Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Boleh nyatakan sebahagian daripada fadhilat dan keutamaan istighfar? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Dalam menjawab soalan di atas, kalimah istighfar atau ucapan ‘Astaghfirullah’ yang bermaksud “Aku memohon ampun kepada Allah” mengandungi makna pengakuan, penyesalan, kesedaran, kerendahan diri, dan keimanan. Semua maksud tersebut merupakan sebab yang dapat mendatangkan kecintaan, pertolongan, dan perlindungan Allah SWT sehingga manusia terselamat daripada seksaan dan kebinasaan. Tidak ada yang dapat menyelamatkan diri manusia daripada azab Allah, kecuali memohon ampun dan segera bertaubat atas segala kesalahannya. Justeru, di antara keutamaan istighfar adalah seperti berikut:
Pertama: Mendapat kebaikan di dunia yang tidak disangka-sangka dengan mengucapkan lafaz istighfar dengan niat yang tulus dan ikhlas. Ini sepertimana yang dijanjikan Allah SWT kepada hamba-Nya melalui firman-Nya:
وَأَنِ ٱسْتَغْفِرُوا۟ رَبَّكُمْ ثُمَّ تُوبُوٓا۟ إِلَيْهِ يُمَتِّعْكُم مَّتَـٰعًا حَسَنًا إِلَىٰٓ أَجَلٍۢ مُّسَمًّۭى وَيُؤْتِ كُلَّ ذِى فَضْلٍۢ فَضْلَهُۥ ۖ وَإِن تَوَلَّوْا۟ فَإِنِّىٓ أَخَافُ عَلَيْكُمْ عَذَابَ يَوْمٍۢ كَبِيرٍ
Maksudnya: “Dan hendaklah kamu memohon keampunan daripada Tuhanmu terhadap segala dosa kamu. Kemudian hendaklah kamu kembali bertaubat dan taat kepada-Nya; supaya Dia memberikan kamu nikmat kesenangan hidup yang baik di dunia hingga ke suatu masa yang tertentu. Dan setiap orang yang mempunyai amalan yang baik akan dikurniakan balasan yang baik. Oleh itu, seandainya kamu berpaling daripada apa-apa yang aku sampaikan dan mendustakannya, maka sesungguhnya aku takut kamu akan ditimpa azab pada hari kiamat yang ketakutannya amat dahsyat.”
(Surah Hud: 3)
Kedua: Istighfar akan menyebabkan turunnya hujan yang membawa berkat. Ini adalah sebagaimana yang disebutkan melalui ayat al-Quran:
وَنَزَّلْنَا مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءًۭ مُّبَـٰرَكًۭا فَأَنۢبَتْنَا بِهِۦ جَنَّـٰتٍۢ وَحَبَّ ٱلْحَصِيدِ
Maksudnya: “Kami juga menurunkan dari langit, air hujan yang banyak manfaatnya, lalu Kami tumbuhkan dengannya kebun buah-buahan dan biji-bijian yang dituai.”
(Surah Qaf: 9)
Hujan merupakan barakah yang diturunkan oleh Allah SWT. Seorang Muslim yang sentiasa mengucapkan istighfar akan diberikan keberkatan dalam bentuk turunnya hujan. Allah SWT berfirman:
وَيَـٰقَوْمِ ٱسْتَغْفِرُوا۟ رَبَّكُمْ ثُمَّ تُوبُوٓا۟ إِلَيْهِ يُرْسِلِ ٱلسَّمَآءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًۭا وَيَزِدْكُمْ قُوَّةً إِلَىٰ قُوَّتِكُمْ وَلَا تَتَوَلَّوْا۟ مُجْرِمِينَ
Maksudnya: “Wahai kaumku! Mintalah keampunan daripada Tuhan-Mu, kemudian bertaubatlah kepada-Nya atas dosa-dosa kamu terutamanya dosa syirik, nescaya Allah akan menurunkan kepada kamu hujan rahmat-Nya dengan kerap serta menambahkan kekuatan kamu berlipat kali ganda dengan zuriat yang ramai. Janganlah kamu menolak risalahku ini lalu menjadi golongan orang yang melakukan dosa.”
(Surah Hud: 52)
Ketiga: Termakbulnya doa. Hal ini adalah seperti mana firman Allah SWT:
وَإِلَىٰ ثَمُودَ أَخَاهُمْ صَـٰلِحًۭا ۚ قَالَ يَـٰقَوْمِ ٱعْبُدُوا۟ ٱللَّهَ مَا لَكُم مِّنْ إِلَـٰهٍ غَيْرُهُۥ ۖ هُوَ أَنشَأَكُم مِّنَ ٱلْأَرْضِ وَٱسْتَعْمَرَكُمْ فِيهَا فَٱسْتَغْفِرُوهُ ثُمَّ تُوبُوٓا۟ إِلَيْهِ ۚ إِنَّ رَبِّى قَرِيبٌۭ مُّجِيبٌۭ
Maksudnya: “Kepada kaum Thamud, Kami utuskan saudara mereka Nabi Soleh. Dia menyeru kaumnya, “Wahai kaumku! Sembahlah Allah yang Esa, tiada Tuhan yang layak kamu sembah melainkan-Nya. Dia mencipta kamu daripada bumi, serta melantik kamu untuk memakmurkannya. Oleh itu, mintalah ampun kepada Allah dan bertaubatlah kepada-Nya. Sesungguhnya Tuhanku sentiasa dekat, dan sentiasa memperkenan permohonan hamba-Nya.”
