Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bagaimana pandangan Islam bagi seseorang yang suka membodek dan memuji dirinya sendiri? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu firman Allah SWT:

فَلَا تُزَكُّوٓا۟ أَنفُسَكُمْ ۖ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنِ ٱتَّقَىٰٓ

Maksudnya: “Maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih dari dosa). Dia lah sahaja yang lebih mengetahui akan orang-orang yang bertaqwa.

(Surah al-Najm: 32)

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa perbuatan memuji seseorang hingga ke peringkat membodek dan memuja adalah dilarang dalam Islam. Jika memuji orang lain secara berlebih-lebihan dilarang, apatah lagi membodek dan memuji diri sendiri secara berlebih-lebihan adalah lebih-lebih lagi dilarang. Hal ini kerana memuji manusia mempunyai had dan batas sempadannya iaitu sekadar memberi penghormatan kerana pujian sebenarnya adalah hak Allah SWT, hanya Dia sahaja yang layak dipuji. Para ulama berpendapat ada pujian kepada manusia yang diharuskan. Namun demikian, sikap suka memuji ini membahayakan kepada diri sendiri dan pihak yang dipuji. Perkara ini dapat difahami daripada sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Musa R.A katanya:

سَمِعَ النبيُّ رَجُلاً يُثْني عَلَى رَجُلٍ ويُطْرِيه في المِدْحَةِ فقال أهْلَكْتُمْ أوْ قَطَعْتُمْ ظَهْرَ الرَّجُلِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW mendengar seorang lelaki memuji lelaki lain dan berlebih-lebihan dalam pujiannya. Baginda SAW pun berkata: ‘Kamu telah merosakkannya dan seolah-olah telah memotong belakangnya.’

Riwayat al-Bukhari (6060)

Badruddin al-‘Aini menghuraikan hadith ini menyebut pujian yang “memotong belakang” itu adalah berlebihan dalam pujiannya sehingga memuji sesuatu yang tidak dimiliki oleh orang yang dipuji hingga menyebabkan datangnya sifat pada diri sendiri di dalam hati, menghancur keikhlasan dan merasakan dirinya sentiasa hebat walhal realitinya tidak sedemikian.

Perkara ini dalam kata lainnya adalah “membodek”. Ia kerap berlaku kepada orang berjawatan atau mereka yang mempunyai sesuatu pengaruh atas sesuatu keputusan keduniaan. Pujian melampau jenis “bodek” bukan sahaja boleh dibuat melalui ungkapan lisan malah ia juga dibuat melalui pergerakan fizikal atau tindakan. Kebanyakan mereka yang memuji bukan ‘pujian sebenar’ namun hanya dibuat kerana kepentingan diri masing-masing.

Budaya memuji dalam bentuk ini atau membodek ini tidak lain kecuali satu tindakan yang tidak selari dan bercanggah dengan syariat Islam dan ia jelas daripada hadis di atas. Perbuatan ini dilihat membawa kesan buruk kepada banyak pihak. Ia bukan sahaja terhenti kepada orang yang dibodek malah seluruh organisasi akan terkesan. Sudah tentu, apabila keputusan yang salah terus dipuji dan disokong kerana bodek, akhirnya memudaratkan masyarakat, organisasi serta syarikat. Sekiranya perkara ini tidak dihentikan dari sekarang, nescaya amalan bodek-membodek ini akan menjadi sebahagian daripada budaya dalam masyarakat kita serta akan merosakkan imej negara kita di mata dunia.

Walau bagaimanapun pujian yang ditujukan kepada hasil kerja dan usahanya menurut kebiasaan adalah pujian yang layak dan benar. Ia tidak termasuk dalam kategori “bodek” tetapi ia masih mempunyai kesan yang tidak elok jika dilakukan secara berlebihan. Daripada Miqdad bin al-Aswad R.A, beliau berkata:

أَمَرَنَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ نَحْثِيَ فِي وُجُوهِ الْمَدَّاحِينَ التُّرَابَ

Maksudnya: “Rasulullah SAW memerintahkan kami agar menabur tanah di muka orang yang suka memuji secara berlebihan.”

Riwayat Muslim (68)

Sebahagian para ulama menjelaskan maksud hadith ini ialah pujian kepada yang tidak layak dan mengada-adakan yang tidak benar sehingga orang yang dipuji merasa sentiasa benar dan juga merasa hebat. (Lihat ‘Umdah al-Qari, 22/132). Al-Khattabi menghuraikan hadith di atas bahawa siapa yang memuji seseorang atas perbuatan baik yang dilakukannya dengan tujuan untuk menggalakkan terus berbuat baik dan mendorong orang lain mencontohinya, maka dia tidak termasuk dalam kalangan mereka yang dicela. (Lihat Mirqah al-Mafatih, 9/62).

Oleh yang demikian, jelaslah bahawa amalan memuji orang lain secara berlebih-lebihan sehingga membawa kepada amalan membodek, mahupun memuji dirinya sendiri secara berlebihan adalah dilarang dan ia tidak mencerminkan suatu budaya atau akhlak seorang Muslim yang baik. Namun, jika pujian tersebut adalah sebagai suatu contoh bagi menggalakkan lagi suatu amalan kebaikan serta ia tidak dilakukan secara berlebih-lebihan tetapi hanya sekadarnya sahaja, maka ia adalah diharuskan.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Leave a Reply