Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimana kita menjawab tuduhan yang mendakwa keaslian naskhah al-Quran pada hari ini tidak tulen?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan takrif al-Quran:

Menurut al-Qamus al-Muhit (1/49), al-Quran dari sudut bahasa bermaksud al-Tanzil (التَّنْزيل) iaitu yang diturunkan. Menurut al-Mu’jam al-Wasit, al-Quran adalah kata terbitan daripada al-Qiraah (القراءة), iaitu bacaan sebagaimana firman Allah SWT:

إِنَّ عَلَيْنَا جَمْعَهُ وَقُرْآنَهُ ﴿١٧)‏ فَإِذَا قَرَأْنَاهُ فَاتَّبِعْ قُرْآنَهُ

Maksudnya: Sesungguhnya Kamilah yang berkuasa mengumpulkan Al-Quran itu (dalam dadamu), dan menetapkan bacaannya (pada lidahmu); Oleh itu, apabila Kami telah menyempurnakan bacaannya (kepadamu, dengan perantaraan Jibril), maka bacalah menurut bacaannya itu.

(Surah al-Qiyamah: 17-18)

Kata qur’anah (bacaannya) pada ayat di atas bererti qira’atuh (bacaannya/cara membacanya). (Lihat al-Mu’jam al-Wasit, 2/722)

Firman Allah SWT:

وَقُرْآنَ الْفَجْرِ ۖ إِنَّ قُرْآنَ الْفَجْرِ كَانَ مَشْهُودًا

Maksudnya:Dan (dirikanlah) sembahyang subuh sesungguhnya sembahyang subuh itu adalah disaksikan (keistimewaannya).”

( Surah al-Isra’: 78)

Dikatakan juga bahawa al-Quran adalah majaz (kiasan) bagi solat, sebab itu ditafsirkan firman Allah SWT di atas dengan solat Fajr, dan dinamakan al-Quran kerana ianya adalah rukun sebagaimana dinamakan ruku’ dan sujud. Dikatakan juga sesungguhnya kalimah al-Quran digunakan dengan makna yang hakiki (sebenar). (Lihat Mu’jam Alfaz al-Quran al-Karim, 2/197-198)

Dari sudut Istilah, al-Quran adalah kalam tuhan sekalian alam yang diturunkan oleh Malaikat Jibril kepada Nabi Muhammad SAW untuk hidayah bagi manusia semuanya. (Lihat al-Quran wa I’jazuhu al-‘Ilm, hlm. 2)

Syeikh Muhammad Ali al-Sobuni pula mendefinisikan: Al-Quran adalah Kalam Allah yang mukjizat yang diturunkan kepada penutup segala Nabi dan Rasul melalui Malaikat Jibril AS yang ditulis pada mashaf-mashaf yang dipindahkan kepada kita secara mutawatir dengan membacanya adalah ibadah bermula dengan surah al-Fatihah dan diakhiri dengan surah al-Nas. (Lihat al-Tibyan fi ‘Ulum al-Quran, hlm. 8)

Makna al-Quran yang disepakati oleh Ulama’ Usul, fuqaha’ dan Ulama’ Bahasa – Al-Quran adalah Kalam yang mukjizat yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW pada mazhaf yang dipindahkan secara mutawattir dan membacanya adalah Ibadah. (Lihat Mabahith fi Ulum al-Quran, hlm 21)

Definisi al-Quran dari sudut Istilah yang masyhur ialah: Kitab yang diturunkan Allah secara mutawatir kepada Nabi SAW yang bersifat mukjizat di mana mendapat pahala jika dibacanya yang terangkum dari awal surah Fatihah hingga akhir surah al-Nas.

Dalam menjawab persoalan ini, kami kemukakan satu ayat yang secara jelas menjadi jawaban utama al-Quran itu tidak akan mampu direka oleh seorang pun. Firman Allah S.W.T :

قُل لَّئِنِ اجْتَمَعَتِ الْإِنسُ وَالْجِنُّ عَلَىٰ أَن يَأْتُوا بِمِثْلِ هَـٰذَا الْقُرْآنِ لَا يَأْتُونَ بِمِثْلِهِ وَلَوْ كَانَ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ ظَهِيرًا

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun demi mendatangkan sesuatu yang sebanding dengan Al-Quran, mereka tidak akan mampu mendatangkannya walaupun mereka saling membantu’.”

