Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah haiwan juga akan dibangkit dan dibalas di hari akhirat kelak? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu firman Allah SWT:

وَمَا مِن دَآبَّةٍۢ فِى ٱلْأَرْضِ وَلَا طَـٰٓئِرٍۢ يَطِيرُ بِجَنَاحَيْهِ إِلَّآ أُمَمٌ أَمْثَالُكُم ۚ مَّا فَرَّطْنَا فِى ٱلْكِتَـٰبِ مِن شَىْءٍۢ ۚ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّهِمْ يُحْشَرُونَ

Maksudnya: “Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan).

(Surah al-An‘am: 38)

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, zahir ayat 38 daripada surah al-An‘am (sebagaimana di atas)  menunjukkan bahawa haiwan akan dibangkitkan pada hari akhirat bagi mendapatkan haknya yang ternafi di dunia. Ini dijelaskan lagi dalam banyak hadis tentang haiwan yang patah tanduknya akan menuntut hak daripada haiwan yang menanduknya.

Namun begitu para ulama Ahli Sunnah wal Jamaah menegaskan bahawa kebangkitan haiwan di hari akhirat kelak bukan menjadi kemestian bagi Allah SWT. Bahkan ia hanya berdasarkan iradat, kehendak dan hikmah ilahiyyah semata-mata. Ini berdasarkan beberapa hujah seperti berikut:

Hukum wajib memastikan seseorang itu dikecam ketika meninggalkan, sedangkan Allah SWT mustahil daripada kecaman, bahkan Dia Maha Sempurna pada Zat-Nya. Demikian juga Allah SWT adalah Pemilik segala makhluk. Maka si pemilik berhak melakukan apa sahaja pada pemilikannya tanpa berhajat kepada gantian dan tukaran.

Bagi haiwan yang disembelih kerana keizinan atau perintah Allah SWT, maka Allah SWT yang akan memberikan ganti  dari sisi-Nya untuk haiwan tersebut dengan manfaat-manfaat yang besar. Contohnya,  jika haiwan yang disembelih untuk dimakan, atau dibunuh kerana ia berbahaya dan boleh menyakiti seperti binatang buas dan serangga berbahaya. Demikian juga haiwan yang boleh menyebabkan penyakit, juga haiwan yang ditentukan oleh Allah SWT bagi membawa bebanan berat dan melakukan kerja keras. Namun sekiranya manusia menyakiti haiwan tersebut maka haiwan itu boleh menuntut haknya kembali terhadap manusia. Sekiranya haiwan itu saling menyakiti antara satu sama lain, maka tuntutannya kembali terhadap haiwan yang melakukan kezaliman.

Sekiranya haiwan itu disembelih dan tidak dimakan dagingnya, ia dikira sebagai satu kezaliman walaupun sembelihan itu atas tujuan agama seperti korban, akikah dan lain-lain. Maka kezaliman dan tuntutan itu kembali kepada si penyembelih atau yang mengarahkannya. Sebab itulah, Rasulullah SAW melarang untuk menyembelih binatang kecuali untuk dimakan. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 12/229-230).

Oleh itu, Islam mengajar umatnya agar menghargai semua makhluk kerana semuanya akan diberikan keadilan oleh Allah SWT di akhirat kelak. Jika haiwan yang patah tanduknya disebabkan ditanduk oleh haiwan lain pun akan memperoleh haknya di akhirat, maka apatah lagi seorang mukallaf yang dinafikan haknya serta dizalimi di dunia. Sudah pasti dia akan memperoleh haknya di akhirat dan si pelaku zalim tadi akan diazab oleh Allah SWT di dalam neraka. Semua perlakuan di dunia dicatat secara terperinci oleh malaikat Raqib dan malaikat ‘Atid serta akan ditayangkan di Mahsyar sebagai satu bentuk keadilan dan integriti Allah SWT dengan hamba-Nya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Leave a Reply