Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bagaimanakah cara yang terbaik dan berhikmah ketika menyampaikan dakwah? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu firman Allah SWT:
ٱدْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِٱلْحِكْمَةِ وَٱلْمَوْعِظَةِ ٱلْحَسَنَةِ ۖ وَجَـٰدِلْهُم بِٱلَّتِى هِىَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِۦ ۖ وَهُوَ أَعْلَمُ بِٱلْمُهْتَدِينَ
Maksudnya: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”
(Surah al-Nahl: 125)
Ayat ini menerangkan bahawa dalam menyampaikan dakwah kepada masyarakat itu perlulah dilakukan secara berhikmah. Walaupun berlaku perdebatan dalam mencari kebenaran maka berhujahlah dengan isi-isi yang baik serta disulami dengan adab sopan kerana akhlak yang baik itu menjadi cerminan kepada wajah Islam yang sebenar.
Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya menyebutkan, ayat ini menunjukkan suruhan supaya berdakwah kepada agama Allah dan syariat ini dengan cara yang baik dan lembut, tanpa fitnah dan kekerasan. Demikianlah juga orang-orang Islam perlu diberi peringatan sehingga hari kiamat, kerana ia merupakan ketetapan yang tegas terhadap orang-orang yang bermaksiat dalam kalangan orang-orang yang mentauhidkan Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 10/200).
Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, seruan dakwah kepada Allah adalah perkara yang amat dituntut dan disukai Allah serta penting dalam perkembangan Islam. Terbinanya kerajaan Islam Madinah adalah hasil dakwah Nabi SAW. Dalam al-Quran, Allah SWT telah menceritakan kisah-kisah para nabi dan rasul sebagai teladan dan contoh untuk diikuti oleh sekalian umat. Terdapat pelbagai kaedah yang boleh dipraktikkan dalam usaha menyampaikan dakwah. Seni menguasai dan menarik perhatian orang dalam dakwah merupakan kemampuan pendukung dakwah yang dikenali sebagai da‘i untuk menarik orang dan mengajak mereka kepada bahtera dakwah. Da‘i yang berjaya ialah mereka yang berjaya menyampaikan dakwah dan fikrahnya kepada sasaran serta memberi kesan ke dalam lubuk hati dan minda mereka yang terdiri daripada pelbagai golongan dan lapisan masyarakat.
Pendukung dakwah yang tidak mempersiapkan dirinya dengan kemahiran berinteraksi di hadapan orang ramai sudah pasti bukan sahaja tidak berdaya untuk menarik manusia terhadap dakwahnya, bahkan kadang-kadang mendatangkan keburukan kepada dakwah dan menjadi sebab dakwah menanggung kesukaran. Sedangkan tujuan utama dakwah adalah mengajak orang ramai agar dapat menerima dan tidak memusuhi dakwah serta tidak menjadi batu penghalang kepada dakwah tersebut. Oleh itu, cara untuk menarik dan memenangi hati para pendengar agar tertarik kepada dakwah yang disampaikan antaranya adalah melalui:
Pertama: Mengenali dengan baik mad‘u atau orang yang diseru. Mengenali sesiapa yang ditemui walaupun tidak diminta berbuat demikian. Sebagaimana pesan Hasan al-Banna supaya pendukung dakwah terjun ke dalam masyarakat, bergaul dengan mereka dan menjalinkan hubungan dengan mereka dalam suasana persaudaraan, kasih mesra dan keakraban. Keadaan ini tidak mungkin berlaku sekiranya seorang da‘i tidak mengenali antara satu sama lain dengan perkenalan yang mendalam. Hal ini juga akan membantu pendakwah supaya tidak berasa janggal dengan tabiat dan kelakuan orang lain yang menyukarkan dirinya untuk lebih mendekati mereka.