(Surah Hud: 61)
Keempat: Dilimpahi rezeki yang berkat. Allah SWT berfirman:
فَقُلْتُ ٱسْتَغْفِرُوا۟ رَبَّكُمْ إِنَّهُۥ كَانَ غَفَّارًۭا ١٠ يُرْسِلِ ٱلسَّمَآءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًۭا ١١ وَيُمْدِدْكُم بِأَمْوَٰلٍۢ وَبَنِينَ وَيَجْعَل لَّكُمْ جَنَّـٰتٍۢ وَيَجْعَل لَّكُمْ أَنْهَـٰرًۭا
Maksudnya: “Lalu aku berkata kepada mereka, ‘Mohonlah keampunan daripada Tuhanmu, sesungguhnya Dia Maha Pengampun. Nescaya Dia akan menurunkan hujan yang lebat kepada kamu. Dan Dia memperbanyakkan harta dan anak-pinak kepada kamu, serta menjadikan bagi kamu kebun, tanaman dan juga sungai-sungai.’”
(Surah Nuh: 10-12)
Kelima: Mencegah daripada hukuman atau azab. Setiap manusia tidak terlepas daripada kesalahan dan dosa. Akan tetapi Allah Maha Pengampun segala dosa. Ini sebagaimana disebutkan Allah SWT dalam firman-Nya:
وَمَا كَانَ ٱللَّهُ لِيُعَذِّبَهُمْ وَأَنتَ فِيهِمْ ۚ وَمَا كَانَ ٱللَّهُ مُعَذِّبَهُمْ وَهُمْ يَسْتَغْفِرُونَ
Maksudnya: “Namun Allah tidak akan sekali-kali menyeksa mereka, selagi engkau wahai Muhammad, masih berada dalam kalangan mereka; kerana keberadaan engkau bersama mereka sekaligus memelihara mereka daripada azab dan Allah juga tidak akan menyeksa mereka yang sedang memohon keampunan.”
(Surah al-Anfal: 33)
Keenam: Melapangkan dada yang sempit dan menghilangkan kesusahan. Ini adalah sebagaimana yang dikemukakan dalam hadith yang menjelaskan bahawa bacaan istighfar sesungguhnya akan membuahkan kebaikan. Daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ أَكْثَرَ مِنْ الِاسْتِغْفَارِ؛ جَعَلَ اللَّهُ لَهُ مِنْ كُلِّ هَمٍّ فَرَجًا، وَمِنْ كُلِّ ضِيقٍ مَخْرَجًا، وَرَزَقَهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ
Maksudnya: “Sesiapa yang memperbanyakkan istighfar, maka Allah SWT akan melapangkan setiap kesusahannya, mengeluarkannya daripada setiap kesempitan dan memberinya rezeki daripada jalan yang tidak dia sangka.”
Riwayat Ahmad (2234).[1]
Ketujuh: Memperoleh kebahagiaan di akhirat kelak. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abdullah bin Busr R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
طُوبَى لِمَنْ وَجَدَ فِي صَحِيفَتِهِ اسْتِغْفَارًا كَثِيرًا
Maksudnya: “Beruntunglah seseorang yang mendapati banyak (amalan) istighfar di dalam catatan amalannya.”
Riwayat Ibn Majah (3818).[2]
Oleh yang demikian, istighfar merupakan bentuk pengakuan dan permohonan ampun atas segala dosa dan kesalahan yang dilakukan oleh seorang hamba kepada Allah SWT. Lalu menyebabkan jiwa seseorang hamba boleh menjadi tenang. Justeru, kita hendaklah sentiasalah membasahkan lidah dengan zikir dan doa serta istighfar agar memperoleh manfaat istighfar yang disebutkan. Mudah-mudahan setiap Muslim menjadi hamba yang taat, tunduk dan patuh serta memperolehi kebahagiaan di dunia dan akhirat, juga diterima setiap amalannya di sisi Allah SWT.
Hal ini juga adalah sebagaimana dinyatakan dalam Tafsir al-Bayan (6/163-166).
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اَللَّهُمَّ أَنْتَ رَبُّنَا لاَ إِلَـهَ إِلاَّ أَنْتَ، خَلَقْتَنَا وَنَحْنُ عَبِيْدُكَ، وَنَحْنُ عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْنَا، نَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْنَا، نَبُوْءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيْنَا، وَنَبُوْءُ بِذُنُوْبِنَا، فَاغْفِرْ لَنَا فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوْبَ إِلاَّ أَنْتَ
Maksudnya: “Ya Allah, Engkau adalah Tuhan kami. Tidak ada tuhan yang berhak disembah kecuali Engkau, Engkaulah yang menciptakan kami dan kami adalah hamba-Mu. Kami akan setia pada perjanjian kami pada-Mu dan janji-Mu dengan sedaya upaya kami. Kami berlindung kepada-Mu dari kejahatan yang kami lakukan. Kami mengakui nikmat-Mu kepada kami dan kami mengakui dosa kami, maka ampunilah kami. Sesungguhnya tiada yang mengampuni dosa kecuali Engkau.”
Nota kaki:
[1] Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyatakan, hadith ini hasan gharib. (Lihat al-‘Amali al-Mutlaqah, 1/25).
[2] Al-‘Ajluni menilai sanadnya adalah baik. (Lihat Kasyf al-Khafa’ wa Muzil al-Ilbas, 2/55).