Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya benarkah sedekah lambang kesolehan hamba Allah? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَأَنفِقُوا مِن مَّا رَزَقْنَاكُم مِّن قَبْلِ أَن يَأْتِيَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ فَيَقُولَ رَبِّ لَوْلَا أَخَّرْتَنِي إِلَىٰ أَجَلٍ قَرِيبٍ فَأَصَّدَّقَ وَأَكُن مِّنَ الصَّالِحِينَ

Maksudnya: Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: ” Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku – ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh “.

(Surah al-Munafiqun:10)

Antara ibadah yang dituntut oleh Allah SWT agar dilakukan adalah sedekah atau menginfakkan harta ke jalan Allah SWT. Ibadah ini perlu dilakukan semaksimumnya sebelum kedatangan ajal. Allah SWT merakamkan dalam ayat di atas, bahawa mereka yang telah mati menzahirkan kekesalan hingga mereka berkata sekiranya ditangguhkan ajal mereka sedikit waktu lagi, nescaya mereka akan melakukan sedekah, agar mereka boleh tergolong dalam kalangan orang yang soleh.

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan Sedekah mempunyai manfaat yang besar bagi orang yang melakukannya. Antarnya ialah:

  • Pahala sedekah dinikmati bukan sahaja di dunia tetapi juga berpanjangan hingga ke akhirat. Hadis daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا مَاتَ ابْنُ آدَمَ انْقَطَعَ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثٍ : صَدَقَةٍ جَارَيَةٍ ، وَعِلْمٍ يَنتَفَعُ بْهَ ، وَوَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ.

Maksudnya: “Apabila seorang anak adam itu meninggal dunia, terputuslah segala amal perbuatannya kecuali tiga perkara; sedekah jariyah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak yang soleh untuknya”

Riwayat Muslim(1631)

  • Sedekah boleh membersihkan diri seseorang daripada dosa dan kekikiran jiwa. Allah SWT berfirman:

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْ ۗ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

(Surah al-Taubah :103)

Sedekah menjadikan orang mukmin berada dalam naungan sedekahnya pada hari kiamat. Hal ini boleh dilihat menerusi hadis Nabi SAW, daripada ‘Uqbah bin ‘Amir R.A, Rasulullah SAW bersabda:

كلُّ امرِئٍ في ظلِّ صَدقتِهِ، حتََّّى يُفصَلَ بينَ النَّاسِ أو قالَ يُُحكَمَ بينَ النَّاسِ.

Maksudnya: “Setiap orang berada di bawah naungan sedekahnya hingga manusia diadili oleh Allah pada hari pengadilan

Riwayat Ahmad(17332)

  • Sedekah menghindarkan musibah dan memanjangkan umur seseorang. Sedekah boleh menjaga si pelakunya daripada musibah atau bencana. Ia juga boleh menajdi asbab kepada panjangnya umur seseorang. Hadis daripada Abu Umamah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

صَنَائِعُ المَعْرُوفِ تَقِي مَصَارِعَ السُّوءِ، وَالصَّدَقَةُ تُطْفِي غَضَبَ الرَّبِّ، وَصِلَةُ الرَّحِمِ تَزِيدُ فِي العُمْرِ.

Maksudnya: “Perbuatan-perbuatan baik akan menghindarkan diri daripada pintu-pintu keburukan, sedekah akan memadamkan kemurkaan Allah SWT, dan menyambungkan silaturrahim akan menambahkan usia”

Riwayat al-Tabrani: 8014

  • Allah SWT memberi ganti kepada orang yang melakukan sedekah. Khabar gembira bagi orang yang bersedekah ialah Allah SWT akan menggantikan sedekah yang mereka belanjakan dijalan-Nya. Rasulullah SAW dalam sebuah hadis qudsi bersabda :

قَالَ اللهُ : أَنْفِقْ أُنْفِقْ عَلَيْكَ.

Maksudnya: “Allah SWT berfirman: Berinfaklah, nescaya Aku akan memberi ganti untukmu.”

Riwayat Muslim(993)

Demikianlah kehebatan sedekah. Justeru, perbanyakkanlah bersedekah ketika hidup kerana tatkala mana diri kita berdagang seorang diri di akhirat kelak, kita amat mengharapkan pahala sedekah ini untuk menjadi pemberat timbangan amalan kebaikan.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ فضْلِكَ وَرَحْمَتِكَ ، فَإِنَّهُ لا يَمْلِكُهَا إِلا أَنْتَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepada-Mu agar diberi kurniaan dan rahmat-Mu. Sesungguhnya tiada yang memilikinya kecuali-Mu.”

Wallahua’lam

Leave a Reply