Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah proses pembenihan awan dianggap bercanggah dengan syara‘?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Persoalan mengenai keharusan menjalankan proses pembenihan awan pada zaman sekarang ini, sama ada ianya dikira sebagai mencabar kekuasaan Allah SWT atau tidak, timbul kerana adanya nas syara‘ yang menyebutkan bahawa Allah SWT sahaja yang menurunkan hujan. Ini sebagaimana dalam firman-Nya:

إِنَّ ٱللَّهَ عِندَهُۥ عِلْمُ ٱلسَّاعَةِ وَيُنَزِّلُ ٱلْغَيْثَ وَيَعْلَمُ مَا فِى ٱلْأَرْحَامِ ۖ

Maksudnya: “Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat. Dan Dia lah jua yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung).”

(Surah Luqman: 34)

Imam al-Qurtubi berkata, menurut Ibn Mas‘ud R.A, semua perkara diberikan kepada Nabi SAW melainkan 5 perkara. Salah satu daripadanya adalah menurunkan hujan. Hanya Allah SWT Yang Maha mengetahui dan berkuasa menurunkannya. Ibn ‘Abbas menambah tidak ada yang mengetahui lima perkara ini termasuklah para Malaikat mahupun nabi-nabi. Sesiapa yang mendakwa mengetahuinya maka dia telah kufur dengan al-Quran kerana menyalahinya. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 14/82)

Oleh yang demikian, adakah proses pembenihan awan ini bertentangan dengan syara? Kami katakan, tujuan utama pembenihan awan adalah untuk meningkatkan keberkesanan proses mikrofizik awan yang terlibat dalam pembentukkan titisan air hujan daripada molekul wap air yang sedia ada. Selepas titisan awan terbentuk, ia perlu mengembangkan saiznya kira-kira satu juta kali ganda untuk menjadi titisan hujan. Dalam usaha ini, akan berlaku titisan awan melalui proses pelanggaran-tautan berganda (perlanggaran antara titisan yang berbeza saiz akan menyebabkan titisan yang lebih besar terbentuk).

Proses titisan awan berlanggar dan bertaut ini membebaskan haba pendam yang seterusnya akan menggalakkan lagi proses perlanggaran dan tautan ini. Titisan awan hanya boleh bertaut atau bergabung jika ianya mempunyai caj elektrik bertentangan. Jika tidak, ia hanya akan menolak antara satu sama lain. Apabila titisan awan semakin berkembang dan menjadi lebih berat, ia mulai jatuh menerusi awan. Titisan yang lebih besar akan jatuh dengan lebih cepat dan pada masa yang sama mengumpul titisan yang lebih kecil semasa ianya jatuh. Maka ini menyebabkan titisan menjadi semakin besar dengan keamatan yang lebih tinggi dan turun sebagai hujan. (Lihat Tafsir al-Bayan, 4/317)

Oleh demikian, proses pembenihan awan sebenarnya tidak bercanggah dengan syarak dan tidak boleh dianggap sebagai mencabar kuasa Tuhan, selagimana keyakinan kita jelas terhadap Allah SWT sebagai satu-satunya kuasa yang menurunkan hujan. Allah SWT telah menciptakan alam ini di atas hukum sunnatullah dan asbab, serta memerintahkan kita agar menggunakan asbab ini. Bahkan proses pembenihan awan itu sendiri menggunakan bahan-bahan yang diciptakan oleh Allah SWT. Manusia tidak akan mampu mencipta sendiri bahan-bahan tersebut.

Allah SWT menjelaskan proses penurunan hujan secara saintifik agar manusia belajar dan mengambil manfaat daripadanya, namun pada masa sama sentiasa menekankan bahawa Dialah al-Musabbib (yang menjadi penyebab) kepada penurunan hujan tersebut. Oleh itu, wajib ke atas mereka yang terlibat dalam proses pembenihan awan ini, meletakkan sepenuh keyakinan hanya kepada Allah SWT. Bukannya kepada asbab atau hukum alam yang Dia jadikan.

Selain itu, proses ini juga tidak selalu berjaya, malah kadang-kadang berakhir dengan kegagalan, antaranya hujan yang dihasilkan terlalu sedikit dan membinasakan tanam-tanaman atau haiwan. Pada masa yang sama, sebenarnya proses tersebut merupakan satu bukti akan kekuasaan Allah SWT dan juga kelemahan manusia. Firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ أَنتُمُ ٱلْفُقَرَآءُ إِلَى ٱللَّهِ ۖ وَٱللَّهُ هُوَ ٱلْغَنِىُّ ٱلْحَمِيدُ

Maksudnya: “Wahai manusia! Kamulah yang sentiasa memerlukan Allah sedangkan Allah itu Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.”

(Surah Fatir: 15)

Justeru, proses pembenihan awan itu dibenarkan, namun yang tidak dibenarkan adalah menisbahkan penurunan hujan itu secara mutlak dan hakiki hanya kepada proses-proses pembenihan hujan itu sendiri sehingga melupakan hakikat sebenarnya iaitu hanya Allah SWT yang Maha Berkuasa menurunkan hujan menurut kehendak-Nya. (Lihat Fatawa Dar Ifta’ al-Misriyyah, 7/405)

Semoga kita beroleh manfaat dari ilmu-ilmu moden yang dipelajari dan dapat mempraktikkannya untuk manfaat umat sejagat. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a‘lam

Leave a Reply