Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, boleh kaitkan beriman dengan hari akhirat dan motivasi untuk berinfak harta ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِن تُقْرِضُوا اللَّهَ قَرْضًا حَسَنًا يُضَاعِفْهُ لَكُمْ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ۚ وَاللَّهُ شَكُورٌ حَلِيمٌ

Maksudnya:  Dan kalau kamu memberi pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas), nescaya Allah akan melipat gandakan balasanNya kepada kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu; dan Allah amat memberi penghargaan dan balasan kepada golongan yang berbuat baik, lagi Maha Penyabar (untuk memberi peluang kepada golongan yang bersalah supaya bertaubat).

(Surah al-Taghabun: 17)

Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan: Jika kamu menafkahkan harta di jalan kebajikan yang mendapat keredhaan Allah, dengan itu menjadikan jiwa kamu lebih baik, pahala akan dilipatgandakan dengan banyak kali lipat untuk kamu, dosa-dosa kamu akan ditutupi, dan Allah Maha Mensyukuri, memberi pahala yang besar atas ketaatan. Dia memberi banyak kepada orang yang melakukan sedikit, dan Dia tidak tergesa-gesa dalam memberi hukuman atas dosa.” (Lihat Tafsir al-Wajiz,hlm. 558)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan hari kiamat ialah hari pengadilan Allah SWT terhadap hamba-Nya di mana segala perbuatan hamba-Nya ketika di dunia akan dipertontonkan di hadapan Allah SWT serta dihisab secara menyeluruh dan teliti. Pada hari itu, semuanya mendapat hak dan bahagian masing-masing tanpa terkurang atau terlebih sedikitpun.

Dalam konteks Surah al-Taghabun, terpampang satu perkara yang sangat penting iaitu hubungan antara infaq harta dengan hari kiamat yang dikenali juga dengan taghabun iaitu hari penyesalan. Pada hari itu, terdapat sebahagian manusia yang menyesal kerana tidak memanfaatkan peluang menginfaqkan harta ketika di dunia sehingga menyebabkan tabung pahala mereka kosong.

Perbandingan antara ujian harta dengan ujian anak-anak adalah sangat ketara di mana sekalipun kedua-duanya menjadi fitnah kepada seseorang, namun peranan harta lebih kuat di mana ia boleh mendominasi sikap seseorang terhadap anak-anak. Justeru, ada ibu bapa yang sanggup mengabaikan kasih-sayang terhadap anak-anak kerana faktor harta sebagaimana harta juga boleh mengeruhkan hubungan suami isteri sekalipun ianya terbina dengan kasih sayang.

Oleh itu, Surah al-Taghabun meletakkan prioriti menginfaqkan harta selepas beriman kepada Allah SWT dan rasul serta beramal soleh. Ini menunjukkan bahawa ianya memainkan peranan yang sangat besar dalam survival kehidupan manusia. Ditambah lagi dengan bukti-bukti kehancuran umat terdahulu juga disebabkan perebutan harta, obses dengan kekayaan, manipulasi kuasa melalui harta dan sebagainya.

Begitu juga gambaran kiamat kecil (kematian) yang berlaku kepada manusia, di mana harta ialah hasil pencarian terbesar manusia yang tidak dapat dibawa bersamanya. Ia merupakan hasil carian yang pasti akan ditinggalkan! Namun bagi orang yang bijak merancang masa depannya di akhirat, maka infaq harta adalah proses membuka akaun simpanan akhirat yang terbaik serta dapat membantu pemilik akaun memindahkan hartanya pada bila-bila masa sahaja, sekalipun tuannya telah terlebih dahulu bermusafir ke alam baqa’. (Lihat Tafsir al-Bayan, 766-767)

Justeru kami katakan di antara orang yang berjaya di akhirat ialah orang yang dapat menghindarkan dirinya daripada sifat kedekut dan bakhil terhadap diri sendiri serta menginfakkan harta di jalan Allah SWT demi meraih ganjaran pahala yang dianjikan Allah SWT di akhirat kelak.

Firman Allah SWT:

وَمَثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمُ ابْتِغَاءَ مَرْضَاتِ اللَّـهِ وَتَثْبِيتًا مِّنْ أَنفُسِهِمْ كَمَثَلِ جَنَّةٍ بِرَبْوَةٍ أَصَابَهَا وَابِلٌ فَآتَتْ أُكُلَهَا ضِعْفَيْنِ فَإِن لَّمْ يُصِبْهَا وَابِلٌ فَطَلٌّ ۗ وَاللَّـهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

Maksudnya: “Dan bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredhaan Allah dan kerana meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas) yang timbul dari jiwa mereka, adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Kalau ia tidak ditimpa hujan lebat maka hujan renyai-renyai pun (cukup untuk menyiramnya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa melihat akan apa yang kamu lakukan.”

(Surah al-Baqarah: 265)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَحْسِنْ عَاقِبَتَنَا فِي الْأُمُورِ كُلِّهَا ، وَأَجِرْنَا مِنْ خِزْيِ الدُّنْيَا وَعَذَابِ الْآخِرَةِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Perelokkanlah kesudahan segenap urusan kami, serta lindungilah kami daripada kenistaan hidup di dunia dan seksaan hidup di akhirat.”

Wallahua’lam

Leave a Reply