Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Boleh ustaz jelaskan mengapakah bangsa Arab yang Musyrik dipanggil sebagai Jahiliyyah? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu firman Allah SWT:
وَجَعَلُوا۟ لِلَّهِ مِمَّا ذَرَأَ مِنَ ٱلْحَرْثِ وَٱلْأَنْعَـٰمِ نَصِيبًۭا فَقَالُوا۟ هَـٰذَا لِلَّهِ بِزَعْمِهِمْ وَهَـٰذَا لِشُرَكَآئِنَا ۖ فَمَا كَانَ لِشُرَكَآئِهِمْ فَلَا يَصِلُ إِلَى ٱللَّهِ ۖ وَمَا كَانَ لِلَّهِ فَهُوَ يَصِلُ إِلَىٰ شُرَكَآئِهِمْ ۗ سَآءَ مَا يَحْكُمُونَ ١٣٦ وَكَذَٰلِكَ زَيَّنَ لِكَثِيرٍۢ مِّنَ ٱلْمُشْرِكِينَ قَتْلَ أَوْلَـٰدِهِمْ شُرَكَآؤُهُمْ لِيُرْدُوهُمْ وَلِيَلْبِسُوا۟ عَلَيْهِمْ دِينَهُمْ ۖ وَلَوْ شَآءَ ٱللَّهُ مَا فَعَلُوهُ ۖ فَذَرْهُمْ وَمَا يَفْتَرُونَ
Maksudnya: “Dan mereka (orang-orang musyrik) memperuntukkan dari hasil tanaman dan binatang-binatang ternak yang diciptakan oleh Allah itu, sebahagian bagi Allah (dan sebahagian lagi untuk berhala-berhala mereka), lalu mereka berkata: Ini untuk Allah – menurut anggapan mereka – dan ini untuk berhala-berhala kami. Kemudian apa yang telah ditentukan untuk berhala-berhala mereka, maka ia tidak sampai kepada Allah (kerana mereka tidak membelanjakannya pada jalan Allah), dan apa yang telah ditentukan untuk Allah, sampai pula kepada berhala-berhala mereka (kerana mereka membelanjakannya pada jalan itu). Amatlah jahatnya apa yang mereka hukumkan itu (136). Dan demikianlah juga (jahatnya) ketua-ketua yang orang-orang musyrik itu jadikan sekutu bagi Allah, menghasut kebanyakan dari mereka dengan kata-kata indah yang memperlihatkan eloknya perbuatan membunuh anak-anak mereka, untuk membinasakan mereka, dan untuk mengelirukan mereka mengenai agama mereka. Dan kalau Allah kehendaki, nescaya mereka tidak melakukannya. Oleh itu biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan itu.”
(Surah al-An‘am: 136-137)
Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa larangan dan teguran Allah SWT ditujukan kepada Arab Jahiliyyah lantaran mereka menyimpang daripada petunjuk Islam yang sudah pun bertapak di bumi Makkah. Nabi Ibrahim A.S dan Nabi Ismail A.S berperanan membawa petunjuk Islam menerusi agama Hanif sebelum disempurnakan Nabi Muhammad SAW. Setelah ribuan tahun, agama Hanif sudah bercampur baur dan ditokok tambah oleh para pembesar kabilah Arab. Perubahan ini terus menjalar hingga ke zaman perutusan Nabi Muhammad SAW. Musyrikin Makkah tekad mempertahankan agama mereka dan bertindak tegas bagi sesiapa yang menentang. (Lihat Tafsir al-Azhar, 6/70).
Faktor utama bangsa Arab menjadi golongan musyrik ialah kerana mereka sendiri menyemai kebodohan dalam diri. Mereka gagal berfikir dengan baik dan rela menjadi mainan tipu daya syaitan. Dalam konteks ayat Surah al-An‘am, Allah SWT menyebut tujuh hal kebodohan mereka iaitu:
- Mensia-siakan anak yang merupakan nikmat anugerah Tuhan.
- Gagal berfikir bahawa membunuh anak adalah kegagalan moral yang lebih besar daripada kemiskinan. Kemiskinan adalah ujian kehidupan yang bersifat sementara manakala kes menumpahkan darah akan kekal dan memberi lebih mudarat di dunia dan akhirat.
- Tiada ilmu pengetahuan. Inilah punca utama sifat buruk manusia.
- Mengharamkan perkara yang dihalalkan Allah SWT.
- Berani berdusta menggunakan nama Allah SWT. Inilah dosa paling besar.
- Gagal merenung kepentingan agama dan dunia yang sebenar.
- Tidak berusaha mendapatkan hidayah. Ini adalah tabiat yang lazim dilakukan Arab Jahiliah. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 4/413).
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”