Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana boleh berlaku salah faham, konsep “Rahmatan li al-‘Alamin”?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَمَآ أَرْسَلْنَـٰكَ إِلَّا رَحْمَةًۭ لِّلْعَـٰلَمِينَ

Maksudnya: “Dan tidak Kami utuskan engkau wahai Muhammad melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.

(Surah al-Anbiya’ : 107)

Allah menjelaskan pengutusan Nabi Muhammad SAW yang tidak lain melainkan membawa kesejahteraan buat sekalian alam. Segala yang datang daripada Nabi Muhammad SAW sememangnya membawa kebaikan dan rahmat buat sekalian manusia. Fakhr al-Din al-Razi menjelaskan, rahmat yang dibawa oleh Nabi SAW merangkumi rahmat pada agama dan pada dunia. Rahmat pada agama disaksikan dengan kehadiran Islam yang disampaikan oleh Baginda Nabi SAW. Ini kerana, sebelum kedatangan Islam, masyarakat Arab Jahiliah hidup dalam kebingungan dalam urusan agama mereka lantaran pegangan agama yang terzahir dalam kalangan mereka menyaksikan terdapatnya jurang perselisihan yang besar dalam menekuni kandungan kitab-kitab samawi terdahulu. Kedatangan Islam yang dibawa oleh Nabi SAW ternyata meluruskan kecelaruan dalam meletakkan sempadan halal dan haram, lalu memberikan rahmat kepada mereka yang bersungguh-sungguh mencari kebenaran.  (Lihat Mafatih al-Ghaib, 22/193)

Salah Faham Konsep “Rahmatan li al-‘Alamin”

Menerusi ayat 107 Surah al-Anbiya’, dapatlah difahami bahawa pengutusan Rasulullah SAW terhadap sekalian kehidupan membawa rahmat dengan syariat Islam yang diperjuangkan. Secara dasarnya, konsep “rahmatan li al-‘alamin” mempromosikan kasih sayang serta sikap toleransi dalam sempadan yang dibenarkan syarak. Kerangka “rahmah” dapat dilihat daripada keterampilan Nabi SAW itu sendiri sebagai rahmat, justeru syariat Islam yang didukung turut mencitrakan rahmah kepada umat. Walau bagaimanapun, melihat realiti kependudukan Malaysia yang multi-etnik, konsep “rahmatan li al-‘Alamin telah mengundang kekeliruan terhadap beberapa pihak dalam usaha memanifestasikan Islam sebagai satu cara hidup. Antara kekeliruan yang paling ketara dalam memanifestasikan gagasan “rahmatan li al-‘Alamin” ialah:

  1. Memberikan keutamaan implementasi “rahmah” kepada masyarakat bukan Islam berbanding umat Islam sendiri.

Berasaskan konsep “rahmatan li al-‘Alamin”, pengimplementasian dalam hal yang melibatkan perundingan dengan masyarakat non-Muslim didapati diberikan ruang dan peluang sehingga menafikan hak beragama umat Islam itu sendiri. Umat Islam seharusnya tidak boleh terlalu bersifat apologetik dan sentiasa ‘beralah’ dengan golongan non-Muslim dalam menterjemahkan konsep “rahmatan li al-‘Alamin”, sehingga menggugat kedudukan dan maruah Islam yang suci. Sebagai contoh, umat Islam tidak boleh mengambil sikap berkompromi dalam hal yang bercanggah dengan prinsip Islam seperti membenarkan festival arak dan judi secara terbuka di negara umat Islam hanya kerana menjaga hati golongan non-Muslim. Prinsip Islam perlu dipertahankan seiring dakwah yang dilaksanakan agar umat Islam tidak tunduk terhadap musuh-musuh Islam yang oportunis dengan gagasan Islam. Lantas, umat Islam lebih memiliki jiwa yang merdeka untuk menyuarakan idea-idea Islam serta mengimplementasikannya.

  1. Mendahulukan kepimpinan politik sosialis sekular dari kelompok bukan Islam berbanding dasar-dasar siasah Islam yang tulen.

Dalam aspek kepimpinan dan politk, salah faham konsep “rahmatan li al-‘Alamin” berlaku apabila wujudnya kerjasama politik yang menghalalkan tahaluf mereka dengan bukan Islam tanpa syarat demi kepentingan politik mereka. Lantas, mereka yang membawa jenama “rahmah” berusaha untuk beradaptasi dengan pendirian-pendirian yang selari dengan fahaman liberal demokratik dan hak asasi manusia melampau yang jelas bercanggah dengan Islam. Umat Islam melalui para pemimpinnya tidak seharusnya terlalu longgar dalam merespon isu-isu membabitkan Islam sehingga memperlihatkan pemerintah Muslim begitu goyah dan apologetik terhadap pemimpin dan masyarakat berlainan agama yang mengundang penularan liberalisme agama. Begitu juga, tidak pula terlalu ketat sehingga menimbulkan prejudis masyarakat non-Muslim terhadap Islam dengan tuduhan-tuduhan tidak berasas seperti ekstrem, jumud, dan seumpamanya.

  1. Mengesampingkan pelaksanaan Nahi Mungkar Dengan Kelonggaran Terhadap Penguatkuasaan Undang-undang

Implementasi Islam tidak hanya berlatarkan kasih sayang tanpa diimbangi dengan undang-undang yang dapat membasmi perkara mungkar. Kelonggaran terhadap penguatkuasaan undang-undang membawa kepada suatu fenomena normalisasi dosa seperti menganggap ringan bahawa perbuatan zina dan berkhalwat merupakan dosa peribadi yang tidak perlu kepada peruntukan undang-undang. Begitu juga dengan perjuangan sesetengah pihak yang mempertahankan gerakan lesbian, gay, biseksual, dan transgender (LGBT) atas nama hak asasi, sewajarnya mereka tidak diberikan tempat yang istimewa oleh pihak berkuasa bagi mengelakkan berlaku salah faham seakan Islam mengiktiraf keberadaan mereka. Ironinya, sebahagian umat Islam masih bersikap sambil lewa dengan membiarkan zina dan pelacuran bermaharajalela serta enggan mencegah kemungkaran yang melata kerana menjaga hati mereka, lalu disandarkan pula dengan naratif Islam yang “rahmah”, penuh kasih sayang, serta tidak perlu kepada pencegahan perkara mungkar. (Lihat Tafsir al-Bayan, 3/450-451 )

Kesimpulan

Nabi Muhammad SAW diutuskan sebagi rahmat untuk semua. Oleh yang demikian, kita sebagai umat Islam wajib mencintai Allah dan rasul-Nya, serta menjadikan Nabi SAW sebagai model ikutan yang terbaik, dengan berusaha memberikan manfaat kepada orang lain.

Kami nyatakan di sini hadith Nabi SAW:

إِنَّمَا أَنَا رَحْمَةٌ مُهْدَاةٌ

Maksudnya: “Aku adalah rahmat yang dihadiahkan.”

Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (100). Syeikh Syu’aib al-Arnaut dalam takhrij Syarh al-Sunnah (13/213) menilainya sebagai sahih.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Leave a Reply