(Surah Al-Isra’: 88)

Al-Quran dikatakan sebagai sebuah kitab mukjizat kerana makhluk tidak akan mampu dan mustahil untuk mendatangkan sebuah kitab semisal al-Quran sekalipun terdapat gabungan dan kesepakatan antara seluruh manusia dan jin dalam. Sudah tentu perkataan makhluk tidak akan boleh menyamai perkataan Yang Maha Pencipta, yang tiada tandingan dan tara. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 8/4024)

Dan dakwa-dakwi bahawa al-Quran pada hari ini adalah tidak tulen juga tertolak dengan firman Allah SWT:

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya kami yang menurunkan al-Quran dan memeliharanya.”

(Surah Al-Hijr : 9)

Imam al-Tabari menyebutkan ketika menafsirkan ayat ini, al-Zikr adalah al-Quran. Dan Allah SWT memeliharanya daripada sebarang tokok tambah perkara batil yang bukan datang darinya, ataupun memeliharanya dari sebarang kekurangan dari sudut hukum-hakam, hudud, serta kefardhuan-kefardhuannya. (Lihat  Jami‘ al-Bayan, 17/68)

Imam Ibn Kathir di dalam tafsirnya pula berkata, Allah SWT telah memperakui bahawa Dialah yang menurunkan al-Zikr, iaitu al-Quran, dan Dia jua yang memeliharanya daripada sebarang ubah suai dan tokok tambah. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/453)

Dakwaan terhadap keaslian naskhah al-Quran ini dari Allah SWT juga telah sekian lama dilemparkan oleh kaum musyrikin. Sehinggakan dakwaan ini direkodkan oleh Allah SWT seperti dalam firman-Nya:

الٓمٓ (١) تَنزِيلُ ٱلْكِتَـٰبِ لَا رَيْبَ فِيهِ مِن رَّبِّ ٱلْعَـٰلَمِينَ (٢) أَمْ يَقُولُونَ ٱفْتَرَىٰهُ ۚ بَلْ هُوَ ٱلْحَقُّ مِن رَّبِّكَ لِتُنذِرَ قَوْمًۭا مَّآ أَتَىٰهُم مِّن نَّذِيرٍۢ مِّن قَبْلِكَ لَعَلَّهُمْ يَهْتَدُونَ (٣)

Maksudnya: “Alif, Laam Miim. Diturunkan al-Quran ini, dengan tidak ada sebarang syak padanya, dari Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. (Orang-orang kafir tidak mengakui hakikat yang demikian) bahkan mereka mengatakan: ‘Dia lah (Muhammad) yang mengada-adakan al-Quran menurut rekaannya.’ (Dakwaan mereka itu tidaklah benar) bahkan al-Quran ialah perkara yang benar dari Tuhanmu (wahai Muhammad), supaya engkau memberi ingatan dan amaran kepada kaum (mu) yang telah lama tidak didatangi sebarang pemberi ingatan dan amaran sebelummu, semoga mereka beroleh hidayah petunjuk.”

(Surah al-Sajdah: 1-3)

Dalam ayat di atas, dijelaskan bahawa orang-orang musyrikin telah menuduh bahawa al-Quran itu merupakan ciptaan Nabi Muhammad SAW. Ini menunjukkan bahawa tuduhan terhadap al-Quran sentiasa wujud sejak daripada zaman Rasulullah SAW sehinggalah zaman sekarang. (Lihat Safwah al-Tafasir, 2/460)

Mutakhir ini, timbul lagi isu golongan yang cuba menggugat kewibawaan al-Quran, dengan cara mempertikaikan keaslian naskhah al-Quran yang ada pada hari ini. Justeru, dibawakan di sini beberapa noktah penting yang perlu difahami oleh semua lapisan masyarakat:

Pertama: Al-Quran pada asasnya adalah bacaan dan bukan tulisan. Turunnya wahyu, penyampaiannya, periwayatannya dilakukan secara lisan dan hafazan dan bukannya tulisan. Apa yang dimaksudkan dengan membaca al-Quran pada zaman dahulu adalah membaca daripada hafazan dan tulisan hanyalah wasilah semata-mata. Ini kerana, ayat-ayat al-Quran dijadikan tulisan di atas tulang belulang, kulit haiwan dan lain-lain berdasarkan hafazan daripada memori seorang muqri’. Tradisi periwayatan melalui hafazan dengan isnad yang mutawatir ini diwarisi turun temurun telah terbukti menjamin keaslian al-Quran itu sendiri.