Kedua: Jangan mendesak orang lain menerima pendapat atau pandangan. Di antara perkara yang menyebabkan orang lari dan menjauhkan diri daripada da‘i adalah adanya cubaan yang mendesak atau memaksa orang ramai untuk menerima pendapat dalam sesetengah perkara atau cubaan secara sukarela untuk mengetahui sesuatu masalah dan mula memberi nasihat tentangnya. Justeru itu, sebaiknya seorang da‘i menjauhi tindakan seperti ini kerana tidak seharusnya seseorang pendakwah itu memaksa dan menekan orang ramai untuk menerima pandangan dan kata-katanya.
Ketiga: Elakkan mengkritik atau memberi komen terhadap segala perkara. Banyak mengkritik orang yang berada di sekeliling akan menghalang keinginan untuk menjalin kemesraan. Ini kerana, orang yang dikritik akan berada pada kedudukan mempertahankan diri serta berusaha mencari alasan yang menyokong kebenaran dirinya dan mencari kesalahan di pihak seseorang. Oleh sebab itu, sesetengah kritikan boleh membawa kepada pertumpahan darah bagi pihak yang ego dan angkuh. Kritikan juga boleh membawa kepada perasaan negatif dan tidak baik terhadap orang yang mengkritiknya.
Keempat: Bergaullah dengan cara yang mereka suka dan berhemah serta dengan penuh rasa kasih sayang. Seorang da‘i yang bergaul dengan orang lain dengan cara pergaulan yang buruk atau bersikap sombong dan tidak mempedulikan orang lain, kemudian menunggu orang mendekati dan mengasihinya adalah pergaulan yang salah dan tidak betul. Pergaulan yang baik akan membina hubungan yang baik terhadap mad‘u atau orang yang diseru.
Kelima: Elakkan diri daripada mengatakan yang tidak baik terhadap mad‘u. Setiap orang mempunyai kebaikan atau keaiban, positif atau negatif. Sedangkan bercakap tentang keburukan orang lain meninggalkan gambaran dan kesan yang buruk terhadap diri sendiri, menggoncangkan kepercayaan antara pendakwah dan orang lain. Ini akan menyebabkan, mereka berasa takut untuk datang dan mendekati diri pendakwah. Maka, berkatalah yang baik-baik dan berbuat baiklah kepada mad‘u agar mereka lagi mendekat.
Keenam: Meminta kebenaran atau keizinan daripada mad‘u sebagai satu adab dalam komunikasi. Diketahui bahawa Rasulullah SAW sentiasa meminta keizinan daripada sahabat-sahabatnya. Di antara akhlak dan tingkah laku yang membantu da‘i untuk menarik hati orang dan membina kasih mesra mereka ialah meminta keizinan daripada mereka. Ia juga akan menatijahkan kesan yang baik iaitu membangkitkan perasan kasih dan sayang di dalam jiwa mereka kerana sentiasa meminta kebenaran atau keizinan daripada mereka.
Ketujuh: Tidak bermasam muka. Berikanlah senyuman dan elakkan daripada bermasam muka. Bermasam muka adalah penyebab utama orang ramai menjauhkan diri dan memusuhi para pendakwah serta menimbulkan perasaan takut dan keresahan dalam hati mereka sebagai mad‘u. Justeru, orang yang mahu mendapatkan perhatian mad‘u-nya dan penerimaan mereka sewajarnya sentiasa bermanis muka dan melemparkan senyuman.
Kesimpulannya, pendakwah atau da‘i hendaklah mempunyai kemahiran dan disiplin tertentu kerana tanpanya tidak sekali-kali akan tercapai hasil yang baik dan berkesan. Oleh yang demikian, disiplin tersebut adalah dengan melengkapkan marhalah binaan tarbawi hingga binaan ini tertegak di atas asas yang kukuh yang mampu menempuh segala rintangan dan dugaannya dengan sabar dan kuat di jalan dakwah. (Lihat Tafsir al-Bayan, 6/155-157).
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”