiasaannya toksik kepada sel. Dikatakan bahawa besi bergerak bebas tidaklah bermaksud ia diangkut secara bebas dalam bendalir badan, sebaliknya besi terikat ketat dengan hampir kesemua biomolekul-biomolekul agar ia dapat melekap secara tidak khusus kepada membran sel, asid nukleik, protein dan sebagainya. Sumber-sumber gizi besi termasuklah daging, ikan, ayam, kacang dal, kacang, bayam, tauhu, kacang kuda, strawberi dan bijirin.[1]

Justeru, dengan penjelasan tentang komposisi besi dan kegunaannya yang meluas, maka tidak hairanlah al-Quran mendahului penerangannya tentang kekuatan besi dan manfaatnya yang besar dalam kehidupan manusia.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”

Wallahua’lam

 

Nota kaki:

[1] Lihat : https://ms.wikipedia.org/wiki/Besi. Diakses pada 22 November 2023

Leave a Reply