Masalah bagi golongan orientalis pada masa kini adalah melihat al-Quran sebagai teks, bukannya sebagai hafazan yang dibaca. Inilah menyebabkan mereka cenderung untuk menerapkan beberapa metodologi yang sama untuk mengkritik Bible iaitu kritikan sejarah, kritikan sumber, kritikan bentuk dan kritikan teks. Natijahnya, mereka melihat al- Quran hanyalah produk sejarah yang merakamkan situasi dan budaya Arab abad ke-7 dan 8 Masihi. Malah seruan orientalis untuk membuat edisi kritis al-Quran berdasarkan manuskrip-manuskrip yang ada terus diulang-ulang oleh segelintir sarjana Muslim hari ini. (Lihat Quranic Studies: Sources And Methods Of Scriptural Interpretation, hlm. 18; Observations on Early Qur’an Manuscripts in San‘a, 107-111)

Kedua: Al-Quran juga dicatat dengan menggunakan tulisan. Para sahabat Rasulullah SAW ada yang menyimpan catatan ayat-ayat al-Quran ini bagi tujuan rujukan peribadi. Pada catatan itu juga terdapat komentar, huraian dan lain-lain penambahan untuk pemahaman sendiri. Maka, tahap kualitinya pasti sudah berbeza.

Oleh itu, Saidina Abu Bakar R.A mengambil langkah menubuhkan sebuah kumpulan yang menyemak ayat-ayat al-Quran yang ada pada para sahabat dan disatukan menjadi sebuah suhuf. Suhuf tersebut disimpan oleh Abu Bakar R.A kemudiannya ‘Umar R.A dan setelah itu Hafsah R.Anha sebelum diserahkan kepada ‘Uthman R.A. Pada zaman beliau, ada permintaan sejumlah para sahabat untuk mengumpul semula bentuk bacaan (qiraat) yang ada dan diletakkan standard bacaan bagi mengelakkan kekeliruan. Natijahnya, ditulis beberapa buah mushaf yang mengandungi qiraat yang bersifat mutawatir yang disepakati periwayatannya daripada Rasulullah SAW.

Ketiga: Punca utama kekeliruan para orientalis apabila menganggap al-Quran itu ada pelbagai ragam bacaan kerana teksnya yang tidak bertitik dan bertanda pada awalnya. Padahal al-Quran itu dibaca terus daripada hafazan yang diriwayatkan sampai kepada Nabi SAW. Kaedah dalam hal ini adalah tulisan mengikut bacaan yang diriwayatkan Nabi SAW (al-rasmu tabi’un li al-riwayah) dan bukan sebaliknya. (Lihat Tafsir al-Bayan, 4/326)

Kesimpulan

Justeru berdasarkan kenyataan di atas, jelas bahawa tuduhan daripada pihak yang cuba mempertikaikan keaslian naskhah al-Quran yang ada pada hari ini adalah tidak berasas sama sekali, kerana tidak akan ada yang mampu mendatangkan walau satu surah yang menandingi ayat-ayat al-Quran.

Bagaimana mungkin mereka menyangka bahawa dakwaan serta tuduhan mereka ini benar, sedangkan Allah SWT telah menyangkal kenyataan mereka ini di dalam firman-Nya:

وَإِن كُنتُمْ فِى رَيْبٍۢ مِّمَّا نَزَّلْنَا عَلَىٰ عَبْدِنَا فَأْتُوا۟ بِسُورَةٍۢ مِّن مِّثْلِهِۦ وَٱدْعُوا۟ شُهَدَآءَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ إِن كُنتُمْ صَـٰدِقِينَ (٢٣) فَإِن لَّمْ تَفْعَلُوا۟ وَلَن تَفْعَلُوا۟ فَٱتَّقُوا۟ ٱلنَّارَ ٱلَّتِى وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلْحِجَارَةُ ۖ أُعِدَّتْ لِلْكَـٰفِرِينَ (٢٤)

Maksudnya: “Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (Al-Quran) kepada hamba kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Quran itu, dan panggilah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar. Maka kalau kamu tidak dapat membuatnya, dan sudah tentu kamu tidak dapat membuatnya, maka peliharalah diri kamu dari api neraka yang bahan-bahan bakarnya: manusia dan batu-batu (berhala), (iaitu neraka) yang disediakan untuk orang-orang kafir.”

(Surah al-Baqarah: 23-24)

Semoga Allah SWT menyelamatkan kita serta keluarga kita dari kemelesetan akidah yang boleh mengakibatkan seseorang itu jatuh kufur. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”

Wallahu a‘lam

Leave a Reply