Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimana menangani isu melabel seseorang sebagai fasiq?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Sebagai seorang Muslim, kita dituntut untuk berkata baik atau diam kerana ia merupakan cerminan kepada akhlak kita dan lambang kesempurnaan iman. Begitu juga, kegagalan berkomunikasi dengan baik menyebabkan berlakunya perselisihan dan salah faham yang boleh membawa kepada fitnah yang lebih besar. Oleh kerana itulah Rasulullah SAW berpesan kepada kita menerusi hadith daripada Abu Hurairah R.A, sabda Baginda SAW:

وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ

Maksudnya: “Dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata baik atau diam sahaja.”

Riwayat al-Bukhari (6138) dan Muslim (47)

Bak kata pepatah “Sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan binasa.” Peribahasa ini sering kita dengar dan secara ringkasnya ia membawa maksud suatu musibah, ujian atau kesusahan yang timbul akibat daripada berbicara perkara yang tidak sepatutnya.

Antara isu yang berkaitan dengan perkara ini adalah melabel seseorang sebagai fasiq. Perkara ini adalah dilarang oleh syara‘ kerana pelabelan itu akan kembali semula kepada orang yang melabel. Dalam satu hadith daripada Abu Zar R.A, Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يَرْمِي رَجُلٌ رَجُلًا بِالفُسُوقِ، وَلاَ يَرْمِيهِ بِالكُفْرِ، إِلَّا ارْتَدَّتْ عَلَيْهِ، إِنْ لَمْ يَكُنْ صَاحِبُهُ كَذَلِكَ

Maksudnya: “Tidaklah seseorang itu melempar tuduhan kepada orang lain dengan kefasiqan dan tidak pula menuduh dengan kekufuran melainkan (tuduhan itu) akan kembali kepadanya, jika saudaranya tidak seperti itu (sebagaimana yang didakwa).”

Riwayat al-Bukhari (6045)

Kata Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani, barangsiapa yang berkata kepada seseorang dengan mengatakan kamu fasiq atau kamu kafir dan tuduhan itu tidak seperti yang dikatakan maka dia (yang melemparkan tuduhan) berhak mendapat apa (sifat) yang disebutkan itu. Jika sebaliknya, maka tuduhan itu tidak akan kembali kepadanya disebabkan tuduhannya itu benar.

Tambahan pula, jika seseorang itu mengatakan sedemikian dengan tujuan untuk menasihatinya atau menasihati orang lain dengan menjelaskan hal keadaannya maka ia dibenarkan. Adapun jika tujuannya untuk memalukan orang yang dituduhnya atau memperkenalkan kepada khalayak akan sifat tersebut yang ada pada dirinya maka ia tidak benarkan kerana kita dituntut untuk menutup aib saudara kita serta mengajarnya dan memberi nasihat kepadanya dengan penuh hikmah. Selain itu, selagimana seseorang itu mampu untuk melakukannya dalam keadaan yang baik maka dia tidak boleh melakukannya dalam keadaan kekerasan kerana bimbang ini akan menjadi sebab orang yang dituduh akan berterusan dengan keadaan seperti itu. (Lihat Fath al-Bari, 10/466)

Dalam hadith lain, Rasulullah SAW bersabda:

 وَمَنْ دَعَا رَجُلًًا بِِالْكُفْرِ، أَوْ قَالَ: عَدُوُّ اللهِ وَلَيْسَ كَذَلِكَ إِلََّّا حَارَ عَلَيْهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang memanggil seseorang dengan kafir atau dengan berkata: ‘Wahai musuh Allah,’ sedangkan dia bukan sedemikian, melainkan perkataan tersebut (tuduhan itu) akan kembali kepadanya.”

Riwayat al-Bukhari (3508) dan Muslim (61)

Sesiapa yang melabel atau menuduh seseorang dengan mengatakan dia telah fasiq atau kafir sedangkan tuduhan itu tidak benar, maka orang yang melemparkan tuduhan tersebut berhak mendapat sifat yang dituduh itu. Jika sebaliknya, maka tuduhan itu tidak akan kembali kepadanya kerana tuduhannya itu adalah benar. Tambahan lagi, jika seseorang itu mengatakan sedemikian rupa dengan tujuan untuk menasihatinya atau menasihati orang lain dengan menjelaskan keadaan diri orang tersebut maka ia dibenarkan.

Adapun jika tujuannya adalah untuk memalukan orang yang dituduh atau memperkenalkannya kepada khalayak ramai agar dikenali dengan sifat tersebut, maka ia tidak dibenarkan kerana kita dituntut untuk menutup aib saudara kita, di samping mengajarnya dan memberi nasihat kepadanya dengan penuh hikmah. Begitu juga, sekiranya seseorang itu mampu untuk menasihatinya dalam keadaan baik, maka dia tidak boleh menggunakan kekerasan kerana bimbang perkara tersebut akan menjadi penyebab orang yang dituduh berterusan dalam keadaan seperti itu. (Lihat Fath al-Bari,10/466)

Kesimpulan

Justeru, jelaslah di sini bahawa kita tidak boleh sewenang-wenangnya menuduh saudara kita dengan perkataan seperti fasiq atau kafir kerana dibimbangi jika tuduhan itu merupakan satu tuduhan yang palsu atau tidak benar, maka tuduhan tersebut akan kembali semula kepada diri kita. Pada masa yang sama, kita diingatkan juga agar menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang boleh menyakiti saudara seagama kita. Biarlah nasihat atau sebarang teguran dilakukan dalam suasana yang cukup berhikmah dan sesuai pada waktunya.

Menutup perbincangan ini, kami membawakan sebuah hadith daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud R.A sebagai renungan bersama. Rasulullah SAW pernah bersabda:

سِبَابُ الـمُسْلِمِ فُسُوقٌ، وَقِتَالُهُ كُفْرٌ

Maksudnya: “Mencela seorang Muslim itu satu kefasiqan, membunuhnya pula satu kekufuran.”

Riwayat al-Bukhari (48) dan Muslim (64)

Moga Allah SWT memelihara lidah kita daripada berbicara soal yang tidak baik, seterusnya menyakiti saudara seagama kita. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ احْفَظْ لِسَانَنَا عَنْ كُلِّ مَا لَا يُرْضِيكَ قَوْلُهُ، وَاجْعَلْ لَنَا عَلَيْهِ سُلْطَانًاً فَلَا نَقُولُ إِلَّا حَقًّا، وَلَا نَشْهَدُ إِلَّا صِدْقًا يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ

Maksudnya: “Ya Allah! Peliharalah lisan kami dari berkata-kata apa yang Engkau tidak redhai, dan jadikanlah kami berkuasa ke atas lisan kami sehingga kami tidak berkata sesuatu melainkan yang benar, dan agar kami tidak bersaksi melainkan kesaksian yang benar, (perkenankanlah) wahai Tuhan sekalian alam.”

Wallahu a‘lam

Leave a Reply